Bakal Jelajah 70 Buah Negara, Anita Yusof Bersyukur Dapat Sampai Ke Tanah Suci Dengan Menunggang Motorsikal Sendirian
Anita Yusof, seorang rider dari Malaysia yang juga pernah mendapat gelaran penunggang wanita Muslim pertama mengelilingi dunia akhirnya berjaya sampai ke Mekah setelah mengharungi pelbagai cabaran dalam ‘Global Dream Ride 2’, iaitu misi pengembaraan solo yang akan jelajah 70 buah negara.
Dimulakan sekitar tahun 2019, misi solo ini tergendala akibat penularan wabak pandemik yang melanda seluruh dunia. Ini menyebabkan misi Anita terhenti akibat penutupan sempadan oleh kebanyakan negara.
Anita dilaporkan hanya sempat mengembara 14 buah negara dan perlu meninggalkan motorsikalinya di rumah seorang kawan di Ethiopia. Hanya pada awal tahun ini beliau berjaya mendapatkan kembali motorsikal kesayangannya.
Anita Bersyukur Dapat Jejakkan Kaki Ke Kota Mekah
Meneruskan pengembaraannya, wanita kelahiran Batu Pahat, Johor ini menzahirkan rasa syukur sambil berkongsi keberadaannya di Tanah Suci sejak beberapa hari lalu.
“Dalam keheningan subuh pagi aku lepasi ketatnya kawalan keselamatan di Al Haram. Dan akhirnya, aku berjaya juga mengabadikan kenangan bersama GD di Masjidilharam Mekkah. Sesungguhnya Allah Maha Besar & Dialah sebaik-baik perancang,” coret Anita di laman Facebooknya.
Memetik laporan akhbar tempatan, sebaik mendapatkan semula motorsikalnya, beliau bercadang untuk teruskan misi mengembara ke dari Jeddah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Iran, Turki, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan sebelum ke Australia dan kembali ke Malaysia.
Anita Mulakan Misi Mengembara Sejak 2015
Demi meneroka potensi diri serta ingin bebas dari kemelut konflik kehidupan, pensyarah ini cekal menjelajah seluruh dunia sendirian.
11 September 2015 merupakan tarikh keramat buat Anita. Pada hari itu, beliau meninggalkan rumahnya di Ipoh untuk mulakan pengembaraan bermotosikal secara solo ke seluruh dunia. Beliau gelarkan misi pengembaraan ini sebagai Global Dream Ride.
Mendapat inspirasi melalui salah sebuah blog kembara yang mengelilingi dunia dengan berbasikal, beliau mula menanam azam untuk mengembara menggunakan motorsikal pula.
Anita telah menelusuri 40 buah negara dalam 4 benua termasuklah negara yang cukup berbahaya seperti Mexico, Colombia, Chile, Turkey dan Mongolia dengan menaiki motorsikal jenis Yamaha FZ150i.
Wanita cekal ini juga tidak menerima sebarangan sokongan mahupun dana kewangan daripada mana-mana pihak. Sebaliknya, beliau membelanjakan wang sendiri sekitar RM 100,000 semata-mata untuk penuhi impian mengelilingi dunia secara solo dengan menunggang motorsikal.
Anita Pegang Banyak Rekod
Kecekalan wanita ini dalam meneroka segenap pelusuk dunia mendapat pengiiktirafan serta pelbagai anugerah antaranya dua pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggnang solo ke lima negara Asia pada tahun 2013.
Beliau juga mencatat nama dalam Asia Book of Records sebaga wanita menunggang paling lama secara solo mengelilingi dunia.
Wanita hebat ini juga dinobatkan sebagai Tokoh Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta dipilih sebagai Ikon Negaraku.
Kejayaan Anita dalam mengharungi pelbagai cabaran serta dugaan dalam pengembaraan solonya memang wajar untuk dijadikan inspirasi buat semua lebih-lebih lagi buat kaum hawa.
Ia bukanlah sebuah misi yang mudah untuk dilaksanakan namun pencapaian Anita membuktikan tiada apa yang mustahil.