Korea Utara Dihukum Oleh China


BEIJING – China membatalkan semua import arang batu dari Korea Utara sepanjang tahun ini, kata Beijing kelmarin sekali gus menyekat sumber pertukaran wang asing utama kepada Pyongyang.

Langkah drastik itu dibuat seminggu selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke Laut Jepun.

“China akan membekukan sementara import arang batu dari Korea Utara sepanjang tahun ini termasuk tempahan yang telah dibuat,” kata kementerian perdagangan dalam satu kenyataan di laman webnya.

Menurutnya, pembatalan itu selaras dengan sekatan sedia ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara dan mula berkuat kuasa semalam hingga hujung tahun ini.

Pengumuman China itu dibuat ketika Malaysia terus menyiasat pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang didakwa Korea Selatan dilakukan oleh beberapa ejen wanita atas arahan Pyongyang.

Mengulas perkembangan itu, pakar geopolitik rantau Asia Timur Laut di Universiti Peking, Wang Dong berkata, Korea Utara melancarkan peluru berpandunya baru-baru ini dengan tujuan untuk melagakan China dan Amerika Syarikat sekali gus mendorong Beijing bertindak untuk menghukum Pyongyang.

“Saya fikir pelancaran peluru berpandu ini jelas satu cubaan provokasi dan oleh sebab itu, China telah bertindak untuk menyatakan bantahannya.

“Pembatalan import ini merupakan isyarat kepada Korea Utara supaya jangan bertindak melampau,” katanya.

Pakar itu berkata, beliau bagaimanapun menolak pembunuhan Jong-nam menjadi punca China mengambil tindakan keras itu ke atas Korea Utara kerana kes tersebut masih disiasat pihak berkuasa Malaysia.

Majlis Keselamatan PBB yang turut dianggotai oleh China mengecam keras pelancaran peluru berpandu Pyongyang pada Isnin lalu kerana mencabuli resolusi PBB.

China membeli sejumlah besar arang batu dari Korea Utara dengan import pada Oktober 2016 sahaja berjumlah AS$101 juta (RM449.8 juta). – AFP

SUMBER : KOSMO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat