Downfall: The Case Against Boeing Bongkar Kelemahan Syarikat Pembuat Kapal Terbang Gergasi


Neflix kini menyajikan karya terbaru bertajuk Downfall: The Case Against Boeing, sebuah dokumentari yang bakal merungkai kejadian tragedi kapal terbang Boeing yang terhempas di Indonesia dan Ethiopia.

Sejak ditayangkan, filem bergenre dokumentari ini berjaya mengumpul 7.4 juta tontonan  di Netflix dan kini mengungguli carta Top 10 di 34 buah negara.

Filem ini diilhamkan dari fobia penerbit, Rory Kennedy yang takut menaiki kapal terbang. Ini juga menjadi motivasi utama bagi penerbit yang pernah membarisi pencalonan Oscar ini untuk menggali lebih dalam tentang tragedi 2 buah kapal terbang ini.

Pada Oktober 2018, penerbangan Lion Air 610 terhempas selepas hanya 13 minit berada di udara. Ketika itu, siasatan mengesyaki puncanya adalah daripada kelemahan pemandu kapal terbang.

Kebanyakan pihak menganggap begitu kerana cuaca pada hari itu baik dan tiada tanda-tanda gangguan dari luar dan dalam.

Mereka juga menganggap juruterbang berbangsa Indonesia, Bhavje Suneja tidak cekap padahal beliau sebenarnya sangat terlatih dan pernah menjalani latihan di Amerika Syarikat, negara yang gah dan mendominasi bidang pembuatan kapal terbang serta pakar dalam bidang penerbangan.

Downfall: The Case Against Boeing bongkar tragedi lion air

Downfall: The Case Against Boeing Gali Fakta Tersembunyi

Filem Downfall: The Case Against Boeing  ini banyak membongkar kebenaran yang selama ini ditutup demi menjaga reputasi syarikat penerbangan gergasi, Boeing di mata dunia.

Selepas tragedi Lion Air, Federal Aviation Administration (FAA) meminta syarikat Boeing untuk semak semula kapal terbang mereka.

Namun bagi menjaga reputasi syarikat, Boeing tetap berkeras dan menegaskan bahawa kapal terbang mereka selamat. Pihak FAA dikhabarkan terpaksa ikuti keputusan syarikat tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Seakan ingin berikan petanda jelas, satu lagi kapal terbang Boeing Max  terhempas dan mengorbankan semua penumpang dan anak kapal tidak lama selepas itu di Ethiopia.

Kedua-dua kejadian ini dilaporkan meragut 346 nyawa. Melihatkan tragedi ini, banyak negara sudah mula mengekang kapal terbang Boeing 737 Max untuk beroperasi termasuklah Malaysia.

Sehinggalah akhirnya arahan sama dikeluarkan oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat ketika itu untuk Boeing 737 Max 8 dan 9 disiasat dan kenalpasti masalah sehingga dapat diselesaikan.

Akhirnya, barulah orang mula meragui keupayaan Boeing 737 Max keluaran Amerika Syarikat ini. Ramai mula membuat spekulasi yang kemungkinan syarikat Boeing sendiri yang menghasilkan kapal terbang bermasalah.

Downfall: The Case Against Boeingdedah kelemahan syarikat pembuat kapal

Downfall: The Case Against Boeing Bongkar Muslihat Pembuat Kapal Terbang

Filem dokumentari Downfall: The Case Against Boeing memberi kritikan tajam kepada Syarikat Boeing apabila hasil siasatan mendapati tragedi kapal terbang terhempas adalah berpunca daripada peranti Maneuvering Characteristics Augmentation System (MCAS).

Peranti ini terletak di luar bahagian muncul kapal terbang Boeing 737 Max dan dipasang bagi menstabilkan semua kapal terbang yang terdongak ke atas disebabkan turbin yang besar.

Turbin ini dikatakan ciri-ciri yang baru diperkenalkan untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

Namun, ia didapati mengancam pengendalian kapal terbang kerana boleh merosakkan auto-stabilizer sekiranya terjejas.

Jurutera Tidak Diberikan Latihan Telus Untuk Kendali MCAS !

MCAS  juga dikatakan terhasil tanpa sebarang dokumen manual. Sebelum tragedi Lion Air, juruterbang pesawat Boeing 737 Max seluruh dunia juga dikatakan tidak dimaklumkan tentang peranti ini, mereka juga tidak diberikan latihan khusus untuk kendalikan peranti MCAS.

Walaupun selepas diajar kepada juruterbang, kejadian masih berlaku hanya selepas beberapa bulan di Ethiopia.

MCAS juga memerlukan tindakan juruterbang tidak sampai 10 saat. Jika tiada tindakan, kapal terbang tidak boleh diselamatkan ! Arahan yang sangat menakutkan dan kritikal ini mencetuskan lagi kemarahan juruterbang seluruh dunia.

Downfall: The Case Against Boeing Dedah Kelemahan Syarikat Boeing Sendiri

Filem berunsur dokumentari ini turut mendedahkan punca asal kelemahan sistem MCAS iaitu daripada masalah dalaman Syarikat Boeing sendiri.

Sebelum ini, syarikat Boeing sangat dihormati atas budaya kerja yang baik, penghasilan kapal terbang yang berkualiti serta menepati piawaian. Mereka juga dahulunya terkenal sebagai entiti yang selalu mendengar suara orang bawah.

Namun, halatuju dan budaya kerja syarikat ini dilihat berubah sejak bergabung dengan syarikat McDonnell Douglas pada Ogos 1997.

Syarikat Boeing juga kini dikhabarkan terlalu fokus untuk mengaut keuntungan, lebih-lebih lagi setelah berjaya menembusi senarai Wall Street.

Mereka mula terdesak untuk menjana keuntungan maksimum dari para pelabur dan ahli-ahli lembaga pengarah.

Pengurusan operasi dan pemasangan yang sebelumnya berpangkalan di Seattle kini telah berpindah ke Chicago.

Perubahan ini telah membuatkan pihak pengurusan dan eksekutif tidak lagi berada berdekatan dan sebumbung dengan para jurutera yang membuat kapal terbang.

Ini menyukarkan jurutera untuk membuat keputusan penting dan menyemak keselamatan kapal terbang yang baru dibuat.

Kakitangan yang cuba bersuara juga akan dibuang serta merta. Kakitangan yang bertugas dalam pemeriksaan kualiti kapal terbang juga dikurangkan secara drastik.

Demi mengejar masa dan keuntungan, penghasilan kapal terbang dipercepatkan tanpa pemeriksaan rapi dari pekerja mahir.

Masalah MCAS Sudah Diketahui Awal Namun Tiada Tindakan

Downfall: The Case Against Boeing turut mendedahkan masalah MCAS yang sudah pun dikenalpasti sejak tahun 2013.

Pihak jurutera telah usulkan masalah MCAS di samping mencadangkan sesi latihan tambahan pengendalian peranti ini kepada semua juruterbang.

Namun, pihak pengurusan menafikan cadangan ini kerana ia menyebabkan nilai komersial Boeing Max 737 turun dan tidak menarik. Siri latihan penerbangan yang banyak juga dikatakan akan menyusahkan juruterbang.

Ketika itu, kedudukan Syarikat Boeing juga goyah akibat saingan daripada Syarikat Airbus yang mengeluarkan Airbus A320, pesawat pertama yang mesra bahan api dan menjimatkan kos syarikat penerbangan.

Ini juga menjadi salah satu sebab mengapa MCAS direka dengan turbin lebih besar kerana dikatakan membuatkan penggunaan bahan api lebih efisien.

Namun, rekaan ini makan tuan apabila turbin besar ini membuatkan kapal terbang mendongak dan perlu distabilkan semula dengan MCAS dan mencetuskan situasi bahaya dalam pengendalian kapal terbang.

Dokumentari ini turut memaparkan kesan tragedi kepada keluarga mangsa namun tidak diendahkan oleh pihak Boeing. Pengguna juga turut disenyapkan setiap kali ingin bersuara tentang kelemahan kapal terbang keluaran syarikat ini.

Downfall: The Case Against Boeing

Kredit Foto : distractify.com

Dokumentari ini boleh menjadi bukti operasi syarikat gergasi yang tidak telus dan hanya berpaksikan keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna.

Penghujung dokumentari ini menyaksikan kejatuhan CEO Boeing pada ketika itu yang dikenakan saman sebanyak US$ 2.5 bilion.

Namun apakah kesannya kepada Boeing dan adakah nasib keluarga mangsa terbela ? Kalau nak tahu kenalah tonton Downfall: The Case Against Boeing di Netflix !

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat