Cara Layanan Yang Betul Terhadap Anak Autism Di Peringkat Awal Kanak-Kanak
Cara-cara untuk mengenal-pasti anak Autism adalah melalui saringan M-chat. Pastikan saringan M-chat dibuat sewaktu umur 18 bulan dan 3 tahun (mengikut buku vaksinasi anak). M-chat adalah satu set soalan questionnaire yang harus diisi oleh ibu bapa dengan jawapan “Ya” atau “Tidak”. Ia adalah satu kaedah saringan untuk mengenal pasti sama ada anak-anak anda ada risiko Autism. Walaubagaimanapun, ia BUKAN kaedah untuk membuat diagnosis. Diagnosis akan dibuat berdasarkan sesi konsultasi yang mendalam.
Seterusnya, ada beberapa perkara yang saya boleh cadangkan berdasarkan apa yang disarankan oleh American Academy of Pediatrics.
1. Kanak-kanak kurang 18 bulan.
TIDAK DIGALAKKAN menggunakan gajet kecuali untuk membuat video call ke keluarga terdekat (ibu bapa, datuk, nenek). Elakkan memberi peranti media kepada anak-anak pada usia muda begini.
2. 18 bulan hingga 2 tahun
Hanya menonton program berkualiti BERSAMA ibu bapa. Jangan dibiarkan anak menonton seorang diri. Contoh program berkualiti adalah seperti Sesame Street dan Barney & Friends. Program yang dipaparkan sesuai untuk umur anak dan mampu untuk kembangkan minda anak. Elakkan siri seperti Ultraman, Power Rangers dan sebagainya kerana isi kandungannya tidak sesuai untuk umur muda. Apa yang dilihat di kaca peranti media akan dibawa ke media nyata. Adakah anda mahu anak berumur 2 tahun berikan flying kick kepada anda?
3. 2 tahun hingga 5 tahun
Menonton program berkualiti tidak lebih SATU JAM sehari. Ia masih memerlukan pemantauan daripada ibu bapa dan pastikan kurang dari satu jam sehari. Sekejap sahaja.
4. Elakkan menggunakan peranti media sebagai alat untuk menenangkan anak – anak.
Perkara begini sering dilakukan. Disebabkan sibuk untuk melakukan kerja rumah, anak disuap dengan gajet seperti puting atau pacifier. Anak akan diam buat seketika, tetapi ia akan membinasakan setelah sekian lama. Jika 50 kali anak menangis dan diberikan gajet setiap kali dia menangis, apakah yang anak akan fikirkan? “Aku akan diberi ganjaran setiap kali aku menangis dan tidak berkelakuan baik!” Reward for misbehaving. Adakah ini yang kita mahukan?
5. Elakkan penggunaan gajet di bilik tidur, waktu makan dan waktu bersama ibu bapa.
Meja hanya untuk makan.Bilik tidur hanya untuk tidur. Wujudkan ruang bebas gajet dirumah. Jangan biarkan anak bermain gajet di meja makan. Ibu bapa pun harus bersama. Jangan pula si bapa sibuk membalas WhatsApp di meja makan. Begitu juga di bilik tidur. Simpan segala gajet dan gantikan buku – buku cerita. Bacakan bedtime story setiap malam bersama anak – anak.
6. Elakkan program yang bergerak pantas (fast moving visuals) dan yang mempunyai adegan ganas.
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan animasi yang bergerak pantas (siri Spongebob Squarepants diberikan sebagai contoh dalam artikel) mengganggu tahap tumpuan anak – anak. Kanak – kanak akan cepat hilang tumpuan terhadap sesuatu perkara. Pada jangka masa panjang, ia boleh mengganggu pembelajaran mereka. Anda boleh lihat sendiri di kaca TV. Cuba bezakan program yang ditayangkan di Cbeebees dan BabyTV dengan di Nickelodeon. Rancangan seperti Teletubbies banyak menggunakan pergerakan yang perlahan dan gambaran luas (wide focus) manakala siri seperti Spongebob Squarepants pula banyak pergerakan yang pantas dengan scene yang berubah – ubah dengan kerap.
Tidak dinafikan, apa yang disarankan agak sukar untuk dipraktikkan. Pada awalnya ,anak – anak mungkin akan memberontak. Saya sendiri pernah mengalaminya. Anak sulong saya tidak henti menangis sepanjang hari apabila saya mula mengawal penggunaan peranti media. Lama – kelamaan ,ia akan menjadi biasa dan anda akan lihat perubahan yang ketara. Harus diingat, setelah kita ambil sesuatu daripadanya, kita perlu menggantikan dengan benda yang lain. Gantikan peranti media dengan buku. Buku – buku kanak – kanak sekarang tidak semahal dahulu, terutamanya setelah ada jualan buku Big Bad Wolf. Sekali sekala pergi borong buku kanak – kanak semurah RM 5.
Apabila ada masa dan berkemampuan, bawa anak – anak membuat aktiviti diluar. Bawa mereka ke taman. Ajak mereka bercucuk tanam. Para bapa boleh minta anak – anak bantu mencuci kenderaan di rumah. Wujudkan interaksi yang sihat.
Boleh rujuk laman web berikut untuk ketahui lebih lanjut.
https://www.m-chat.org
http://www.autismmalaysia.com/diagnosing-a-child-with-autism
Dr Ahmad Firdaus
Presiden dan Pengasas
Medical Mythbusters Malaysia