Ranking Universiti Memberi Impak Kepada Siswa


Kedudukan universiti antara pengiktirafan yang diberikan dalam menentukan kualiti sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Persoalannya adakah kedudukan itu penting dan menjadi elemen utama kepada ibu bapa dan siswa dalam memilih IPT untuk melanjutkan pengajian?

Timbul juga persoalan lain yang sering menjadi perbualan adakah kedudukan itu turut memberi impak dan kesan kepada universiti berkenaan?

Menurut Naib Presiden (Hal Ehwal Global) Universiti Brunei Darussalam Dr Joyce Teow Siew Yan, kewujudan kedudukan universiti perlu dan harus diakui kerana ia sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada ibu bapa dan siswa.

“Kedudukan universiti penting bukan saja kepada pihak universiti dan media, malah siswa dan ibu bapa sendiri,” katanya.

Dr Joyce berkata, ibu bapa dan siswa boleh memanfaatkan kedudukan universiti dengan melihat kepada reputasi ahli akademik, persaingan spesifikasi kemasukan dan kebolehpasaran siswa bagi sesebuah universiti yang dipilih.

images (11)

 

Selain itu, antara elemen lain yang boleh dipertimbangkan bagi universiti berkedudukan adalah reputasi dalam program berkepentingan, data kepuasan siswa tempatan dan antarabangsa serta peluang biasiswa.

Kedudukan universiti juga penting, namun perlu ada inovatif dalam memastikan pengiktirafan yang diberi adalah relevan.

“Pentingnya untuk sesebuah universiti lahirkan penyelidikan yang memberi perubahan dan dari situ dapat memberi impak serta kesan kepada kehidupan manusia.

“Malah kemahiran, kecekapan dan kebolehpasaran siswa juga perlu dititikberatkan selain menjadi keutamaan,” katanya.

Antara perkara lain yang turut perlu menjadi perhatian bagi sesebuah universiti adalah kepemimpinan universiti, kualiti akademik, alumni institusi atau ahli fakulti memenangi Hadiah Nobel, kepelbagaian fakulti dan pelajar serta bilangan pelajar.

Dr Joyce berkata demikian dalam sesi pembentangan di Persidangan Kepimpinan dan Governan Universiti Awam kali kedua di Kuala Lumpur baru-baru ini,

Persidangan anjuran Universiti Malaya dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) itu bertujuan mengenal pasti kaedah terbaik yang boleh digunakan universiti awam, swasta serta universiti negara ASEAN bagi memastikan kualiti pendidikan memenuhi permintaan global selain meningkatkan reputasi sesebuah IPT.

Dalam sesi sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Kelantan dan Pengarah AKEPT Prof Dr Mohamad Kamal Harun dan Naib Presiden (Hal Ehwal Antarabangsa) Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura, Prof Er Meng Hwa turut membuat pembentangan.

Prof Dr Mohamad Kamal dalam pembentangannya berkata, universiti perlu akui kewujudan kedudukan universiti secara global dan tidak boleh dinafikan kerana ia sudah menjadi kepentingan awam serta media.

“Sudah semakin susah untuk universiti mengelak daripada kedudukan global ini kerana ia menarik minat orang awam dan media terhadap prestasi universiti.

“Kejatuhan dalam kedudukan sesebuah universiti turut memberi kebimba­ngan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, kesan daripada situasi ini universiti di negara ini memberi perhatian lebih dalam mematuhi piawaian antarabangsa atau penanda aras yang ditetapkan universiti teratas di dunia.

images (8)

 

Prof Dr Mohamad Kamal berkata, dari perspektif universiti pula, kedudukan universiti dapat membantu dalam menambah baik bakat akademik di universiti.

Selain itu, kedudukan juga mampu membantu universiti memilih rakan penyelidik dan memudahkan pengurus universiti menentukan keutamaan strategik.

“Adanya kedudukan universiti, ia dapat memupuk kolaborasi IPT seperti perkongsian penyelidikan dan program pertukaran siswa serta fakulti.

“Kedudukan juga memainkan peranan penting dalam membimbing kerajaan dan universiti untuk memikirkan semula keutamaan teras mereka sebagai sebuah institusi ilmu,” katanya.

Sementara itu, Prof Er dalam sesi sama turut menjelaskan kepentingan kedudukan universiti khasnya kepada universiti muda seperti NTU dalam menjangkakan pergerakan atau kemajuan sesebuah institusi.

“Kedudukan memberi peluang kepada universiti untuk melihat kepada kemajuan dan pergerakan universiti serta sebelum adanya kedudukan, semuanya hanya berasaskan persepsi.

“Universiti yang berusia muda juga mendapat manfaat dari perkembangan sistem kedudukan universiti seperti kedudukan subjek, kedudukan pengambilan kerja dan kedudukan inovasi,” katanya.

Kedudukan juga sudah membantu NTU dalam membina jenama antarabangsa dengan pengambilan siswa antarabangsa dan fakulti selain kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan dan pendidikan.

Pada persidangan itu Prof Dr Er turut memberitahu, NTU sudah dinobatkan sebagai universiti muda pertama yang meningkat paling cepat di dunia.

Katanya, ia diberikan berikutan kenaikan kedudukan NTU dalam kedudukan universiti global ‘QS World University Rankings’dalam masa lima tahun.

NTU berada di tempat ke-74 untuk QS World University Rankings 2010, namun naik dengan pantasnya pada kedudukan ke-13 bagi QS World University Rankings 2015.

Persidangan yang diadakan selama tiga hari menampilkan 17 anggota panel dari universiti tempatan dan negara ASEAN yang berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat