Jurutera Malaysia Tukarkan Gurun Pasir Kepada Ladang Hijau Di Sudan

Sumber Rujukan : Osman Lisut (BH) 2 Apr 2017

Projek Mengubah kawasan gurun kepada kawasan hijau tanaman pernah di anggap projek mustahil pada awal pelaksaan sekitar 2006. Kawasan gurun yang ramai ramai tahu sudah semestinya dipenuhi pasir dan tiada sumber air. Namun, Kesungguhan sekumpulan jurutera Awqaf Sulaiman AlRajdi Holding yang di ketuai seorang jurutera Malaysia, Zuraimi Isa, berjaya mengubah landskap gurun berkenaan.

Dahulunya dikenali sebagai kawasan gurun, kini menjadi kawasan hijau pertanian yang menempatkan ladang gandum, jagung, barli, baseem dan rumput ternakan, alfalfa.

Menerusi projek WAKAF yang dibiayai sepenuhnya Al Rajhi International for Agriculture Investment (RAII), kini ada 300 pivots atau dikenali sebagai ladang di negara ini dan setiap satu berkeluasan 60 hektar. Zuraimi yang mengetuai Jabatan Perkhidmatan Pengurusan Air, Al Rajhi Agriculture & Infrasturctur Ltd, berkata sebagai projek perintis, beliau diberikan tanah seluas 24,000 meter persegi di pedalaman Sudan, Al Kafaa, untuk dimajukan dan tambahan 50,000 meter persegi di Al Rabah.

“Bagaikan mencabar kemampuan dan kepakaran saya, apabila diarah melakukan perubahan itu di Al Kafaa, memandangkan ketiadaan sumber air di situ.

“Walaupun menyedari Al Kafaa suatu kawasan pedalaman dan pekan terdekat jaraknya kira-kira 400 kilometer (km), saya menyahut cabaran itu serta ingin membuktikan bahawa mampu melakukannya.

Kenal Pasti Sumber Air

“Tindakan pertama saya mengenal pasti sumber air dan kaedah yang sesuai digunakan bagi memastikan ia sampai ke tapak projek Al Kafaa,” katanya kepada BH.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, berkata beliau bersama pasukannya membina terusan sejauh 45 kilometer dari Sungai Nil dan disimpan ke dalam telaga simpanan di tapak projek.

“Kami menempatkan beberapa unit pam besar bagi menyedut air Sungai Nil yang kemudian dialirkan ke terusan utama dan seterusnya ke cawangan terusan ke ladang.

“Kaedah kedua menggali telaga tiub 224 meter jauh ke dalam tanah bagi mendapatkan sumber air. Ia begitu mencabar, tetapi Alhamdulillah semuanya berjaya dilakukan,” katanya.

Zuraimi berkata, kumpulannya bernasib baik kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada komuniti setempat dalam projek berkenaan, memandangkan RAII mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah serta penduduk.

“Kami sentiasa berkongsi ilmu pengetahuan dan memberi bantuan biji benih serta baja. Kami juga bertindak mengajar komuniti setempat kaedah yang betul bercucuk tanam secara komersial.

Hasil Diagih Kepada Negara Miskin

“Menariknya, hasil tanaman adalah untuk kegunaan rakyat Sudan dan sebahagiannya dijual. Hasil keuntungan disalurkan ke dalam tabung kebajikan yang diagihkan kepada negara miskin di seluruh dunia,” katanya.

Katanya, komuniti tempatan amat menyanjungi RAII kerana memberi peluang pekerjaan kepada mereka, sekali gus mengatasi nasib mereka yang dibelenggu kemiskinan serta kemunduran.

“Selain itu, RAII turut merancakkan ekonomi setempat, membina infrastruktur seperti jalan dan bangunan sekolah serta universiti. Malah, RAII juga memberi bantuan kewangan kepada mereka,” katanya.

Menurut Zuraimi, projek ini lebih memberikan kepuasan lahiriah dan rohani kepada beliau, berbeza daripada projek mega lain yang pernah disertainya.

“Saya sudah menjadi jurutera hampir 19 tahun dan 16 tahun berkhidmat di luar negara seperti di Nigeria, Emeriah Arab Bersatu (UAF), Oman, Saudi, Mesir dan Sudan.

“Projek RAII ini meninggalkan kesan yang mendalam kerana ia berkonsepkan wakaf dan saya sendiri mengetuainya. Kami begitu bersemangat untuk memastikan ia berjaya dan pada masa yang sama berbakti kepada ummah,” katanya.

Katanya, seperti projek lain, ia juga tidak terlepas daripada masalah untuk mendapatkan alat ganti mesin dan peralatan lain kerana pekan terdekat kira kira 400 km.

“Jadi saya banyak melakukan modifikasi untuk menyiapkan sesuatu projek berdasarkan material yang ada di tapak projek.

“Kali ini, kami menghadapi masalah bekalan elektrik memandangkan di Sudan ia amat terhad dan selalu terputus bekalan. Pelbagai kaedah digunakan termasuk penggunaan kuasa solar.

“Kami juga mengkaji penggunaan turbin angin bagi menjana kuasa elektrik,” katanya.

Biodata Ringkas

Nama         : Zuraimi Isa
Usia            : 42 tahun
Asal            : Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah, Kelantan.
Pendidikan : Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Jawatan      : Ketua Jabatan Perkhidmatan Pengurusan Air, AlRajhi Agriculture & Infrastructur Ltd.

Satu komen untuk “Jurutera Malaysia Tukarkan Gurun Pasir Kepada Ladang Hijau Di Sudan”

  1. Ali Nordin says:

    Aslm Tn.Hj.Zuraimi. Saya sangat berminat dengan usaha yg dijalankan oleh tuan. Bagaimanakah boleh saya hubungi tuan untuk mendapatkan keterangan lanjut.

    Sekian,
    Wasallam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat