Shellout 5 Rasa Istimewa Jadi Tumpuan Orang Ramai


Warung Cerry Merry menawarkan hidangan shellout lima rencah lima rasa dan nasi bufet RM8 serta air dispenser menjadikan kedainya yang terletak di Kampung Peramu, Kuantan, Pahang itu sentiasa menjadi tumpuan ramai untuk menjamu selera.

Menurut pemiliknya, Mohd Rafdi Mat Tahar, 36, shellout yang disediakan ialah gabungan ketam, sotong, udang, kupang, kepah dan lonjok dihidang bersama nasi dan air pada harga RM35 untuk 3 orang.

Menurutnya, disediakan juga pilihan sajian tambahan seperti kerang, udang buttermilk, ayam pandan, ayam lemon, ayam mangga, kerabu perut, kerabu mangga, sambal lempung dan ikan bakar pada harga serendah RM3 setiap bekas.

Mohd Rafdi menyatakan semua resipi sos dan sambal shellout dicipta sendiri oleh isterinya, Normuhaituty Ibrahim, 35.

“Untuk sambal shellout, isteri mencipta lima resipi sambal yang berbeza dan walaupun masih baru dalam perniagaan makanan seperti ini, resipi ciptaan isteri sentiasa ‘menjadi’ dan disukai pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedainya yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tengku Mahkota Abdullah yang lebih dikenali sebagai Masjid Peramu.

Katanya, shellout ketam cili api paling digemari pelanggan kerana gabungan cili api dan lada hitam yang dikisar bersama bawang dan lengkuas serta daun limau purut dengan asam jawa membangkitkan rasa ‘terlebih pedas’ dan ‘pijar’ di bahagian bibir tetapi tetap mahu dinikmati hanya dek kerana keenakannya.

Bagi sambal kupang, saya guna rempah rendang minang iaitu gabungan bawang, cili api, cili kering, halia, lengkuas yang ditumis sehingga ‘naik bau’ sebelum dimasukkan kerisik.

“Shellout lain ialah lala blackpepper, scalop sambal kering dan udang sos lemon yang turut menjadi ‘kegilaan’ pelanggan,” katanya.

Warung Cherry Merry yang dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 4 petang kecuali Ahad turut menyediakan sarapan pagi pelbagai jenis nasi, mi dan kuih muih.

Katanya, kedai makan berkenaan menyediakan hidangan tengahari berkonsepkan nasi bufet mulai jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang manakala shellout bermula jam 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang.

Konsep nasi bufet ini hanya memerlukan pelanggan membuat pembayaran RM8 terlebih dahulu di kaunter untuk mendapatkan sebiji pinggan untuk pelanggan dewasa manakala RM6 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan orang kelainan upaya (OKU) serta PERCUMA untuk kanak-kanak berumur bawah enam tahun.

“Pelanggan boleh ambil apa sahaja lauk digemari malah kami tidak langsung menghadkan apa yang mereka hendak janji makanan tu habis dimakan untuk elak pembaziran,” katanya.

Mohd Rafdi berkata, dia menyediakan sehingga 30 jenis lauk pauk biasa dan satu hidangan istimewa yang berbeza setiap hari seperti ikan tenggiri, ketam, sotong dan udang.

Pelbagai jenis lauk berasaskan ayam, daging, ikan, sayuran dan kerabu, ulam-ulaman serta aneka sambal yang keseluruhannya menepati selera pantai timur.

“Antara yang menjadi pilihan ialah ikan singgang, ayam masak merah, kerabu jantung, kerabu kaki ayam dan kerabu mangga, ikan patin tempoyak dan keli berlada,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat