Bukan Sahaja Mengancam Nyawa, Ini Kesan Basikal Lajak Pada Kesihatan Anak-Anak Yang Perlu Mereka Tanggung Jika Tak Dicegah !


Sudah menjadi fitrah bagi kanak-kanak untuk mencuba sesuatu yang baru. Kreativiti dan rasa ingin tahu mereka yang membuak-buak juga boleh terdorong dengan pelbagai trend yang sering menjadi ikutan kanak-kanak sebaya mereka.

Antara kreativiti atau trend yang popular di kalangan kanak-kanak ialah hobi bermain basikal lajak. Tanpa diketahui punca kemunculannya, ia sempat menjadi kegilaan sesetengah kanak-kanak beberapa tahun lepas.

basikal lajak

Mungkin ada yang belum tahu, basikal lajak pada asalnya merupakan basikal biasa yang ada di pasaran. Namun, ia telah diubah suai untuk mempunyai ciri-ciri yang dipercayai membuatkannya meluncur lebih laju.

Antara pengubahsuaian yang sering dilakukan ialah tempat duduk yang direndahkan, brek yang ditanggalkan serta pasak sepit udang (fork) yang dipotong.

basikal lajak

Kredit : Ismaweb.net

Perubahan yang dilakukan pada basikal lajak sekaligus membuatkan ia tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan berbanding sebelumnya.

Kesan Basikal Lajak Pada Kesihatan Anak-Anak

Di samping ciri-ciri keselamatan yang ditanggalkan daripada basikal lajak, ia dilihat boleh mendorong anak-anak kepada masalah kesihatan yang serius tanpa disedari.

Perkara ini telah didedahkan oleh Public Health Malaysia ekoran isu ini yang kembali menjadi bualan hangat netizen sejak beberapa hari lepas.

Antara risiko kesihatan bagi kanak-kanak yang menunggang basikal lajak adalah :

1. Menjejaskan Postur Badan dan Saraf Tunjang

Hobi bermain basikal lajak boleh memberikan kesan pada tulang belakang dan saraf tunjang dalam jangka masa panjang.

Ini akan mendorong kepada sakit tulang belakang serta menjejaskan postur badan akibat terlalu lama membongkok ketika menaiki basikal ini.

2. Mencederakan Lutut

Selain menjejaskan postur, kedudukan yang membongkok ketika menunggang basikal lajak yang rendah juga boleh menyebabkan kecederaan lutut.

3. Mengundang Masalah Carpal Tunnel Syndrome

Pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun mendapati pergelangan tangan boleh terdedah kepada gegaran kuat ketika menunggang basikal lajak.

Ini boleh mendedahkan kanak-kanak kepada bebanan saraf sehingga mengundang masalah saraf di pergelangan tangan iaitu Carpal Tunnel Syndrome.

hobi basikal lajak boleh mengundang masalah carpal tunnel syndrome

4. Kecederaan Yang Serius Pada Bahagian Kepala

Disebabkan ciri-ciri keselamatan yang sudah hilang dari basikal ini, risiko yang paling berbahaya bagi penunggang adalah kemalangan yang tidak diingini lebih-lebih lagi bagi yang tidak menggunakan alat keselamatan seperti topi keledar, pelindung siku serta lutut.

Bahagian kepala yang tercedera tanpa perlindungan boleh mendorong kepada pendarahan otak hingga boleh membawa maut.

basikal lajak membahayakan kanak-kanak

Kredit : Public Health Malaysia

Demi keselamatan anak-anak, ibu bapa perlulah mengawal aktiviti anak-anak agar tidak menyesal di kemudian hari.

Menerusi perkongsian dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya, ibu bapa yang didapati mengabaikan keselamatan anak-anak di bawah umur yang terlibat dalam aktiviti basikal lajak boleh didenda sehingga RM 20,000 atau penjara selama 5 tahun!

ibu bapa yang didapati mengabaikan anak-anak yang bermain basikal lajak boleh didenda dan dipenjara

Kredit : Jabatan Keselamatan Jalan Raya

Aktiviti ini bukan sahaja boleh mengancam nyawa anak-anak, malah ia juga boleh memberikan kesan buruk pada kesihatan mereka yang sedang membesar. Oleh itu, awasilah anak-anak agar tidak terjebak dengan hobi yang berbahaya ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat