Suspek Kes Pembunuhan Kim Jong-Nam Tinggal di Malaysia Lebih Tiga Tahun
Kuala Lumpur : Suspek kes pembunuhan Kim Jong-Nam, Ri Jong Chol, warga Korea Utara yang ditahan di sini, Jumaat lalu, sudah menetap di Malaysia tanpa bekerja di syarikat yang didaftarkan dalam permit pekerjanya atau menerima gaji.
Jong Chol, 47, memiliki visa untuk bekerja di Malaysia yang menunjukkan dia kakitangan Tombo Enterprise. Namun pemilik syarikat itu berkata, suspek tidak pernah bekerja walau sehari pun untuk mendapat gaji daripada syarikat kecil yang mengeluarkan herba perubatan itu.
Pemiliknya, Chong Ah Kaw berkata beliau hanya membantu mendapatkan visa pekerjaan suspek dengan menyertakan dokumen sokongan bahawa dia pengurus pembangunan dalam jabatan teknologi maklumat(IT) syarikat memperoleh RM5,500 sebulan. Visa pekerjanya diperbaharui sekali pada Jun 2016.
Tidak Pernah Bayar Gaji
“Ia hanya satu urusan rasmi, hanya dokumen, saya tidak pernah membayar gajinya. Saya tidak tahu dimana dia tinggal di sini(Malaysia). Saya tidak tahu bagaimana dia memperoleh gaji”, kata Chong dalam satu temuramah dengan REUTERS. Chong, kerap berkunjung ke Korea Utara berkata, beliau hanya ‘cuba membantu’ Jong Chol.
Sedia Diambil Tindakan
Beliau pernah disoal siasat polis dan memberitahu REUTERS, bersedia berdepan sebarang tindakan berikutan menghantar maklumat palsu kepada kerajaan. Chong yang juga rakan Jong Chol berkata, warga Korea Utara itu tinggal bersama isteri serta dua anaknya di ibu kota ini.
REUTERS tidak dapat memastikan jika JOng Chol memiliki pekerjaan lain atau sumber pendapatan. Polis juga gagal dihubungi untuk mejelaskan bagaimana suspek menampung kehidupan keluarganya di Malaysia.