1 MDB : Petanda Malaysia Akan Menjadi Greece Kedua ? – Daily Rakyat

1 MDB : Petanda Malaysia Akan Menjadi Greece Kedua ?


Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD.
Ketua, Biro Penyelidikan IKRAM.

Dari laporan akhbar dalam dan luar negara, adalah sukar untuk merumuskan bahawa kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sudah pun selesai apabila Public Accounts Committee (PAC) membentangkan laporannya kepada Dewan Rakyat pada 7 April lepas. PAC menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut adalah semata-mata akibat kegagalan ahli lembaga syarikat berkenaan serta pengurusannya menjalankan tugas mereka dengan baik. PAC juga menamakan bekas pengarah urusannya En. Syahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai individu yang paling boleh dipersalahkan. Bagi sesetengah pihak, laporan itu membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan selama ini kepada Perdana Menteri Malaysia adalah tidak berasas.

ikram-original

Namun bagi sesetengah pihak yang lain pula, laporan itu tidak semestinya memberi implikasi bahawa Perdana Menteri tidak boleh dipersalahkan kerana bukan sahaja beliau adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat tersebut, bahkan 1MDB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang di bawah tanggungjawab langsung beliau selaku Menteri Kewangan. Di samping itu juga PAC telah tidak dibenarkan mengkaji transaksi perbankan 1MDB di luar negara serta tidak dibenarkan menyoal beberapa individu penting termasuk Jho Low , seorang individu yang sangat berkait rapat dengan beberapa transaksi 1MDB yang dikatakan oleh PAC sebagai bertentangan dengan peraturan tatakelola yang baik. Akhir sekali, laporan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara berkenaan 1MDB juga telah diklasifikasi sebagai dokumen rahsia mengikut Akta Rahsia Rasmi dan oleh itu tidak dibentangkan bersama laporan PAC kepada umum.

Namun demikian apa yang jelas ialah 1MDB telah dibenarkan oleh kerajaan untuk berhutang dengan banyak sehingga mencecah jumlah RM50 billion pada bulan Januari 2016. 1MDB juga perlu membayar bunga sebanyak RM3.3billion bagi hutang yang ditanggung antara tempoh 1 April 2014 sehingga 31 Mac 2015. Oleh kerana pendapatan 1MDB tidak mencukupi, maka 1MDB juga telah terpaksa menambahkan hutangnya demi untuk membayar hutang yang telah matang serta untuk membayar bunga atas hutang yang masih ditanggung.

11203529_389793307881367_7636160037170402880_o

Oleh itu amatlah jelas bahawa 1MDB bukan sahaja adalah syarikat yang sangat bermasalah dari segi kewangan, bahkan kerajaan telah mengenepikan prinsip `patuh shariah’ dalam pengurusan kewangan syarikat miliknya. Ini menimbulkan tanda tanya sejauh manakah keseriusan kerajaan apabila menyatakan kepada umum rancangannya untuk memastikan hukum Shariah dipatuhi dalam urusannya.

Seperkara lagi yang jelas ialah kerajaan telah meletakkan risiko kewangan syarikat ini di atas bahu rakyat Malaysia, termasuk dari golongan miskin dan lemah. Ini kerana jika 1MDB mengalami masalah membayar hutangnya, maka kerajaan terpaksa menanggung RM20.31 billion dari hutang tersebut. Ini belum lagi mengambil kira bayaran bunga yang juga terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Perlu disedari oleh semua bahawa jumlah RM20.31 billion itu adalah sangat besar kerana ia adalah melebihi keseluruhan peruntukan kerajaan untuk kementerian pendidikan tinggi untuk tahun 2016 dan tiga kali lebih besar dari belanjawan kerajaan negeri Selangor untuk tahun ini.

Cartoonkini-1MDB-18-Nov-2014

 

Apakah pengajaran utama dari episod 1MDB ini?

Untuk memahami sepenuhnya implikasi dari kes 1MDB, kita patut menyingkap balik krisis yang berlaku di Greece pada tahun 2009. Pada tahun itu, kerajaan Greece mengumumkan bahawa maklumat kewangannya sebenarnya telah dimanipulasi selama beberapa tahun dan hutangnya adalah lebih besar dari apa yang dilaporkan selama ini. Akibat dari tindakan pemimpinnya yang korup, menipu dan tidak amanah ini, Greece telah disekat dari terus meminjam dari pasaran kewangan. Oleh kerana selama ini, ia perlu meminjam untuk membayar hutangnya, maka akibatnya Greece tidak lagi mampu membayar hutangnya dan oleh itu telah berada dalam situasi hampir muflis. Jika ia jatuh muflis, maka sektor perbankan antarabangsa, terutama dari German dan Perancis yang banyak memberi hutang kepada Greece akan menghadapi masalah untuk memperolehi kembali hutang tersebut. Akibatnya tentu sektor kewangan kedua negara tersebut dan seluruh Eropah mungkin akan terjejas teruk. Untuk mengelakkan perkara itu dari berlaku, maka tiga pertubuhan penting dalam sektor kewangan Eropah iaitu Tabung Monetari Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF), Bank Pusat Eropah (ECB) dan Suruhanjaya Eropah atau European Commission (EC) telah memberi bantuan hutang kepada Greece untuk mengatasi masalah kewangannya yang berjumlah lebih dari 240 billion euros (lebih kurang RM1 trillion).

Sudah tentu terdapat berbagai syarat dikenakan kepada Greece bersama hutang itu. Di antaranya ialah langkah jimat cermat yang ketat. Akibatnya belanjawan dikecilkan, subsidi dipotong dan cukai dinaikkan. Langkah-langkah ini telah membuatkan kehidupan rakyat Greece sengsara sehingga ke hari ini. Tambahan pula pendapatan yang dihasilkan oleh langkah-langkah tersebut juga tidak dapat dinikmati oleh rakyat Greece kerana hampir kesemuanya digunakan untuk membayar hutang negara. Semenjak tahun 2009, kadar pengangguran di Greece kekal tinggi kerana ekonominya masih tidak dapat dipulihkan. Kesengsaraan rakyatnya dapat dilihat dari peningkatan masalah sosial. Sebagai contoh, kadar bunuh diri meningkat 35% dari tahun 2011 – 2012. Masalah lain seperti kemurungan dan pelacuran juga telah meningkat secara mendadak.

Rate Serendah RM0.06 sen

Rate Serendah RM0.06 sen

Kemungkinan besar senario yang teruk di Greece tidak akan berlaku di negara kita dalam masa terdekat. Ini kerana hutang kerajaan Malaysia dari sumber luar negara adalah jauh lebih rendah berbanding Greece. Namun demikian, apa yang membimbangkan kini adalah tren untuk berhutang dari sumber luar negara yang semakin menular. Sebagai contoh, hampir separuh dari jumlah keseluruhan hutang 1MDB adalah dari sumber luar negara. Jika amalan suka berhutang dari sumber luar negara ini terus meningkat, terutamanya oleh kerajaan atau syarikat milik kerajaan, maka tidak mustahil suatu hari nanti masalah yang berlaku di Greece juga akan dihadapi oleh negara kita.

Sebagai rumusan, di antara perkara terpenting yang mesti diwujudkan dalam negara kita untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin dalam jangka panjang adalah melantik pemimpin yang amanah, tidak korup dan tidak menipu rakyat. Di samping itu, kerajaan dan entiti miliknya mesti disekat dari amalan berhutang, terutamanya dari sumber luar. Jika kedua-dua perkara tersebut tidak berjaya dilaksanakan di negara kita, maka nasib masa depan generasi akan datang di Malaysia akan menjadi sangat malap dan membimbangkan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat