Cara Rasulullah SAW Menjaga Kesihatan Diri


Cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w  patut dicontohi, mencontohi nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita. Kali ini saya ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Nabi bukan bermakna terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati kita yang berpenyakit. Antara cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah

Bangun sebelum subuh

Rasulullah menyeru umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi banyak manfaat untuk umat islam terutamanya mendapat limpahan pahala. Selain itu, kesegaran udara subuh juga baik  untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

Aktif menjaga kebersihan

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mengurus diri mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidak pernah makan berlebihan

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

Gemar berjalan kaki

Rasulullah sering berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apasalahnya kalau kita pun sentiasa berjalan kaki untuk ke sesuatu tempat yang berdekatan. Apabila berjalan kaki badan akan mengeluarkan peluh, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan walaupun ingin ke kedai atau masjid di seberang jalan.

Tidak pemarah

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikatnya kesihatan dan kekuatan setiap muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada beberapa terapi untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

Tidak pernah iri hati

Untuk menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

Pemaaf

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut oleh islam bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan serta dapat ketenangan jiwa.

Sekiranya kita marah, marah itu melekat pada hati, oleh itu jadilah seorang yang pemaaf. Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat