Evolusi Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu Lambang Jati Diri Turun Temurun

Evolusi Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu Lambang Jati Diri Turun Temurun


Pakaian tradisional masyarakat Melayu melambangkan keunikan identiti bangsa yang sudah wujud sejak beribu tahun lamanya.

Busana tradisional memberi gambaran yang baik tentang budaya bangsa seseorang yang hidup di dalam sesebuah kelompok masyarakat.

Seiring dengan peredaran waktu dan pengaruh kuasa luar, pakaian tradisional masyarakat Melayu berkembang baik dari semasa ke semasa sehinggalah menjadi baju Melayu, baju kurung dan busana tradisional lain yang kita kenal pada hari ni.

Ia turut melambangkan peradaban dan kemajuan bangsa, serta kepercayaan dan amalan yang dipegang sejak turun-temurun.

Pakaian tradisional masyarakat Melayu juga relevan untuk digayakan bukan sahaja untuk majlis rasmi dan keramaian, malah ia juga sesuai digayakan ke tempat awam asalkan selesa kepada si pemakai. Seperti nenek moyang kita dahulu, busana ini juga menjadi pakaian sehari-hari.

Sejarah Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu

Mungkin perkara ini jarang diceritakan dalam buku sejarah di sekolah, namun tahukah anda sebenarnya nenek moyang kita yang hidup pada zaman prasejarah mempunyai kemahiran membuat pakaian daripada kulit kayu?

Hal ini terbukti daripada penemuan artifak batu penerap. Batu ini dipercayai digunakan oleh orang-orang terdahulu sebagai penumbuk kulit kayu supaya menjadi lebih lembut dan nipis untuk diolah menjadi pakaian.

Cara hidup terus berubah seiring dengan masa sehingga datangnya kepercayaan Hindu-Buddha ke Tanah Melayu.

Ketika itu, orang Melayu mengenakan pakaian harian yang serba ringkas. Mereka hanya menutup bahagian tertentu sahaja di tubuh.

Bagi kaum lelaki mereka hanya menggunakan 2 helai kain iaitu kain di kepala yang diikat ringkas dan kain sarung dikilas atau kain sarung dijadikan cawat.

Kaum wanita pula menggunakan 3 helai kain iaitu kain sarung, kain kemban dan kain selendang.

Golongan wanita bangsawan dengan rakyat biasa dapat dibezakan dengan penggunaan kain yang lebih mahal dan indah serta pemakaian perhiasan emas.

Ini juga membuktikan jurang sosial di kalangan masyarakat yang sudah tercetus melalui cara berpakaian sejak dahulu lagi.

Pengaruh Islam Dalam Pakaian Melayu

Pada abad ketujuh, para pedagang Arab pula membawa ajaran Islam melalui kegiatan perdagangan.

Ini secara tidak langsung telah mempengaruhi reka bentuk pakaian tradisional masyarakat Melayu secara berperingkat.

Menurut catatan sejarah, transisi perubahan busana tradisional bangsa Melayu dapat dilihat antara abad ke-7 hingga abad ke-13.

Waktu ini juga melihatkan cara pemakaian masyarakat Melayu yang lebih sopan dengan pemakaian yang menutup badan.

Kaum wanita dan lelaki memakai baju berbentuk tunik pendek berkain kapas hijau dengan bahagian bawah dililitkan dengan kain sari sutera.

Baju tunik adalah baju yang ditebuk di bahagian leher bagi memudahkan pemakainya menyarungkan baju ini melalui leher, seperti ketika memakai baju kurung.

Proses evolusi terhadap pakaian Melayu telah mencapai mencapai tahap tertinggi pada zaman kerajaan Melayu Melaka.

pakaian tradisional masyarakat melayu

pakaian tradisional masyarakat melayu telah melalui evolusi

Kredit Foto : siraplimau.com

Agama Islam mula dihayati oleh masyarakat tempatan selepas abad ke-13. Sejak itulah pakaian masyarakat Melayu tempatan mula dipengaruhi oleh cara pemakaian orang Arab seperti jubah.

Perubahan rekaan baju Melayu dengan elemen Arab juga telah diilhamkan oleh seorang tokoh bernama Tun Hassan.

Seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, beliau merupakan individu yang mengolah rekaan dengan memanjang dan membesarkan pesak menjadi lebih longgar dan panjang.

Dengan perubahan yang diperkenalkan, rekaan busana Melayu kian mirip dengan bentuk rupa jubah yang sering digayakan oleh orang Arab.

Dahulu, rakyat tidak dibenarkan memakai kain berwarna kuning dan kain sutera berwarna kuning atau putih. Mereka juga tidak boleh memakai perhiasan diri.

Hal ini kerana pengaruh Hindu menganggap warna kuning sebagai warna keramat yang khusus untuk golongan bangsawan.

Semakin lama, fahaman ini tidak lagi diguna pakai. Rangkaian baju yang dipakai oleh golongan istana dan golongan bangsawan telah menjadi ikutan rakyat biasa.

Akhirnya, fesyen dan reka bentuk pakaian tradisional Melayu antara golongan istana dan rakyat hampir serupa. Tapi yang membezakan baju itu hanya jenis kain serta aksesori yang digunakan.

Penerapan Elemen Barat Dalam Busana Tradisional Melayu

Pakaian tradisional masyarakat Melayu turut jalani evolusi ketika zaman penjajahan kuasa Barat di rantau Asia Tenggara. Ketika itu, pereka mula menyerap ciri – ciri dari Barat pada pakaian tradisional Melayu kerana ia dianggap sesuai.

Hal ini turut dijelaskan dalam buku Pakai Patut Melayu yang ditulis oleh Mejar Dato’ Haji Muhamad Said. Menerusi bab “Pakaian Kehormatan Cara Budaya Barat dan Pengaruhnya Terhadap Cara Berpakaian Orang Melayu”, baju kacukan ini dipakai oleh semua golongan masyarakat termasuk orang biasa dan penjawat awam terutamanya ketika bergaul dengan orang putih pada awal abad ke-20 terutamanya di Johor dan Singapura.

Pada zaman penjajahan British, pakaian bagi kaum lelaki adalah baju labuh berkolar dengan kain sarung atau pakaian kot, vest, seluar panjang serta kain samping.

Pakaian untuk kerabat diraja pula adalah kot berbutang emas atau logam berbaris yang mengancing baju yang berbuka di bahagian hadapan. Ia turut dipadankan dengan seluar panjang berfesyen Inggeris.

Antara pakaian lain yang digayakan adalah baju Melayu yang digabungkan bersama jaket yang bertutup leher serta seluar panjang slack.

Bagi kaum wanita pula, terutamanya bagi golongan bangsawan, baju kurungnya masih dikekalkan dalam bentuk labuh dan longgar.

Di samping itu, baju kurung turut dikenakan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’. Terdapat juga ‘baju labuh’ yang berbelah di hadapan. Bagi golongan istana atau golongan bangsawan, penggunaan aksesori seperti kerongsang turut menjadi pelengkap bagi busana mereka.

Jenis Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu

1. Baju Kurung/ Baju Melayu Teluk Belanga

Buku Pakaian Patut Melayu turut menjelaskan tentang asal-usul pakaian baju kurung yang dipakai sehingga hari ini. Asalnya, pakaian ini berasal dari negeri Johor dan mula dipakai sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar; iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.

Ketika itu, Teluk Belanga berada di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah memberikan nafas baru kepada pakaian Melayu dengan rekaan unik pada bahagian leher. Jahitan “tulang belut” dan “sembat halus” pada seluruh baju kurung digunakan agar rekaan kelihatan lebih kemas dan menarik. Baju kurung Teluk Belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan.

Pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.

Baju kurung Teluk Belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang yang berwarna emas atau perak. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar serta kain samping dagang.

Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai.

Kini, kaum wanita gemar menggunakan kerongsang kecil sebagai pengganti butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

2. Baju Kurung/ Baju Melayu Cekak Musang

Baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan sejak dari mula pakaian ini dicipta. Baju kurung yang ditambah dengan leher berdiri; dinamakan baju kurung cekak musang atau baju wan.

Baju ini telah dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis (jubah jemaah haji yang pulang dari Makkah). Jubah ini telah dipendekkan ke paras punggung supaya selesa dipakai. Poketnya dijahit serupa dengan baju kurung Teluk Belanga.

Bahagian leher baju kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang. Bahagian leher ini tidak dijahit tulang belut halus.

Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar potong Melayu dengan kain samping dagang luar. Bagi kaum wanita pula, baju kurung cekak musang juga dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

baju melayu merupakan pakaian tradisional masyarakat melayu

Kredit Foto Soscili.my

3. Tanjak

Juga dikenali dengan nama lain seperti destar dan tengkolok, tanjak merupakan bukti kreativiti masyarakat Melayu yang mengolah lipatan kain yang cukup cantik mengikut peredaran zaman. Sebelum ini, hanya kain digunakan untuk menutup kepala. Lama kelamaan ia diolah dengan struktur yang lebih kemas dengan rekaan yang pelbagai seperti Tanjak Lang Menyongsong Angin, Tanjak Merbah Belaga dan Tanjak Mahkota Alam.

Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Sultan akan mengenakan tanjak yang diperbuat daripada kain sutera dari China atau India, manakala orang kebanyakan pula akan memakai tanjak yang diperbuat daripada kain biasa.

4. Seluar

Pemakaian seluar diperkenalkan oleh saudagar Arab, Parsi dan India Muslim. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah, seluar menjadi popular di kalangan pembesar dan orang istana.

Ini kerana pembuatan seluar pada masa itu memerlukan kepakaran menjahit dan penggunaan kain yang banyak. Hanya golongan berada yang mampu menggayakannya sebagai pakaian harian.

Golongan bangsawan memakai seluar potongan Acheh, manakala rakyat biasa menggunakan dua jenis potongan seluar iaitu seluar ‘gunting Melayu’ dan seluar ‘gunting Cina’. Seluar potongan gunting Melayu mempunyai potongan yang paling ringkas serta memudahkan pergerakan lasak.

4. Kain Samping

Baju Melayu tidak akan lengkap tanpa pemakaian kain samping daripada kain songket atau kain pelikat yang dililit kemas pada pinggang.

Seperti pakaian tradisional masyarakat Melayu yang lain, pemakaian samping juga ada aturan dan simboliknya tersendiri.

Samping yang dipakai di bawah lutut bermaksud lelaki itu sudah berkahwin.

Samping yang dipakai di atas lutut pula digayakan oleh lelaki bujang. Jika orang sudah berkahwin memakai samping di atas lutut, ini bermakna si pemakai berhasrat untuk berkahwin lagi!

Suatu ketika dahulu, kedudukan kepala samping juga melambangkan status seseorang dalam kelompok masyarakat.

Kerabat diraja mengikat samping di sebelah kanan, para bangsawan pula mengikat di sebelah kiri. Orang kebanyakan pula biasa mengikat di bahagian tengah.

samping turut menjadi pelengkap bagi pakaian tradisional masyarakat Melayu

Kredit Foto : Harian Metro

5. Kain Sarung

Pada masa dahulu, terdapat satu lagi kain sarung yang dinamakan ‘kain dagang’. Kain ini dipakai oleh kaum wanita sebagai kain tudung.

Kain dagang ini digunakan untuk melindungi diri daripada cahaya matahari dan daripada pandangan lelaki. Apabila sampai di rumah, kain ini diikat pada pinggang sahaja. Dahulu, kain sarung wanita ini boleh juga dijadikan sebagai senjata untuk mempertahankan diri.

6. Baju Kurung Moden

Baju kurung moden mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan baju kurung tradisional. Baju kurung moden digubah supaya kelihatan kemas dan menarik.

Dengan jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju, rekaannya tidak polos seperti baju kurung tradisional. Namun, ciri-ciri utama masih dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang dan tetap dipadankan dengan kain sarung.

7. Kebaya

Pakaian tradisional baju kebaya ini dikatakan berasal daripada kaum Cina yang datang ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Lama kelamaan baju kebaya diterima oleh masyarakat tempatan di Kepulauan Melayu. Di Pulau Jawa, baju kebaya adalah dipakai oleh golongan-golongan bangsawan dan kerabat-kerabat pemerintah. Seterusnya, baju kebaya kemudiannya dijadikan pakaian rasmi pada zaman penjajahan Belanda.

Jenis-Jenis Baju Kebaya

Boleh dikatakan hampir setiap negeri ada rekaan kebaya sendiri. Antara variasi kebaya lain yang boleh didapati di negara kita ialah :

Baju Belah Kebaya Panjang (Johor)

Rekaan kebaya dengan potongan kain yang labuh memanjang hingga ke buku lali dan mempunyai belahan di bahagian hadapan.

Kebaya Kota Bharu (Kelantan)

Kebaya ini mempunyai rekaan yang lebih berbeza berbanding kebaya lain dengan kancing di bahagian hadapan baju dada.

pakaian tradisional masyarakat melayu

Kebaya Riau-Pahang (Pahang)

Juga dikenali sebagai kebaya Turki, kebaya Riau- Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung Cekak Musang.

kebaya menjadi antara pakaian tradisional masyarakat melayu popular di negeri tersebut

Kredit Foto : soscili.my

Kebaya Nyonya

Tidak hanya menjadi pakaian tradisional masyarakat Melayu, kaum Cina Peranakan juga mempunyai rekaan kebaya sendiri yang dikenali sebagai kebaya nyonya. Berbeza dengan material kebaya lain, ia menggunakan fabrik yang mempunyai corak ala-ala bunga yang dipanggil kasa rubiah.

Kebaya Selangor (Selangor)

Kebaya dengan reka bentuk yang ringkas. Ia mempunyai kolar seperti kebaya lain dan amat cantik dan biasa dilengkapi dengan perhiasa seperti kerongsang.

Kebaya Pulau Pinang (India Peranakan)

Kebaya ini dipengaruhi oleh masyarakat India Muslim yang menetap di sana dengan sedikit corak dan rekaan daripada sari.

Kebaya Saloma (versi peragawati Saloma)

Kebaya dengan potongan yang mengikut bentuk badan dan lebih seksi.

pakaian tradisional masyarakat Melayu

Kebarung (gabungan kebaya dan baju kurung)

Sebagai bangsa Melayu, kita perlulah kenali dan martabatkan busana tradisional kita yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sejauh mana pun kita mengembara, semaju mana pun peralihan zaman yang kita alami sekarang, kita tidak boleh lupakan pakaian tradisional masyarakat Melayu yang menjadi sebahagian daripada identiti kita.

Ia perlulah dipelihara dengan baik dan jangan biarkan kemodenan merenggut kekayaan khazanah tradisi kita agar kegemilangannya terpelihara untuk generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat