Sah Umrah Sajat Jika Mencukupi Syarat
Mufti kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ibadat umrah yang dilakukan oleh Sajat yang berpakaian seperti wanita tetap sah. Ibadat umrah tersebut sah sekiranya mencukupi syarat.
“Isu dia (Muhammad Sajad) berpakaian wanita itu adalah kesalahan lain. Jika melihat dari segi ibadat, umrah dia adalah sah selagi dia menutup aurat dan cukup syarat.”
“Sebagai contoh lelaki solat dengan memakai pakaian curi, ibadat solatnya masih sah namun tindakannya yang mencuri itu tetap haram, ianya dua perkara berbeza,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Bharu.
Bagaimanapun beliau berkata, sepanjang ibadat umrah, Sajat telah melanggar tiga perkara. Pertama tidak patuh dan taat kepada Allah SWT dan tidak taat kepada peraturan yang ditetapkan.
“Jika kita melanggar tiga perkara itu ketika menunaikan ibadat umrah, Allah tidak akan reda. Sekarang ini ramai yang mengatakan hak asasi manusia dengan mempertahankan tindakan dia (Sajat).
“Dalam Islam, hak asasi itu terpakai kepada mereka yang berada dalam fitrah sahaja. Jika seseorang itu hidup diluar fitrah iaitu menjadi wanita sedangkan dilahirkan sebagai lelaki, bermakna dia sudah tidak hiduo secara fitrah.
“Jadi apa yang dilakukan Muhammad Sajad itu sudah melanggat ketiga-tiga elemen berkenaan sepanjang di Makkah selain tidak hidup secara fitrah. Maka Allah tidak akan reda, ” katanya.
Semalam, agensi yang membawa Sajat mengerjakan umrah telah mengesahkan bahawa dia sudah dibawa keluar dari Tanah Suci.
Berikutan kontroversi ahli perniagaan itu yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular dan menjadi buah mulut warga malaysia.
Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan selepas ia menjadi perhatian banyak pihak.
Mengulas lebih lanjut, Mohamad Shukri berkata, apabila Sajat menunaikan umrah, masyarakat mengharapkan dia mendapat keinsafan dan terbuka hati untuk kembali ke pangkal jalan.
Namun katanya, tindakan yang dilakukan oleh sajat dan kawan-kawannya itu turut menjejaskan imej negara yang mana selama ini sentiasa mendapat pujian sebagai jemaah yang berdisiplin.