Chuck Feeney : Jutawan Yang Bercita-Cita Untuk Menjadi Miskin


Menjadi kaya merupakan impian semua orang dan sering dianggap sebagai penanda aras untuk berjaya dalam hidup.

Namun lain ceritanya dengan Chuck Feeney, seorang usahawan kaya dari Amerika Syarikat. Dengan duit jutaan dollar yang dimiliki, dia bermatlamat untuk menjadi miskin sebelum dia mati !

Chuck Feeney merupakan pengasas bersama Duty Free Shopper, syarikat bebas cukai barangan mewah yang terkemuka di Amerika Syarikat. Menerusi perniagaan berskala besar ini, beliau berjaya meraih kekayaan melebihi US$ 8 billion.

Chuck Feeney Digelar James Bond Of Philantrophy

Beliau sudah pun merancang untuk dermakan segala hasil perniagaannya bermula pada awal 1980an, iaitu ketika empayar perniagaannya sangat maju. Bermula dari situ, beliau pun mendapat idea membuka Yayasan Atlantic Philanthrophies pada tahun 1982.

Yayasan bertaraf antarabangsa ini ditubuhkan untuk memberi manfaat kepada pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan dan hak asasi manusia.

Pada 15 tahun pertama penubuhan yayasan ini, Chuck telah mederma secara senyap-senyap. Forbes juga menggelar lelaki ini sebagai James Bond of of Philantrophy kerana sikapnya yang suka menderma secara rahsia.

Memang sukar untuk menderma secara rahsia, lebih-lebih lagi jika wang yang didermakan bernilai jutaan dollar !

Hanya pada tahun 1997, beliau muncul dari persembunyian dan mengajak ramai orang lagi untuk sertai misinya dalam membantu orang yang memerlukan di seluruh dunia.

Chuck Feeney terkenal sebagai dermawan

Walaupun dihujani dengan kekayaan, beliau memilih untuk hidup sederhana. Beliau juga terkenal sebagai orang yang rendah diri dan sering memilih penerbangan kelas ekonomi sementara rakan perniagaan dan ahli keluarga yang lain memilih business class setiap kali menaiki kapal terbang.

Christopher Oescsli, seorang pekerja yang setia dengan Chuck Feeney selama lebih 30 tahun merangkap presiden Atlantic Philantrophies juga pernah mendedahkan cubaan majikannya untuk kembali kepada gaya hidup mewah.

“Beliau pernah beli kediaman mahal dengan hiasan cantik. Namun, lama-kelamaan, beliau tinggalkan semua itu kerana dianggap tidak sesuai dengannya. Kini beliau tidak miliki rumah mahupun kereta.

Apa yang dia ada hanyalah jam Casio bernilah US$ 10 dan beliau selesa membawa dokumen di dalam beg plastik sahaja. Itulah Chuck Feeney yang sebenarnya dan penampilan itulah yang betul-betul sesuai dan beliau juga cukup selesa dengannya.”

“Berapa banyak kapal layar dan kasut berjenama yang anda perlukan ? Apa gunanya mengumpul harta yang banyak jika kita tidak boleh bawa satu sen pun ke kubur ?” ulas Chuck bila disoal tentang gaya hidupnya yang sederhana dan tidak berpadanan dengan status sebenarnya.

“Harta sebenarnya merupakan tanggungjawab pemilik. Sebagai manusia yang bertanggungjawab, kita perlulah tanam rasa tanggungjawab untuk perbaiki kehidupan sesama manusia. Jika kita tidak hulurkan bantuan, maka gelaplah masa depan generasi akan datang”, kata Chuck.

Bukan Lagi Rahsia, Chuck Feeney Kini Jadi Ikon Dermawan

Sikap dermawan serta rendah diri yang tertanam pada Chuck Feeney telah berjaya menarik ramai usahawan berpengaruh untuk ikuti jejak langkahnya.

Antara jutawan yang mengikuti jejak langkah Chuck Feeney ialah Bill Gates dan Warren Buffet. Mengambil Chuck Feeney sebagai contoh yang baik, kedua-dua jutawan ini mengikuti jejak langkah beliau dengan melancarkan Giving Pledge pada tahun 2010, iaitu sebuah kempen besar-besaran bagi mengajak jutawan dari serata dunia untuk dermakan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah kekayaan yang ada sebelum mereka mati.

“Chuck merupakan inspirasi terbesar bagi kempen Giving Pledge. Beliau merupakan idola yang baik dan menjadi pendorong terkuat untuk kita kongsikan kekayaan yang dimiliki bersama orang lain,” kata Warren Buffet.

chuck feeney juga berjaya buka hati dermawan lain untuk ikuti jejak langkahnya

Pencapaian Atlantic Philantrophies

Antara penerima manfaat terbesar dari yayasan yang dibina oleh Chuck ialah Queens University Belfast yang telah menerima bantuan derma sebanyak US$150 juta dari tahun 1993 hingga 2015.

Wang ini disalurkan kepada pembangunan Pusat Sains Kesihatan dan Penyelidikan Perubatan universiti tersebut. Sumbangan Chuck Feeney telah memberi nafas baru kepada universiti ini dan telah berjaya mengubah hidup ramai pelajar yang ingin menceburkan diri dalam bidang perubatan.

Dana dari Chuck Feeney juga telah dimanfaatkan bagi pembukaan 21 sekolah rendah dan 8 sekolah menengah di Moira, United Kingdom dalam masa 18 tahun. Jumlah pelajar yang bersekolah di sekolah-sekolah ini pula telah mencecah seramai 22,000 orang !

chuck feeney berjaya membantu jutaan orang di luar sana

Salah satu sumbangan terakhir Chuck Feeney ialah sejumlah wang bernilai US$ 350 juta kepada universiti lamanya Cornell untuk membina kampus teknologi.

Setelah beroperasi hampir 4 dekad, akhirnya Atlantic Philantrophies ditutup pada tahun 2020. Walaupun sudah tidak beroperasi lagi, namun yayasan yang ditubuhkan Chuck Feeney ini pasti akan dikenang sampai bila-bila.

Di Manakah Chuck Feeney Sekarang ?

chuck feeney sekarang selesa tinggal di apartmen dua bilik bersama isterinya

Jarang sekali kita dengar tentang jutawan yang sangat pemurah seperti Chuck Feeney. Selepas berusaha untuk dermakan jutaan ringgit, beliau akhirnya berjaya mencapai matlamat untuk menjadi miskin pada usia 89 tahun.

Chuck Feeney kini tinggal dalam suasana yang sangat sederhana di apartmen dua bilik di San Francisco bersama isterinya, Helga. Jika anda terserempak dengan lelaki lanjut usia ini, anda pasti tidak menyangka yang beliau pernah bergelar jutawan tersohor suatu ketika dahulu !

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat