Bullet Ant Mempunyai Gigitan Yang Paling Menyakitkan
Apa itu Bullet Ant/Paraponera Clavata?
Bullet Ant/Paraponera Clavata berada pada kedudukan senarai nombor satu dalam Indeks Schmidt Sting Pain sebagai semut api yang memunyai gigitan paling menyakitkan di dunia.
Indeks ini diilhamkan oleh Justin Schmidt berdasarkan kepada bisa gigitan semut ini yang dikatakan sama seperti terkena peluru senjata api. Malah, 30 kali ganda lebih menyakitkan daripada terkena sengatan serangga seperti tebuan dan lebah.
Sebelum ini, tidak ramai tahu bisa gigitan luar biasa yang dihasilkan oleh bullet ant ini sehinggalah seorang doktor botani dari Universiti Ghent, Belgium, Joseph Charles Bequaert (1886-1982) buat pertama kalinya mendedahkan sifat morfologi tentang semut api ini.
Bisa Apa Yang Dirembeskan?
Beliau juga memaklumkan bahawa kesakitan yang dicetuskan oleh serangga kecil itu bukan kerana gigitannya tetapi pencetus kepada rasa sakit tersebut adalah disebabkan oleh neurotoksin yang dilepaskan oleh semut api ketika ia menggigit. Neurotoksin ialah merupakan kompleks protein beracun yang biasa terdapat pada beberapa bisa ular. Kewujudan racun ini mula disedari ketika pencarian bahan alamiah dilakukan untuk kegunaan dalam membuat pestisid.
Apa Itu Pestisid?
Apa itu pestisid? Pestisid merupakan bahan kimia beracun yang digunakan untuk membunuh binatang perosak seperti serangga dan tikus. Selain itu, ia juga menjadi ramuan racun perosak. Betapa bahayanya bisa semu api ini sehinggakan ia digunakan sebagai racun perosak serangga dan tikus.
Saintis pada mulanya agak terkejut dan teragak-agak untuk mengesahkan penemuan racun berbisa daripada semut api itu. Ini kerana tidak masuk akal haiwan sekecil semut mampu melumpuhkan mangsanya dengan gigitan beracun seperti ular.
Apatah lagi jika dilihat dari segi saiz, semut ini hanya dianggarkan bersaiz antara 18 milimeter hingga 25 milimeter panjang. Ia kelihatan agak gempal dan berwarna hitam kemerahan. Jika dirujuk pada ukuran ini, ia tidaklah sebesar yang disangka.
Walau bagaimanapun, setelah diteliti faktor yang menyebabkan rasa kesakitan yang luar biasa, racun neurotoksin telah ditemui dalam abdomen semut api ini. Semut api ini akan menyuntik racun tersebut pada mangsanya melalui mulut. Setelah cecair berbisa memasuki badan mangsa, tindak balas dan rasa sakit akan serta-merta dirasai.
Kesakitan Yang Akan Ditanggung Mangsa
Antara kesakitan yang akan ditanggung oleh mangsa ialah rasa terbakar, berdenyut-denyut dan bengkak pada kawasan yang terkena gigitan semut api ini. Selain itu, mangsa juga turut berasa mual, menggeletar, suhu badan meningkat dan berpeluh secara berlebihan.
Dengan hanya satu gigitan, kesakitan yang teruk ini akan dirasai tanpa henti selama 24 jam. Rasa sakit ini hanya akan berhenti apabila mangsa mengalami lumpuh pada anggota badan dan yang paling teruk akan mengakibatkan Anaphylactic Shock .
Apa itu Anaphylactic Shock?
Apa itu Anaphylactic Shock? Anaphylactic Shock merupakan tindak balas alergi yang teruk terhadap bisa seperti lebah atau dari bahan-bahan lain. Ia boleh berlaku dalam tempoh hanya beberapa saat selepas terdedah kepada alergi. Dalam beberapa kes, kematian boleh berlaku hanya dalam tempoh beberapa minit.
Namun begitu, Paraponera Clavata bukanlah semut api yang agresif. Ia hanya akan menyerang mangsanya untuk mempertahankan diri atau melindungi sarang mereka. Semut api ini membuat sarang dalam koloni bawah tanah yang mengandungi banyak terowong dan ruang-ruang seperti bilik. Spesis ini hidup menjalar di pokok-pokok sehinggakan kehadirannya amat ditakuti oleh hidupan lain di dalam hutan Amazon di Brazil.
Sengatan Serangga Untuk Upacara Tradisi
Walaupun ia diketahui sangat merbahaya, namun dalam sesetengah komuniti orang asli masih ada yang menggunakan sengatan serangga ini untuk upacara-upacara tradisi. Sebagai contoh, suku kaum Satere-Mawe di Brazil menggunakan semut api beracun tersebut dalam upacara kepahlawanan untuk menjadi seorang lelaki.
Berdasarkan kepercayaan tradisi mereka, seorang lelaki perlu gagah dan mampu menahan kesakitan dan perlu dibuktikan melalui kemampuan menahan gigitan semut berbisa ini. Mereka akan memasukkan tangan ke dalam bekas khas yang berisi semut api ini.
Lelaki yang menjalani ujian ini tidak dibenarkan mengeluarkan tangan sehingga melepasi masa yang ditetapkan iaitu 10 minit untuk setiap sesi. Paling mengerikan, ia dilakukan bukan hanya sekali tapi wajib melakukannya sebanyak 20 kali! Fuhh~
Semut Api Untuk Merawat Penyakit
Selain itu juga, suku kaum asli di Amerika Tengah pula menggunakan sengat semut ini sejak berabad-abad lamanya untuk merawat beberapa penyakit seperti reumatisme, skit otot, sakit sendi dan juga digunakan untuk merawat luka.
Kebolehan serangga ini boleh dilihat ketika diletakkan pada bahagian tubuh yang terluka ataupun cedera. Ia akan bertindak balas dengan memulas kepalanya, manakala penyepitnya pula akan memegang luka. Kemudian, semut ini akan merembeskan air liurnya untuk menutup bahagian yang tercedera. Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh.