Dr Muhammed Abdul Khalid: Hero Rakyat Dari Golongan Cendekiawan

Sumber Rujukan : Daily Rakyat

Hari ini, Dr. Muhammed Abdul Khalid yang berasal dari Penang ini telah menjadi bualan ramai. Video temubual beliau dalam wacana di TV1 menjadi viral dan hangat di dalam kalangan netizen.  Beliau merupakan Pengarah Urusan@’Chief Economist’ DM Analytics dan sebelum ini merupakan Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute) dari Mac 2014 sehingga November 2016. Beliau juga pernah menjawat jawatan Analisis Kanan di Institute of Strategic and International Studies (ISIS) dari 2011 hingga 2012. Beliau adalah graduan dalam bidang kewangan di University of Southern California sebelum beliau meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan Kedoktoran di Paris Institute of Political Studies.

Dr. Muhammed Abdul Khalid juga merupakan pengarang buku ‘The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia’. Buku ini secara terperinci menganalisa sebab-sebab dan juga kesan polisi kepada Malaysia. Buku ini lain dari yang lain kerana hujah-hujah yang diberi disokong dengan statistik yang menjadikan buku ini sangat berpengaruh dan tersohor.

ULASAN BUKU : ‘The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia’

Buku ini berkisarkan tentang sejarah ekonomi-politik mengenai jurang kekayaan di Malaysia, terutamanya di antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera, dan hala tuju jurang ini yang amat menggerunkan pada masa hadapan. Walaupun negara kita dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan sejak DEB diperkenalkan, namun kebelakangan ini jurang pendapatan kembali melebar.

Data dan fakta yang dinyatakan dalam buku ini menunjukkan bahawa jurang kekayaan (asset) adalah lebih teruk daripada jurang pendapatan (income), baik dari segi kaum, mahupun di antara yang kaya dan yang miskin. Yang mengejutkan, jurang pendapatan di antara bandar dan kampung ketika ini amatlah teruk sekali, malah lebih teruk daripada tahun 1957!

Dari segi jurang pendapatan antara kaum, ia makin melebar sejak tahun 2009. Jurang pendapatan di antara kaum bumiputera dan Cina telah meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun 2009 hingga 2012, dan ini bukan sahaja pertama kali ia berlaku sejak tahun 1970, tetapi juga sekaligus melenyapkan segala pencapaian yang dicapai sedekad yang lalu.

Yang mengejutkan lagi adalah data yang menunjukkan kedaifan rakyat Malaysia, terutamanya kaum bumiputera dalam pemilikan harta, termasuk hartanah dan saham. Dari segi pemilikan aset kewangan, 72 peratus yang tidak mempunyai aset ini adalah kaum bumiputera. Namun jika dilihat dari segi kaum, majoriti penduduk di negara kita ini, baik bangsa Melayu, kaum Cina mahupun India tidak mempunyai sebarang aset kewangan.

Ini mungkin sesuatu yang tidak masuk akal tetapi Dr. Muhammed menunjukkan bahawa inilah realitinya.

Jika dilihat dari segi pemilikan Amanah Saham Bumiputera (ASB), lebih kurang separuh daripada kaum bumiputera di negara ini mempunyai akaun bersama ASB. Daripada separuh yang ada akaun itu, purata simpanan adalah lebih kurang RM15,400, tetapi jika dikaji lagi, lebih dua pertiga atau 72 peratus hanya mempunyai RM554 sahaja!

Jurang yang sama dihadapi oleh kaum yang lain, malah jurang di antara kaum India yang paling teruk sekali di mana 64 peratus kaum India di negara ini tidak ada satu sen pun aset kewangan, berbanding kaum Cina (56 peratus) dan golongan bumiputera (64 peratus).

Kedaifan yang sama berlaku dari segi pemilikan hartanah apabila tiga-perempat orang yang tidak mempunyai aset ini adalah daripada golongan bumiputera.

Di mana silapnya, terutamanya di kalangan bumiputera walaupun pelbagai polisi dilaksanakan dan berpuluh agensi telah ditubuhkan?

Adakah kerana Melayu malas, boros, tiada kelulusan tinggi ataupun ada faktor yang lain?

Dr. Muhammed telah menunjukkan bahawa terdapat kajian mendapati bahawa faktor kadar tabungan, perbelanjaan, mahupun pendidikan bagi kaum bumiputera adalah sama dengan kaum yang lain. Jadi di mana silapnya?

3 Faktor Utama Yang Mendorong Berlakunya Masalah Ketidaksamaan Ini:

Pertama :

Diskriminasi kaum terhadap graduan Melayu walaupun mereka mempunyai kadar kelayakan yang sama dengan kaum lain menghalang golongan ini untuk mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan kaum lain, iaitu sumber penting untuk pengumpulan aset.

Kedua :

Inherited asset (harta pusaka) kaum lain terutamanya kaum Cina, lebih banyak memberi harta kepada anak-anak mereka, walaupun golongan majoriti kaum Cina juga tiada aset.

Ketiga :

Kegagalan pihak pemegang amanah, baik daripada parti Melayu seperti PAS atau pun UMNO yang jelas sekali tidak mengambil endah mengenai status sosioekonomi bangsa Melayu.

Wawancara Dr. Muhammed dengan orang kuat parti-parti politik ini menunjukkan bahawa mereka ini lebih suka berpolitik daripada menyelesaikan masalah ekonomi kaum Melayu.

Kecuaian ahli politik ini, disambung pula oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Dr. Muhammed menyatakan, berdasarkan temubual beliau dengan ketua-ketua GLC, jelas menunjukkan mereka bukan sahaja tidak memberi perhatian terdapat dasar bumiputera, malah ada di antara mereka yang mengutuk dasar bumiputera. Malah ada yang mencaci bangsa Melayu sendiri. Tidak hairanlah GLC seperti UDA yang diberi amanah untuk meningkatkan penguasaan hartanah kini lebih senang mengalibabakan projek yang diberi.

Dasar-dasar kerajaan yang sedia ada, terutamanya dasar pendidikan, dasar pencukaian dan kerenah GLC ini akan membuat jurang makin meluas dan majoriti rakyat negara ini, daripada semua kaum, akan makin melara.

Ini adalah time-bomb, jika ia tidak ditangani dengan segera.

Tiba masanya untuk kita kaji semula kesemua polisi dan agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap peningkatan sosioekonomi kaum bumiputera. Kesimpulan buku ini, penulis Dr. Muhammed menyatakan kekhuatiran beliau mengenai masa hadapan rakyat Malaysia.

Klik Untuk Tonton Rakaman Penuh Wacana

Melalui temubual di Wacana di TV1, Landskap – Prabajet: Harapan Rakyat & Realiti Ekonomi pada 17 Oktober, beliau menegaskan walaupun pertumbuhan ekonomi negara positif tetapi rakyat tidak merasa kesan ini.

5 Sebab Mengapa Rakyat Tidak Merasakan Kesan Pertumbuhan Positif Ekonomi

  1. Ekonomi negara berkembang, tetapi dengan cara perlahan, menyebabkan jumlah graduan yang tidak bekerja naik 13 peratus.
  2. Jumlah peratusan peluang pekerjaan yang dicipta sejak 2011 kebanyakkannya adalah di kategori kemahiran bawahan dan kemahiran pertengahan, dan tidak sesuai untuk graduan kita.
  3. Gaji graduan dari 2007 sehingga tahun lepas tiada peningkatan jika dikira selepas menolak inflasi, ianya tiada perbezaan.
  4. Gaji rakyat Malaysia tidak mampu untuk menampung kehidupan seharian. Ini kerana kadar inflasi adalah lebih tinggi daripada kadar kenaikan gaji. Mengikut statistik dari Jabatan Perangkaan Negara, 50% pekerja di Malaysia hanyalah bergaji di bawah RM2,000.
  5. Peningkatan harga barang terutamanya barangan keperluan.

Dalam wacana itu juga, Dr Muhammad menerangkan kenapa kadar inflasi kita rendah tetapi rakyat mengeluh harga barang naik. Ini adalah kerana kadar inflasi kita hanya menunjukkan purata peningkatan harga barang dari 500 lebih item yang terlibat di mana termasuk dengan barangan yang jarang dibeli seperti kasut, baju yang sedang mengalami penurunan harga. Manakala harga barang keperluan seperti gula, minyak masak (naik 40%) dan lain lain barangan keperluan menaik dengan lebih tinggi dari biasa. Beliau juga menerangkan faktor faktor utama yang menaikkan harga barang keperluan di Malaysia.

3 Faktor Kenaikan Harga Barang

  1. Subsidi ditarik (tepung, minyak masak, beras, dan gula)
  2. GST memberi kesan kepada kenaikan harga barang secara lansung
  3. Kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia. Ringgit berbanding USD jatuh 42% sejak 2011, Ringgit jatuh sebanyak 14-15% berbanding Euro Pound Sterling, Ringgit jatuh sebanyak 26% berbanding Singapore Dolar. Kita mengimport 97 %susu 70% peratus daging  50% sayur dari luar dan harga barang sudah pasti naik kerana kita membayar dengan ringgit yang lebih untuk barangan yang sama berpunca daripada penurunan matawang Ringgit Malaysia.

Saranan kerajaan juga sangat tidak sesuai dan tidak mengambil berat akan keluhan rakyat dengan menyokong rakyat untuk membuat pekerjaan seperti uber dan grab pada waktu malam selain kerja hakiki. Ini boleh melahirkan keluarga yang terumbang ambing kerana ibubapa sibuk bekerja dan tidak dapat memberikan masa yang berkualiti untuk keluarga.

Sebagai rumusan, melalui huraian yang terperinci dan bersahaja dengan loghat utara, Dr Muhammad wajar digelar Hero Rakyat, yang memperjuangkan nasib golongan marhain yang hari ini dilihat tidak adil kerana perlu membuat 2-3 kerja sehari bagi menampung keperluan hidup.

Kemaskini: Pada hari ini, beliau secara rasminya telah dilantik oleh Pejabat Perdana Menteri sebagai penasihat ekonomi kepada perdana menteri. Ini merupakan satu penghargaan atas jasa jasa beliau selama ini, juga dikenali sebagai Hero Rakyat dari kalangan Cendekiawan.

2 komen untuk “Dr Muhammed Abdul Khalid: Hero Rakyat Dari Golongan Cendekiawan”

  1. Hans says:

    seronok dengar dia bagi fakta dan bukan cakap kosong
    terbaik dr muhammed abdul khalid nih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat