Mengisahkan Misi Menyelamatkan Budak Terjatuh Dalam Lubang, Filem Tamil Aramm Mirip Dengan Kisah Rayan
Insiden Rayan yang menggemparkan dunia mirip kisahnya dengan Filem Tamil Aramm.
Bulan Februari pada tahun ini dimulakan dengan kisah tragik seorang kanak-kanak Maghribi yang terperangkap di dalam sebuah perigi sedalam 32 meter. Kisah ini berjaya mengumpulkan jutaan warga dunia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama mendoakan keselamatan Rayan Oram yang berusia 5 tahun.
Kisah Rayan Tarik Perhatian Warganet
Mencecah lebih 150,00 ciapan di Twitter, #SaveRayan turut trending di negara ini membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia yang setia mengikuti perkembangan misi menyelamat Rayan yang sudah terperangkap sejak 1 Februari lepas.
Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya Rayan berjaya dikeluarkan pada 6 Februari 2022 oleh pasukan penyelamat. Namun, aturan Allah mengatasi segalanya apabila Rayan disahkan meninggal dunia oleh Istana Diraja Maghribi.
Memang sukar untuk gambarkan kekecohan yang berlaku di tempat terjatuhnya anak kecil itu. Jika dilihat pada perkembangan misi menyelamat ini, ribuan orang membanjiri tempat kejadian.
Dikhabarkan, ramai juga yang datang dari jauh semata-mata ingin mengetahui perkembangan mengenai kes ini. Operasi menyelamat pula perlu diatur seteliti yang mungkin dari pelbagai pihak bagi mengelakkan tanah runtuh yang boleh menyukarkan lagi keadaan.
Filem Tamil Aramm Diinspirasikan Dari Insiden Sebenar
Kalau anda nak tahu, insiden seakan kes Rayan ini rupanya pernah berlaku di India. Filem Tamil bertajuk Aramm turut mengambil inspirasi dari insiden sebenar ini untuk membawa penonton selami cabaran menyelamat seorang anak kecil yang turut terjatuh ke dalam lubang perigi.
Filem Aramm berkisar tentang misi menyelamat seorang budak perempuan bernama Dhanshika yang terjatuh ke dalam lubang yang dalam dan sempit ketika dalam perjalanan bersama ibunya yang hendak bekerja.
Misi menyelamat segera diatur di bawah pantauan Pegawai Daerah bernama Madhivadhani lakonan ‘Lady Superstar’ Nayanthra.
Filem Aramm Sarat Dengan Mesej
Madhivadhani telah kerahkan segenap tenaga kerja untuk selamatkan Dhanshika namun ia bukanlah perkara yang mudah. Waktu genting ini membuatkan ramai panik dan karenah dari pelbagai pihak turut ditonjolkan dalam filem ini mencerminkan reaksi tipikal masyarakat dunia apabila berhadapan dengan waktu kecemasan.
“Kamu sebagai penjawat awam, kenapa persoalkan kerajaan atas kejadian ini ? Kamu mencabar posisi kami ! Buat saja tugas kamu ! Jangan racuni fikiran rakyat !” – Bos Madhivadhani
“Mereka bawa mesin yang kita tak pernah tengok. Saya rasa ini mesin pertama dibeli oleh kerajaan India. Kamu hanya guna tali. Tiada mesin untuk selamatkan anak itu. Tengoklah, dia berdiri macam orang bodoh !” – Penduduk kampung.
“Roket dibina sebagai lambang kemajuan. Tapi kita di India, masalah perigi masih belum selesai, tapi sibuk melancarkan roket. Kenapa tiada peruntukan untuk beli mesin penyelamat mangsa perigi ?”– Tetamu rancangan bual bicara di TV.
Memang tidak dapat kita nafikan lontaran dialog oleh pelbagai watak dalam filem ini banyak mencerminkan kelemahan masyarakat di seluruh dunia termasuklah di negara kita sendiri.
Filem Aramm Berjaya Rangkul Banyak Anugerah
Mesej yang dibawa dalam filem ini bagaikan sebuah tamparan kepada semua pihak. Filem yang membawakan genre sosiopolitik jarang diketengahkan dalam perfileman India namun ia berjaya mengajak orang ramai hayati situasi semasa masyarakat yang bermacam ragam dan tabiat ketika ditimpa waktu kritikal.
Filem ini turut mendapat sambutan hangat di India apabila digelar sebagai filem yang jujur dan tidak gentar mempamerkan cela masyarakat ketika berhadapan dengan situasi getir.
Filem Tamil Aramm juga berjaya merangkul beberapa anugerah pada tahun 2018 dalam Norway Tamil Film Festival bagi kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik, serta memenangi beberapa anugerah filem tempatan pada tahun tersebut.
Lepas dah tengok filem ini, barulah anda boleh bayangkan betapa susahnya untuk rangka plan dan atur tenaga kerja demi seorang anak kecil yang terperangkap dalam lubang yang dalam dan sempit.
Itu tak termasuk lagi dengan macam-macam karenah dan reaksi masyarakat yang pelbagai ragamnya.
Adakah pasukan Madhivadhani berjaya untuk selamat Dhansika dan dapatkah wanita ini menjadi hero kepada penduduk kampung ? Kalau nak tahu kesudahannya, kenalah tengok filem Aramm !