Kisah Usahawan : Muhammad Azlan, Dari Pengutip Sampah Menjadi Jutawan
Kisah Usahawan : Pengutip Sampah Seorang Jutawan
Kisah usahawan terkenal, Muhammad Azlan Abdullah @ Ali yang berusia 32 tahun yang menjadi inspirasi ramai masyarakat di mana kehidupan daripada seorang pengutip sampah berubaha menjadi seorang jutawan dan merupakan seorang icon usahawan muda.
Muhammad Azlan yang juga pemilik syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd itu turut bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun ALLAH melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pengalaman mengutip sampah
Pada tahun 2015 sebelum Azlan menjadi seorang yang disegani, Azlan pernah menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan. Ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan olehnya.
“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga”
Ulat di poket baju
Kisah ulat jatuh di poket baju merupakan salah satu bagaimana Azlan mahu mengubah nasib kehidupannya. Azlan sangat menghargai jasa ibu dan ayahnya yang sudah bersusah payah membesarnya bersama 15 adik beradik yang lain.
“Suatu hari bila saya balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh”
“Dari situlah saya bertekad untuk mengubah kehidupan. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar.”
“Saya menghargai jasa emak, Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan”
Kehidupan baru
Keputusan Azlan meninggalkan rumah berbekalkan hanya RM1.30 mampu membina kehidupan baru. Pertemuaanya dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah membuka pintu rezekinya dalam bidang hartanah.
“Saya percaya kepada pemikiran positif akan menghasilkan tindakan positif, seterusnya membawa kejayaan. Bila dan di mana, saya tidak tahu. Apa yang pasti kejayaan akan hadir apabila saya berusaha dengan betul,” katanya.
“Jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti.”