Budaya Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah
Budaya Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah
Buli membawa maksud perbuatan seperti mempermain-mainkan orang, mengejek, memeras ugut, menunjuk isyarat lucah, menumbuk, memaki, menggertak dan sebagainya. Yang dilakukan oleh pelaku terhadap mangsanya. Dalam erti kata lain, buli adalah perbuatan mengasari orang yang lemah untuk memperlihatkan kekuatan atau keganasan seseorang.
Sejak kebelakangan ini, kita kerap mendengar kes buli yang dilaporkan melalui media massa. Gejala ini bukanlah gejala baru di negara kita malah gejala buli pelajar sekolah menunjukkan kadar peningkatan dari semasa ke semasa. Ini berdasarkan banyak laporan media menunjukkan pelbagai kejadian buli yang berlaku bukan saja di sekolah berasrama penuh malah sekolah harian biasa. Kes ini bukanlah kes terpencil kerana kes ini sudah mendapat perhatian seluruh masyarakat negara kita. Hal ini terjadi kerana gejala buli sudah semakin melampau kebelakangan ini sehingga menyebabkan kematian.
Antara Punca Berlakunya Budaya Buli :
1. Kurangnya Didikan Agama
Negara yang sedang pesat membangun menuntut rakyatnya bekerja keras untuk memenuhi keperluan hidup. Dalam mengejar hal dunia, ibu bapa terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk mendidik dan meluangkan masa untuk anak-anak. Bagi keluarga yang berpendapatan tinggi, hal penjagaan anak diserahkan kepada pembantu rumah. Ibu bapa seharusnya sedar penerapan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak lebih berkesan jika dididik dari awal. Mereka yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak mempunyai masa terluang untuk berkomunikasi dan memahami anak-anak. Kelemahan institusi kekeluargaan menyebabkan anak-anak dibiarkan bebas dan kurang permantauan daripada ibu bapa. Kesannya, ibu bapa gagal memberikan didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Ada antara pelaku-pelaku kegiatan buli ini menganggap perbuatan mereka sekadar hobi semata-mata. Ini menujukkan bahawa masyarakat yang semakin maju dan berpendidikan tinggi tidak melahirkan insan yang berfikiran waras.
Majoriti pelaku jenayah buli mempunyai latar belakang masalah emosi yang melampau-lampau. Masalah yang timbul dalam keluarga ataupun kerja menyebabkan tekanan yang membebankan seseorang individu. Akibat tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dan kekurangan pengetahuan dalam menangani tekanan telah menyebabkan mereka hilang kawalan ke atas emosi mereka. Seterusnya mereka akan bertindak membuli orang lain sebagai salah satu cara bagi melepaskan tekanan. Sesetengah pembuli turut mengaku bahawa mereka berasa gembira dan puas hati selepas berbuat demikian.
2. Pengaruh Rakan Sebaya
Lazimnya, golongan pembuli berfikiran kurang matang dan gagal membezakan baik buruknya sesuatu tindakan. Sebaliknya, mereka sentiasa terikut-ikut akan perangai dan tindakan rakan sebaya. Apabila individu itu tersalah memilih rakan, mereka kemungkinan besar akan terjebak dengan gejala buli ini. Di samping itu, keadaan akan bertambah buruk dengan sifat ego mereka yang tidak mahu kalah setelah dicabar rakan sebaya. Rakan-rakan pula akan memprovokasi individu tersebut sehingga tindakan pembuli di luar kewarasan otaknya.
3. Pengaruh Media Massa
Media massa kini juga telah menjadi pemangkin kepada budaya negatif ini. Pelbagai genre filem dan drama bersiri luar negara yang disiarkan di televisyen sentiasa memaparkan budaya asing yang sememangnya kontras dengan budaya tempatan. Program-program yang diimport dari negara-negara barat berunsurkan aksi-aksi ganas. Terdorong dengan perasaan ingin mencuba aksi-aksi yang dipaparkan pelaku buli akan bertindak ke atas mangsanya tanpa memikirkan padah yang bakal mereka perolehi.
4. Kekurangan Pengawasan & Disiplin Yang Longgar Di Sekolah
Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli tentang disiplin sekolah serta kelonggaran disiplin member peluan emas kepada para pelajar untuk mengambil kesempatan dalam melakukan gejala sosial seperti gejala membuli. Kelonggaran disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang untuk melakukan apa saja perkara secara bebas dan ini adalah disebabkan tiada pihak yang mengambil peduli sehingga membawa masalah –masalah yang tidak bermoral.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribhasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’.
Jadi Ibu bapa harus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan anak mereka tidak terlibat. Kita juga perlu memikir nasib mangsa buli kerana mereka bukan saja mendapat kecederaan fizikal malah turut menjejaskan emosi. Usaha membanteras gejala buli perlu ditangani dengan segara bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan sekaligus menjamin kesejahteraan negara.