KISAH BENAR : Sebuah Buku, RM1 Dan Seminar RM50 Menjadi Modal Awal Miliki Rumah
Beberapa hari lepas ada berjumpa kawan lama. Umur dalam lingkungan nak masuk 40-an. Beliau merungut kerana harga rumah mahal dan tak mampu nak beli rumah pada harga sekarang ini. Beliau tanya saya apa rahsia saya memiliki beberapa aset property (rumah)? Saya jawab, “Tiada rahsia apa pun… Cuma…”
Sebuah Buku, RM1 Dan Seminar RM50
Saya mula bekerja pada umur 23 Tahun. Gaji bulanan masa itu adalah lebih kurang RM1,900. Oleh kerana saya memang pegang cakap mak saya masa dulu, “Duit bukan senang cari” dan saya jadi takut terguna duit gaji yang bagi saya lumayan masa itu. Maka saya mula mencari ilmu pengurusan kewangan. Buku pertama yang saya beli guna duit sendiri dan di atas kerelaan hati sendiri adalah buku tulisan Tuan Azizi Ali Coach iaitu “Jutawan Dari Planet Jupiter” berharga RM39.90 rasanya.
Hasil daripada pembacaan buku tersebut saya dapat tahu tentang liabiliti dan aset serta pengurusan kewangan peribadi. Daripada buku itu juga saya dapat tahu dua perkara (selamat) yang membolehkan kita menjana lebih banyak duit bagi orang kebanyakkan adalah melalui pelaburan Hartanah dan Perniagaan.
Daripada hasil pembacaan buku tersebut dalam tempoh kurang 12 bulan saya sudah ada simpanan sebanyak lebih kurang RM10,000 di dalam ASB. Sedang kawan-kawan pejabat cukup 3 bulan terus beli kereta, saya pula memilih naik KTM komuter dan Bas SKS balik ke kampung Pilah setiap minggu. Komitmen yang saya ada pada waktu itu adalah bayaran insuran RM140 dan juga pinjaman ASB RM270 (tak pandai sangat kira ASB masa tu).
Jadi setelah ada duit simpanan RM10,000 maka saya mula mencari untuk membeli rumah pertama saya dan kereta pertama saya. Saya beruntung kerana masa itu gawat (2008) dan pasaran hartanah agak perlahan. Oleh kerana itu banyak pemaju yang menawarkan diskaun istimewa. Setelah mencari-cari akhirnya saya jumpa satu projek yang terletak dengan kawasan yang strategik.
Bertambah menariknya pemaju itu menawarkan diskaun dan hanya perlu RM1 sebagai pendahuluan. Setelah urusan pinjaman selesai akhirnya pada umur 24 tahun dapatlah saya property pertama dengan modal permulaan RM1. Saya beli rumah apartment sedangkan kawan pejabat beli rumah teres untuk kegunaan sendiri. Masih ingat lagi kata sindirian mereka yang mengatakan, “Buat apa beli rumah tinggi nanti dah mati keranda berdiri dalam lift”. Apa-apa pun saya tahu tujuan saya beli apartment adalah untuk mudah dijual semula. Investment.
Dalam masa yang sama saya memulakan bisnes kecil-kecilan saya. Tujuannya supaya saya boleh buat duit dari kedua-dua bidang iaitu pelaburan dan perniagaan. As time goes by bisnes kecil berkembang sikit demi sikit dan ada wang simpanan RM20,000. Saya mula hendak membeli property kedua pula. Masa tu berumur 25-26 tahun macam tu. Setelah mencari akhirnya berkenan dengan projek di Petaling Jaya. Namun hajat nak beli tak sampai kerana loan saya ‘reject’ walaupun kewangan agak kukuh juga masa tu. Bisnes tak bayar cukai jadi susah untuk declare as income.
Bagi menyelesaikan masalah ini saya pergi mencari ilmu lagi. Maka terjumpalah dengan seminar hartanah Dr. Wan Shah Razali. Seminar beliau masa itu hanyalah RM50. Dan selepas menghadiri seminar tersebut barulah nampak bagaimana jalannya untuk terus beli dan membeli property.
Atas nasihat Dr Shah dan CEO Najib Mohamed saya menjual property pertama saya selepas dari seminar itu. Saya beli pada harga RM120K dan menjual semula pada harga RM270K. Hasil keuntungan pelaburan dalam tempoh kurang 3 tahun tersebut adalah sebanyak RM140K lebih kurang. Duit keuntungan yang ada saya ‘pump’ ke dalam bisnes saya sebagai modal bisnes. Dan dari situ pula saya rancang gaji ‘tambahan’ dari bisnes saya dan mula mengkut prosedur-prosedur seperti membayar cukai dan sebagainya.
Dengan pendapatan dari sumber bisnes maka saya layak untuk membeli property yang lebih mahal nilainya. Dan bisnes juga mudah berkembang dengan adanya modal yang disuntik dari hasil pelaburan hartanah pertama tadi.
Setelah mengikuti nasihat dan tunjuk ajar Dr. Shah dan CEO Najib akhirnya saya berjaya membeli property kedua dan seterusnya. Itulah rahsianya bagaimana saya mula terlibat dalam pelaburan hartanah walaupun saya orang biasa-biasa.
Rahsianya?
SEBUAH BUKU, RM1 DAN SEMINAR RM50.
Saya harap dengan sedikit perkongsian pengalaman ini dapatlah adik-adik, ahli keluarga dan rakan-rakan yang baru mula kerja itu ambil idea untuk jalan memiliki property sendiri dan seterusnya menjadi pelabur hartanah. Takut nanti dah tua macam kawan saya pun masih mengeluh tak mampu beli rumah sendiri.
Pun begitu pelaburan hartanah pun ada risikonya dan pasang surut naiknya. Saya pun tak terkecuali. Harga rumah memang mahal waktu ini tetapi lagi mahal waktu akan datang. Sentiasa ada rumah yang sesuai dengan poket kita. Mulalah awal. InsyaAllah.
Kredit: Merupakan cerita sebenar saudara Haryzat Zulzahary