Dari Pelacur Kepada Pembela Wanita, Gangubai Kathiawadi Suntik Semangat Feminisme Luarbiasa!


Diadaptasi dari novel kisah benar berjudul Mafia Queens of Mumbai, perjuangan Gangubai dihidupkan semula menerusi filem Gangubai Kathiawadi.

Berbanding lambakan filem Bollywood tipikal yang sering dipertontonkan kepada umum, filem terbaru arahan Sanjay Leela Bhansali ini dilihat lebih menyerlah dengan unsur feminism yang cukup ketara.

Sejak ditayangkan di Netflix pada 26 April 2022, filem Gangubai Kathiawadi mencetuskan fenomena sebagai filem bukan Bahasa Inggeris (non-English film) nombor satu bagi 25 buah negara serata dunia termasuk Kanada, Australia, United Kingdom, New Zealand serta Malaysia! 

Ia juga telah mencatatkan sehingga 13.81 juta jam tontonan sejak ia mula dipertontonkan di Netflix!

Gangubai Kathiawadi

Sinopsis Gangubai Kathiawadi

Kisah bermula apabila Ganga Kathiawandi lakonan Alia Bhatt diperdaya oleh suaminya (Varun Kapoor) lalu dijual kepada mak ayam iaitu Aunty Sheela (Seema Pehwa) sebaik sahaja tiba di Mumbai.

Tiada apa yang boleh dilakukan, maka bermulalah titik-titik hitam dalam hidup Ganga. Dia pun buat keputusan untuk ubah namanya kepada Gangubai dan mula melacur demi kelangsungan hidup.

Dikurniakan kecantikan semulajadi, Gangubai mula mendapat perhatian pelanggan sehingga dia jadi pelacur terkenal di rumah merah yang terletak di Kamathipura.

Gangubai Kathiawadi

Selain menempatkan pusat pelacuran, Kamathipura juga terkenal sebagai lokasi hangat bagi kegiatan kongsi gelap. Kebanyakan pelanggan di rumah pelacuran milik Aunty Sheela adalah ahli kongsi gelap atau mafia.

Pada suatu pagi, tanpa disangka-sangka Gangubai dibelasah oleh seorang pelanggan sehingga menyebabkannya terlantar di hospital dan terpaksa mendapatkan jahitan akibat luka panjang dari bahu hingga ke perut.

Setelah peristiwa berdarah tersebut, hidup Gangubai berubah. Pelanggannya semakin berkurangan akibat luka yang mencacatkan keindahan tubuhnya. Justeru itu, dia pun meminta pertolongan dari  Rahim Lala (Ajay Devgan) untuk mendapat pembelaan. 

Gangubai Bangkit Sebagai Pembela Wanita 

Sejak bertemu dengan Rahim, Gangubai seakan mendapat semangat baru. Dia mula belajar mempertahankan diri dan menjadi semakin berani. Dengan bantuan Rahim, Gangubai bangkit dan muncul sebagai Ratu Mafia Mumbai. 

Gangubai memanfaatkan posisi tersebut bagi membela nasib wanita di Kamathipura. Berkat usahanya dalam menghapuskan diskriminasi di kalangan wanita pelacur, Gangubai semakin dihormati dan akhirnya memenangi pilihanraya kecil dan dipilih sebagai presiden. 

Meskipun filem ini berlatarbelakangkan realiti dunia pelacuran, namun ia cukup menarik dan memberikan perspektif yang berbeza bagi nilai feminism serta hak asasi manusia. 

Gangubai Kathiawadi

Pelacur Juga Ada Peluang Untuk Hidup Bermaruah

Bak kata Gangubai, pelacuran adalah salah satu profesion yang tertua di dunia, jadi pasti sukar untuk kita banteras kegiatan terkutuk ini. 

Namun, perjuangan Gangubai menjadi bukti yang golongan ini juga mampu untuk mulakan hidup baru yang bermaruah. 

Filem ini dapat menjadi cerminan kepada ramai pelacur wanita yang pada hakikatnya tiada pilihan dan terpaksa menggadai kehormatan diri demi kelangsungan hidup.

Sebagai manusia, kita tak pernah lari dari melakukan kesilapan. Oleh kita tak sepatutnya terus menghukum orang lain hanya disebabkan masa lalu mereka. Sebaliknya, orang sebeginilah yang perlu kita tolong. 

Kisah Gangubai sebagai pejuang bagi 4,000 orang pelacur yang tidak terbela di pada era 1960an wajar dijadikan teladan buat semua. 

Gangubai Kathiawadi

Pendidikan dan Agama Sebagai Pembanteras Masalah Sosial

Atas usaha Gangubai, nasib wanita-wanita malang tersebut dapat dibela dapat anak-anak yang mereka lahirkan dapat layanan serta pendidikan yang sepatutnya. 

Latarbelakang hidup orang Kamathipura yang digambarkan dalam filem ini dapat menjadi bukti cara hidup yang menyimpang jauh tanpa agama dan pendidikan.

Melalui pendididikan, nasib seseorang dapat berubah 360 darjah. Mungkin ia tidak dipandang berat oleh sebahagian masyarakat, namun pendidikan yang baik dapat mengeluarkan seseorang dari lembah kemiskinan.

Agama pula dapat menjadi cahaya panduan bagi seseorang untuk hidup sebagai ahli masyarakat yang berguna. 

Jika kedua-dua aspek ini dipegang sebaiknya, maka akan terbendunglah pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat. 

Mungkin kita tidak dapat menghayati masalah sosial yang ada dalam filem ini namun ia tidak bermaksud yang ia tak wujud. Cuma, ia kurang ketara memandangkan negara kita mengamalkan agama Islam sebagai agama rasmi. 

 Sebagai umat Islam, kita sepatutnya bersyukur telah dilahirkan dalam agama yang serba lengkap (syumul) sebagai petunjuk buat manusia sejagat. 

Sejak beribu tahun lamanya, agama suci ini telah menjadi pembanteras utama bagi membendung pelbagai masalah sosial daripada terus membarah di kalangan masyarakat. 

Bagi memahami masalah sosial yang sering didiamkan namun tetap menular ini, anda bolehlah tonton Gangubai Kathiawadi di Netflix.

Pasti anda tak akan terasa berlalunya 2 jam 30 minit dengan jalan cerita serta sinematografinya yang memukau. Anda boleh tonton trailernya di bawah. Selamat menonton!

Sumber : firstpost.com , imdb.com 

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat