“8 Jam Yang Sangat Horror, Nak Pergi Toilet Pun Takut” – Wanita Ini Kongsi Pengalaman Ditempatkan Di Pusat Kuarantin Daif
Penularan wabak Covid-19 di negara kita masih belum reda sehingga ke hari ini. Disebabkan itu, kapasiti pusat kuarantin masih belum surut dari kemasukan pesakit yang disahkan positif.
Yang terbaru dan tular di laman Facebook, seorang wanita telah meluahkan kekecewaan atas penyediaan pusat kuarantin yang disifatkan daif di sebuah hospital kerajaan.
Menerusi hantaran oleh Alia Nordin, dia bersama anaknya terpaksa dikuarantin di wad bersalin lama hospital itu.
Alia akui keadaan pusat kuarantin yang kotor dan uzur membuatkan dia rasa mahu melarikan diri daripada hospital itu.
Selain keadaan pusat kuarantin daif, Alia juga mengalami kesukaran untuk mengepam dan menyusukan bayi. Akibat tiada pilihan, dia juga terpaksa menyusukan bayi secara terbuka di hadapan pesakit Covid-19 lain.
“Tiada sinki bersih dan sesuai untuk saya mandikan bayi. Peti ais yang disediakan, Masyallah, nak simpan susu yang dipam dalam tu pun saya ragu-ragu,” keluh Alia.
Mengulas lanjut, Alia tidak minta layanan kelas pertama dan tidak kisah dikuarantin di hospital kerajaan. Alia juga tidak menafikan perkhidmatan doktor dan jururawat yang cukup memuaskan.
Namun, adalah lebih baik sekiranya pihak kementerian dapat menyemak fasiliti yang disediakan adalah dalam keadaan baik dan bersih untuk didiami oleh ibu dan bayi sepanjang tempoh kuarantin.
Justeru itu, dia berharap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dapat mengambil maklum dan semoga penyediaan pusat kuarantin daif ini dapat diperbaiki untuk kemudahan pesakit pada masa akan datang.