Tiga Kanak-Kanak Positif Penyakit Anjing Gila Di Sarawak


Penyakit Rabies ataupun lebih dikenali sebagai penyakit Anjing gila adalah sejenis penyakit Zoonosis yang disebabkan Lyssavirus. Ia boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan anjing yang dijangkiti Rabies. Jangkitan juga boleh merebak melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti Rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai kejadian kluster jangkitan Rabies yang dinotifikasi dari Hospital Umum Sarawak, Kuching pada 22 Jun lalu.

Katanya, semua kes yang membabitkan mangsa berumur empat, enam dan tujuh tahun pada awalnya disyaki menghidap penyakit viral encephalitis dan menunjukkan tanda dan gejala seperti demam, kadang-kala bersikap pelik, agresif dan rasa takut terhadap air.

Kes Pertama

Kes pertama adalah kanak-kanak lelaki, berumur empat tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian. Kanak-kanak itu mula mengalami demam sejak 5 Jun lalu dan mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari yang sama dan seterusnya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.

Kes Kedua

Kes kedua pula membabitkan kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian. Kanak-kanak ini adalah kakak kandung kepada kes pertama dan mangsa mulai demam pada 12 Jun lalu.

Kes Ketiga

Kes ketiga adalah kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dari Kampung Lebur, Gedong dan mula mengalami demam pada 23 Jun lalu.

Dr Noor Hisham berkata semua mangsa dimasukkan ke wad rawatan intensif kanak-kanak, yang dua daripadanya terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati dua daripada mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing lebih kurang sebulan atau dua bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi mangsa tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sejarah gigitan anjing atau tidak.

“Beberapa sampel ujian air kencing, air liur dan biopsi kulit dari semua kes diambil dan dihantar ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan menunjukkan keputusan positif kehadiran virus rabies,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak JKN Sarawak sudah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini melalui aktiviti pengurusan kes jangkitan rabies, amaran jangkitan telah dikeluarkan kepada semua pengamal perubatan dan telah membuka bilik gerakan untuk memantau kejadian dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan wabak.

“Oleh yang demikian, kami ingin menasihati orang awam yang tinggal di daerah Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies.

  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika mengalami gigitan anjing peliharaan yang agresif atau anjing liar.
  • Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat.
  • Elakkan kontak bersama anjing liar.

Katanya, kementerian turut mengingatkan daerah-daerah lain yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia supaya meningkatkan pemantauan kes gigitan anjing di daerah masing-masing.

Menurutnya, kementerian juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veteriner dan agensi lain yang berkaitan bagi memastikan jangkitan virus Rabies dalam kalangan manusia dapat dikawal dan tiada penularan lanjut berlaku.

Penyakit Rabies boleh menyebabkan kematian seratus peratus pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Sumber: firdausmatradzi.blogspot.my

Sumber: firdausmatradzi.blogspot.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat