Kini Bergelar Pensyarah UiTM, Soo Wincci Catat Sejarah Sebagai Ratu Cantik Malaysia Pertama Bergelar Profesor Madya
Pelakon dan penyanyi serta Miss World Malaysia 2008, Dr Soo Wincci mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Of Records sebagai Miss World Malaysia pertama bergelar Profesor Madya.
Berkongsi kisah gembira ini di laman instagramnya, Soo Wincci juga dikhabarkan bakal menjadi pensyarah bagi subjek Perniagaan Muzik, di Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
“Akhirnya saya berjaya sampai ke tahap profesor. Saya kini bergelar pensyarah untuk pelajar UiTM bagi subjek penghasilan dan perniagaan muzik”, ulas Soo.
Mendapat perkhabaran gembira ini pada 1 April lalu, Soo berkata tugas barunya ini tidak akan hentikan fokusnya yang sedia ada pada bidang akademik dan seni.
“Saya hanya akan pergi ke Valencia, Sepanyol semasa cuti semester atau selepas peperiksaan tamat. Saya akan adakan kuliah secara atas talian jika saya ada di luar negara pada waktu tersebut”, kata Soo Wincci yang merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari University of Polytechnic Valencia.
Soo Wincci Ada Enam Gulung Ijazah !
Memetik laporan The Star, Soo Wincci juga sudah mula lanjutkan pengajian dalam ijazah kedoktoran dalam bidang Falsafah di Sepanyol sejak tahun 2020.
Sebelum ini, Soo juga telah memegang beberapa gulung ijazah antaranya termasuk :
- Sarjana Muda Perundangan dari University of Reading
- Sarjana Pengurusan Pentadbiran (MBA) dari Universiti of Sunshine Coast
- Sarjana Teknologi Muzik dari Berklee College of Music
- Post-Master Fellowship dari Berklee College of Music
- Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan dari Open University
Selain pengiktirafan yang baru diterima ini, Soo juga pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2019 sebagai artis rakaman dan ratu cantik yang mempunyai ijazah akademik terbanyak.
“Saya sasarkan lapan PhD sebenarnya. Kini saya hanya mempunyai dua PhD. Saya sedang merancang untuk ambil PhD ketiga dalam bidang perundangan antarabangsa. Namun, saya masih belum tentukan universiti mana yang akan saya sertai,” ujar Soo.
Soo Wincci berkata beliau bersyukur kerana berpeluang untuk berpuasa sebulan di Malaysia. Menurutnya, tahun ini merupakan tahun ke-11 beliau berpuasa. Tiga tahun sebelum ini, beliau berpuasa di Sepanyol.
Kejayaan Soo Wincci memang patut dijadikan contoh bagi semua kaum wanita. Bukan sahaja cantik, malah cukup bersemangat dalam meneruskan pelajaran tanpa mengenal erti putus asa. Semoga kisah Soo Wincci dapat dijadikan semangat buat semua untuk mencapai impian masing-masing.