Selamat Hari Pi Sedunia ! Jom Ketahui 5 Fakta Menarik Tentang Pi Sempena 14 Mac


14 Mac merupakan Hari Pi Sedunia. Anda pasti ingat tentang kegunaan pi atau  iaitu nisbah lingkaran dan diameter bulatan yang dipelajari di bangku sekolah dahulu.

Meskipun ia tidak memberikan maksud yang signifikan kepada kita, namun ia merupakan nilai pemalar matematik (mathematical constant) yang paling popular di dunia.

Hari Pi Sedunia diasaskan oleh ahli fizik Larry Shaw pada tahun 1988. 14 Mac dipilih kerana melambangkan 3 digit pertama bagi nilai pi iaitu 3.14.

Sempena Hari Pi Sedunia, jom kita kenali fakta menarik tentang pi atau π .

5 Fakta Menarik Pi Yang Anda Perlu Tahu

1. Pi Dahulu Mempunyai Nilai Berbeza

Pi  atau π adalah antara pemalar matematik (mathematical constant) yang tertua di dunia. Pada era Babylon lampau, nilai pi sering disebut sebagai 25/8 (anggaran 3.125) sementara orang Mesir terdahulu mengenali nilai pi sebagai 256/81 (anggaran 3.160).

2. Asal Simbol π

Perkataan pi diambil daripada huruf kecil Greek, π kerana ia merupakan huruf pertama daripada perkataan Greek περίμετρος yang bermaksud perimeter.

3. Nilai Pi Terbanyak Mencatatkan 22 Trillion Angka !

Walaupun kita kenali pi dengan nilai 3.14, sebenarnya ia mempunyai nilai yang lebih panjang iaitu 3.14159265359…

π adalah nombor tidak rasional. Pecahan (22/7) pun sebenarnya tidak boleh gantikan nilai sebenar π. Nilainya yang sebenar tidak diketahui dan nilai perpuluhannya pun tiada corak (pattern) ulangan.

Pada tahun 2016, saintis Peter Trueb merumuskan nilai pi dengan 22 trillion angka sekaligus memecahkan rekod penghitungan dunia.

Jika anda baca satu digit dalam setiap saat, anda perlu menghabiskan 700,000 tahun !

Sehingga ke hari ini, manusia masih tidak mampu merumus nombor terakhir walaupun dengan bantuan komputer tercanggih.

4. Manusia Pernah Buat Kerja Gila Cuba Menghafal Nilai Pi

Sejak tahun 1970, beberapa penggemar matematik sudah bertanding bagi menghafal nilai digit pi sebanyak mungkin.

Pada tahun 2015, Suresh Kumar Sharma dari India telah mencatat rekod dunia di atas kejayaan mengingati lebih daripada 17,000 nilai pi. Dia mengambil masa selama 17 jam untuk sebut semua angka ini !

5. Hari Pi juga adalah Hari Terbaik Untuk Makan Pie !

hari pi sedunia

Pi juga mempunyai sebutan yang sama seperti pie iaitu pastri besar yang berintikan buah, daging atau sayuran.

Oleh itu, Hari Pi Sedunia sering disambut dengan menjamah makanan ini sebanyak yang mungkin !

Sesetengah rangkaian restoran dan pasaraya di Amerika Syarikat turut menyambut hari ini dengan menawarkan potongan diskaun dan tawaran istimewa bagi pelbagai barangan terutamanya pelbagai jenis pie.

Begitulah sedikit sebanyak fakta menarik tentang pi atau π. Selamat Hari Pi Sedunia !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat