“Kenapa Saf Belakang Tak Rukuk Sekali ?” – Netizen Hairan Pertama Kali Lihat Anggota Tentera Solat Khauf di Hutan 


Seperti yang kita tahu, solat merupakan amalan wajib bagi umat Islam. Ia perlulah dilaksanakan pada setiap waktu mengikut kemampuan.

Mungkin kita pernah dengar tentang beberapa kemudahan ketika solat seperti solat jamak dan solat ketika sakit.

Kali ini, netizen didedahkan pula dengan satu bentuk solat yang sering diamalkan oleh tentera iaitu solat khauf. 

solat khauf menjadi kelaziman tentera

Kenapa Saf Belakang Tak Ikut Rukuk Sekali Semasa Solat Khauf ? 

Netizen yang pertama kali menyaksikan cara solat khauf menerusi hantaran @anonymous97979 didapati agak terkejut dengan cara pergerakan yang nyata lain daripada solat jemaah yang biasa dilakukan. 

Ternyata itu merupakan antara ciri-ciri solat khauf yang sering diamalkan supaya tentera berada dalam posisi berjaga-jaga. 

Netizen yang sempat mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) suatu ketika dahulu turut mengimbau kenangan mereka mempelajari solat ini menerusi ruangan komen.

Askar Wajib Belajar Solat Ni !

Pengguna media sosial yang menganggotai tentera turut memberitahu yang mereka perlu lulus amali solat khauf sebagai syarat wajib bagi yang beragama Islam. 

Menjengah ruangan komen, wira-wira negara sempat berkongsi pengetahuan mereka mengenai solat ini.

Begitulah pentingnya solat khauf kepada pasukan tentera sebagai persiapan bertempur dengan musuh. 

solat khauf menjadi amalan anggota tentera ketika bertempur  

Kenapa Perlu Solat Khauf ? 

Dalam beribadah, Allah turut menunjukkan kasih sayang dengan memberi ruang kepada hambaNya untuk menjaga keselamatan diri. 

Solat khauf ialah solat dalam keadaan yang sangat takut. Ia merupakan salah satu kemudahan yang tidak boleh dilaksanakan dalam solat-solat lain. 

Solat ketakutan ini biasanya dilakukan dalam suasana peperangan kerana bimbang diserang musuh. Namun, ia juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang diancam ketenteraman atau berdepan dengan bahaya. 

Rasulullah juga pernah melakukan solat ini secara berjemaah beberapa kali ketika menghadapi peperangan .

Para ulama fiqah turut bersepakat tentang adanya ketetapan syarak mengenai solat khauf ini. 

Solat ini bukan semata-mata dikerjakan kerana takutkan serangan musuh, malah ia boleh dilaksanakan ketika seseorang diancam bahaya lain yang boleh menyebabkan kemusnahan seperti kebakaran, banjir atau binatang buas. 

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِ‌جَالًا أَوْ رُ‌كْبَانًا

“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan kaki atau naik kenderaan.”

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 239).

Solat ini boleh dilakukan di mana sahaja tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. 

Ia juga berbeza dengan solat-solat lain kerana mempunyai beberapa rukhsah terutamanya ketika berjemaah. 

Cara Solat Khauf 

Terdapat beberapa cara Solat Khauf yang boleh dilaksanakan mengikut keadaan.

 Namun kaedah yang dipertontonkan dalam video tersebut adalah seperti berikut : 

  1. Sebelum mulakan solat, imam perlu bahagikan anggota tentera kepada dua kumpulan. 
  2. Dua kumpulan akan membuat saf di belakang imam. 
  3. Setiap kumpulan boleh terdiri daripada beberapa saf.
  4. Imam akan mulakan solat dengan menghadap ke arah kiblat bersama dengan kedua- dua kumpulan. 
  5. Apabila tiba pada rukuk di rakaat pertama, hanya kumpulan pertama sahaja yang akan rukuk bersama imam.
  6. Kumpulan kedua pula terus berdiri dalam keadaan iktidal bagi memantau keadaan sekeliling. 
  7. Setelah imam dan kumpulan pertama bangun untuk rakaat kedua, mereka perlu terus berdiri bagi menjaga pertahanan keadaan sekeliling. 
  8. Kemudian, kumpulan kedua pula akan turun menyempurnakan rakaat pertama secara bersendirian sehingga mereka mendapatkan imam semula pada rakaat yang kedua. 
  9. Dalam rakaat ini, imam akan rukuk bersama dengan kumpulan kedua sahaja, sementara kumpulan pertama tetap berdiri(iktidal). 
  10. Apabila imam dan kumpulan kedua sampai ke tahiyat akhir, barulah kumpulan pertama sempurnakan rakaat kedua secara bersendirian dan mendapatkan imam di tahiyat akhir. (Imam perlulah menunggu kumpulan pertama dengan memanjangkan bacaan). 
  11. Akhir sekali imam akan memberi salam bersama dengan kedua-dua kumpulan tersebut. 

Menerusi perkongsian video tersebut, baru tahu rupanya ada rukhsah solat untuk anggota askar dan sesiapa sahaja yang berhadapan dengan ancaman. 

Setakat ini, video tersebut telah mendapat 550,000 tontonan serta lebih 51,00 tanda suka daripada pengguna TikTok.

Rata-rata netizen turut kagum dengan wira negara yang tidak melupakan ibadah meskipun berdepan dengan ancaman bahaya dan peperangan. 

Solat khauf juga menjadi salah satu bukti kasih sayang Allah yang memudahkan hambanya dalam beribadah tanpa mengira situasi.

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat