Sound Mixer Dari Kuching Catat Sejarah Sebagai Anak Malaysia Pertama Terima Anugerah Hollywood  


Alvin Wee dari Kuching, Sarawak mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai penerima anugerah Best Scoring Mixer in Hollywood di Cinema Audio Society Awards (CAS) bagi karyanya dalam filem animasi Disney, Encanto.

Pada Februari lepas, Alvin sudah dicalonkan bagi kategori tersebut sekaligus menjadikan beliau anak Malaysia pertama yang tercalon dalam anugerah ini.

CAS merupakan platform berprestij bagi mengiktiraf penggiat seni bidang yang sering terlindung di sebalik tabir namun memainkan peranan besar dalam penghasilan filem dan rancangan televisyen.

Beliau sendiri tidak menyangka akan memenangi anugerah ini apabila melihatkan pencalonan lain yang cukup mantap.

“Ia adalah anugerah yang besar. Filem animasi lain yang gah seperti Raya, Mitchell vs The Machines dan Sing 2 turut bertanding. Jadi, saya benar-benar tidak sangka akan memenangi kategori ini!”, jelas Alvin.

alvin wee

Encanto Bukan Penglibatan Pertama Alvin Wee !

Beliau yang juga merupakan pemuzik, produser serta mixer sebenarnya sudah lama terlibat dalam industri perfileman belakang tabir. Sudah mula menceburkan diri sejak tahun 2014, lelaki berusia 34 tahun ini turut terlibat di balik tabir pelbagai filem Hollywood yang besar seperti The Kingsman, Kung Fu Panda 3, The Meg dan No Time To Die.

alvin wee telah terlibat dalam banyak filem besar di Hollywood

Alvin Wee melihat pencapaian besarnya ini sebagai kejayaan buat rakyat Malaysia. Beliau berharap kemenangan ini dapat menjadi motivasi buat generasi baru dalam industri kreatif negara untuk menyerlah di mata dunia.

“Saya mahu mereka tahu yang peluang untuk berjaya dalam industri kreatif sentiasa terbuka meskipun sumber dan teknologi terhad. Jangan mudah putus asa dan teruskan perjuangan”.

“Mulakan usaha anda sekarang! Kini semua berada di hujung jari. Sertailah forum dan media sosial yang berkaitan dengan bidang ini. Platform online juga boleh dimanfaatkan untuk paparkan karya anda kepada dunia!”, ujar Alvin.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat