“Besar ya batunya boleh buat ABC !” – Netizen Gempar Kejadian Hujan Batu di Hulu Langat Semalam.
Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan kejadian banjir kilat di ibu negara. Kejadian tersebut dilihat telah menjejaskan beberapa kawasan utama di ibu negara seperti KLCC, Masjid Jamek dan Jalan Kuchai Lama.
Namun, sebuah lagi fenomena alam telah mendapat perhatian netizen melalui sebuah perkongsian di media sosial.
Menerusi akaun TikTok Emmil, kejadian hujan batu didapati telah melanda Hulu Langat, Selangor petang semalam.
“Its now happening here, hujan batu habis tingkap rumah pecah. Pokok tumbang. Be safe korang! Besar ya batunya boleh buat abc,” tulisnya di ruangan caption.
Rakaman video tersebut turut menunjukkan tanaman hiasan rosak dan tingkap rumah pecah akibat ditimpa ketulan ais dari langit.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku sekitar 4 petang semalam dan diiringi oleh guruh serta hujan lebat.
Seorang lagi warga Hulu Langat juga tidak melepaskan peluang untuk rakamkan kejadian hujan batu yang menimpa sebuah kereta pacuan empat roda.
Hujan Batu Bukan Pertama Kali Berlaku Tahun Ini !
Menerusi pantauan di media sosial, ini bukanlah pertama kali fenomena ini berlaku di negara kita. Malah, ia telah berlaku beberapa kali di kawasan lain seperti Shah Alam, Wangsa Maju dan Batu Gajah, Perak sekitar hujung bulan Januari.
Antara pengguna media sosial yang pernah merakam kejadian hujan batu sebelum ini ialah selebriti tempatan Adam Corrie.
Tidak menyangka kejadian ini boleh berlaku di rumahnya, Adam akui kagum menyaksikan fenomena alam ini buat pertama kali dalam hidup.
Dalam video tersebut, Adam turut menunjukkan ketulan batu yang jatuh di rumahnya yang seakan butiran ais kecil yang berbentuk bulat.
Pengguna media sosial yang pernah alami fenomena ini juga turut berkongsi pengalaman mereka di ruangan komen. Ada yang masih ingat rasa sakit ditimpa ketulan ais ketika berada di luar rumah.
Sementara itu, sesetengah pengguna turut berkongsi petua yang orang terdahulu kongsikan kononnya ketulan ais yang jatuh dari langit boleh ditadah dan dijadikan sebagai penawar.
Amerika Syarikat Pernah Dilanda Hujan Batu Sebesar Bola Lisut !
Walaupun fenomena alam ini jarang berlaku di negara kita, namun terdapat juga kawasan yang sering dilanda hujan batu sehingga menyebabkan kerugian yang besar dan boleh mencederakan penduduk setempat.
Tahukah Amerika Syarikat pernah mencatatkan kejadian hujan batu terburuk dengan saiz ketulan ais yang besar?
Antara kejadian hujan batu terburuk negara tersebut berlaku pada tahun 1979. Kejadian tersebut menyaksikan ketulan ais batu sebesar limau gedang dan memusnahkan lebih 2,000 buah rumah serta 2,500 buah kereta. Seorang bayi berusia 3 tahun turut dilaporkan terkoban.
Fenomena alam ini bukanlah perkara asing di Amerika Syarikat. Pelbagai saiz bebola ais pernah dicatatkan berikutan kejadian hujan batu yang berulang dari saiz bola golf sehinggalah ke bola lisut !
Dengan keadaan cuaca yang sukar diramal sejak kebelakangan ini, tak mustahil negara kita boleh ditimpa hujan batu lagi. Apapun semoga negara kita terlindung dari bencana alam yang dahsyat.