Stesen Minyak Mampu Menolong Generasi Pada Masa Depan Untuk Meraih Pendapatan

Sumber Rujukan : Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Stesen minyak masih merupakan perniagaan yang menguntungkan untuk jangka masa yang panjang. Walaupun berdepan dengan pergolakan harga minyak yang tidak menentu, namun bisnes stesen minyak ini masih lagi mampu membuka peluang kepada mereka di luar sana.

Bagi individu yang mempunyai minat mendalam untuk berkecimpung dalam bidang peruncitan petroleum amat digalakkan, tidak kiralah samada individu yang berada di bandar mahupun di luar bandar. Kerajaan mengambil langkah membuka semula permohonan baru khususnya bagi stesen minyak di luar bandar sejak ia dibekukan dari tahun 2007 adalah satu tindakan yang tepat sekali. Tindakan yang diambil ini adalah bagi memastikan pengguna yang berada di luar bandar tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel di dalam urusan harian mereka.

Perusahaan stesen minyak masih mampu menjana keuntungan yang lumayan jika diusahakan dengan baik.

 

Peluang sebegini seharusnya direbut oleh individu di luar sana kerana petroleum dan diesel juga merupakan barang keperluan harian. Seperti sedia maklum, menjual barang keperluan harian ini tidak akan membawa individu berdepan dengan kerugian, bahkan akan memberi keuntungan yang sangat memberangsangkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Seng, Datuk Seri Lim Chin Hui yang mengusahakan 300 stesen minyak berkata, kebanyakan stesen minyak gagal memperoleh keuntungan pada bulan Jun. Walau bagaimanapun, Datuk Seri Lim Chin Hui percaya bahawa ia hanyalah satu fenomena yang dianggap sementara.

 

Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan bahawa sebanyak 80 stesen minyak terpaksa menggulung tikar dalam tempoh dua tahun kerana berdepan kerugian ekoran pergolakan harga bahan api.

 

Datuk Seri Lim Chin Hui berkata, perniagaan ini juga tidak boleh ditamatkan begitu sahaja oleh pengusaha stesen minyak kerana ia tertakluk kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang antaranya bertujuan menjamin bekalan bahan api kepada pengguna.
Jelasnya lagi, penamatan kontrak dengan Chevron oleh 15 stesen minyak Caltex membawa kepada penutupan stesen minyak pada akhir bulan Jun. Hal ini adalah disebabkan kontrak mereka dengan Chevron telah tamat tempoh akhirnya dan penutupan ini mendapat kelulusan dari kerajaan.

 

Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 4,000 buah stesen minyak di seluruh negara dengan persaingan antara lima jenama terkenal iaitu Shell, Petronas, Caltex, BHP dan Petron.
Menurutnya lagi, stesen minyak masih mampu menjanjikan keuntungan jika ia diusahakan dengan baik dan konsisten.

 

Chin Hui bagaimanapun menggesa kerajaan mengkaji semula kadar komisen yang diperoleh pengusaha stesen minyak yang mana ia diperhitungkan berdasarkan jumlah liter petroleum yang dijual dan bukannya berdasarkan peratusan keuntungan.
Katanya, sesebuah stesen minyak yang mempunyai stok berjumlah banyak boleh kehilangan beribu-ribu ringgit semalaman jika harga jualan diturunkan tujuh sen seliter.

 

Selain itu, perhatian yang lebih juga harus diberikan untuk sektor perniagaan stesen minyak ini kerana ianya merupakan satu aktiviti perniagaan yang melibatkan hampir setiap lapisan masyarakat.
Seseorang individu akan menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian mereka sekiranya tiada bekalan petrol dan diesel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat