Tiga faktor PDRM tersingkir Piala FA
SELAYANG: Tiga faktor dianggap sebagai punca kekalahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Sime Darby FC 4-2 pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Selayang, malam tadi.
Penolong jurulatih PDRM, Fauzi Pilus berkata, faktor keletihan selepas menewaskan Perak 3-1 pada aksi Liga Super di Ipoh, Sabtu lalu ditambah dengan sikap ambil mudah terhadap lawan dan hilang fokus di benteng pertahanan menyebabkan gawang mereka dibolosi empat gol.
“Seawal minit pertama kita berjaya mendahului 1-0 (menerusi jaringan Dramane Traore), mungkin di situ pemain kita berasa terlebih yakin dan memandang mudah lawan sehingga menyebabkan pergerakan kita nampak hambar dan gagal menunjukkan permainan sebenar.
“Nampak pemain seolah hilang fokus dan kelekaan di barisan pertahanan menyebabkan kita dihukum gol penyamaan Sime Darby (menerusi Dilshod Sharofetdinov) pada penghujung babak pertama.
“Tapi yang paling ketara, pemain nampak keletihan kerana selepas bertemu Perak, kami hanya dapat rehat dua hari dan diberi tentangan hebat pula oleh Sime Darby. Sebab itu tahap stamina pemain agak merosot,” kata Fauzi yang menggantikan ketua jurulatih, Azman Adnan pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Sebelum perlawanan, PDRM meletakkan nama Ashfaq Ali dalam senarai kesebelasan utamanya, namun pada saat akhir terpaksa menggantikan penyerang import dari Maldives itu dengan Shahurain Abu Samah kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialaminya Sabtu lalu.
“Kita cuba pantau keadaan Ashfaq sehingga ke saat akhir tetapi memang dia tidak dapat nak beraksi. Tapi ketiadaan Ashfaq bukan punca kami tewas kerana bahagian serangan tetap memberangsangkan, cuma gagal menyempurnakan peluang,” jelasnya.
Kegagalan melangkah ke suku akhir Piala FA membuatkan PDRM kini mahu fokus sepenuhnya terhadap saingan Liga Super memandangkan mereka kini berada di tangga kedua teratas, dua mata di belakang pendahulu, FELDA United.
“Insya-Allah kita akan mengambil kesempatan rehat hampir tiga minggu ini untuk memperbaiki apa yang kurang dan pemain juga dapat lebih rehat. Harap Ashfaq juga sempat pulih sepenuhnya menjelang perlawanan liga seterusnya bertemu Sarawak, 3 April ini,” kata Fauzi.