Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan orang awam tidak tertipu dan wang yang didermakan itu dapat diderma kepada saluran yang sepatutnya.

Rajab Ahad Ismail (dua dari kiri) mengedarkan risalah panduan membanteras sindiket pengemis atau aktiviti mengutip derma secara tidak sah kepada seorang peniaga makanan di Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang mencemarkan imej daerah ini serta menjual nama agama untuk meraih keuntu­ngan.

Mengenai sindiket pengemis ini kita amat memerlukan ke­sedaran serta kerjasama orang ramai. Aktiviti memberi sedekah itu memang mendapat pahala le­bih-lebih lagi di bulan Ramadan, tetapi sekiranya saluran itu tidak betul kita seolah menggalakkan kegiatan ini merebak serta berleluasa.

Oleh itu, kita memberi ke­sedaran dengan mengedarkan risalah daripada JKM iaitu ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ serta menasihati mereka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengunjung serta penjual sempena Program Community Policing di Bazar Ramadan Pusat Sivik di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdullah Daud; Pegawai Jabatan Agama Islam Gua Musang, Khairuddin Mohamed dan wakil JKM, Mohd. Farhan Abdul Rahman.

Pada program itu, seramai 20 pegawai dan anggota polis turut mengedarkan 300 risalah berkaitan aplikasi mudah alih terbaharu iaitu berkaitan rakan Ronda Telefon Pintar Sukarela (VSP).

Rajab Ahad berkata, menerusi aplikasi itu masyarakat dapat melaporkan pelbagai kejadian jenayah serta menyebarkan maklumat awal berkaitan bencana dan kemalangan di kawasan mereka.

VSP boleh dimuat turun secara percuma melalui portal Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) pada telefon pintar masing-masing,” katanya.