Sifat Mengalah Dapat Selamatkan Hubungan
Mengalah bukan bermaksud kita kalah. Namun masyarakat kita sering mengungkapkan yang mengalah itu pastinya kalah. Terdapat satu kata-kata yang menarik “you may lose in battle but you win in war” yang memberi makna yang sangat mendalam iaitu, anda mungkin kalah dalam perang kecil tetapi menang dalam peperangan yang lebih besar.
Sengketa sering berlaku apabila pasangan sering mengamalkan sikap keras kepala, tidak mahu mengaku salah, dan tidak mahu menerima pendapat orang lain. Masing-masing mahu menegakkan apa yang dikatakan, ini adalah punca-punca yang menyebabkan runtuhnya sesebuah rumah tangga.
Bersikap positif, mohon maaf dapat selamatkan rumah tangga. Mengalah tidak menunjukan kita penakut ataupun dayus bagi lelaki tetapi bersangka baik kepada pasangan, mungkin pasangan tidak dapat menerima perkara tersebut kerana terlalu banyak masalah lain yang dia sedang alami. Jadi, pemilihan waktu yang sesuai itu adalah penting dalam memulakan sesuatu perbincangan.
Lumrah hidup berumahtangga ada pasang surutnya, termasuk sesekali bertikam lidah dan perang mulut dengan pasangan hingga menguris perasaan antara satu sama lain. Bak kata Seniman P. Ramlee dalam cerita Tiga Abdul ” Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula Suami Isteri”.
Dalam keadaan demikian masing-masing sering cuba mempertahankan diri dan enggan mengalah untuk mintak maaf. Masing-masing cuba untuk keraskan diri untuk menunjukkan yang mereka benar tapi tanpa sedar menjejaskan hubungan yang terjalin.
Mohon Kemaafan
Jika perkara ini berlaku secara berterusan ia bukan saja boleh menjejaskan hubungan anda dengan pasangan tetapi lama kelamaan mengundang suasana lebih buruk kepada rumah tangga yang sudah lama dibina.
Bagi mengelak perselisihan bertambah buruk, salah seorang daripada pasangan perlu memainkan peranan dengan mengalah, sekali gus membuka jalan memohon kemaafan daripada isteri atau suami.
Panduan berikut mungkin mampu membuatkan anda berfikiran positif terhadap pasangan dengan meminta maaf secara sukarela selepas berlaku sesuatu perselisihan, tidak kira siapa yang memulakannya sengketa terlebih dahulu.
1. Menyelamatkan Hubungan Perkahwinan
Meminta maaf tidak bermakna anda mengaku kalah tetapi sebaliknya memberi kemenangan kepada perkahwinan yang dibina. Jika tiada pihak yang mahu memulakan, keadaan akan lebih menyulitkan dalam mencari perdamaian. Paling penting anda berfikiran jauh dalam soal menyelamatkan perkahwinan.
2. Menjaga Hati Pasangan
Memaafkan pasangan anda bukan saja akan membuatkan perasaan sendiri menjadi lega, paling penting ia sebenarnya lebih membahagiakan pasangan apabila menyedari anda tahu menjaga hati mereka. Jangan biarkan sakit hati terus melarat sehingga menjejaskan setiap tingkah laku anda terhadap pasangan serta mengguris perasaan mereka.
3. Segerakan Permohonan Maaf
Antara perkara yang paling sukar dilakukan seseorang ialah mengakui kesilapan diri, apa lagi memohon maaf daripada seseorang ketika cuba menegakkan kebenaran kesalahan itu bukan datangnya dari diri sendiri. Mungkin jika anda menyegerakan memohon maaf kepada pasangan, mereka juga bersedia untuk melakukan perkara yang sama dan menjadikan sengketa tidak terus berlarutan.
4. Terima Kenyataan
Tidak salah menerima kenyataan bahawa semua orang mudah melakukan kesalahan. Memohon maaf kepada pasangan akan menjadi lebih mudah jika setiap individu memilik pandangan positif dan masuk akal mengenai kelemahan dan kelebihan diri masing-masing.
5. Serlahkan Kejujuran
Selain kesetiaan, kejujuran adalah paling diperlukan untuk memastikan pasangan terus mempercayai anda yang pastinya memberi kesan dalam perkahwinan. Jangan sesekali bersikap berpura-pura ketika menghulurkan kemaafan kerana itu semua pasti akan menambahkan prasangka buruk dan tanggapan negatif pasangan terhadap anda. Serlahkan rasa tanggungjawab terhadap segala perbuatan yang anda lakukan.
Bagaimana memohon maaf???
- Cuba memohon maaf dengan bersungguh-sungguh
- Nyatakan secara jelas kesalahan yang dilakukan
- Akui kesalahan yang dilakukan tanpa beri alasan
- Terima maklum balas daripada pasangan tanpa cuba membela diri
- Lupakan apa yang berlaku dan teruskan kehidupan seperti biasa