Sah! Anwar kini bebas: Agong perkenan pembebasan anwar serta-merta
Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari lepas kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun ketika kesalahan itu dilakukan pada 2008.
Selepas menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara atas kesalahan meliwat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan. Ini susulan Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat hari ini untuk memutuskan perkara itu.
Anwar dan keluarganya, khususnya Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga adalah isterinya dan anak mereka, Nurul Izzah yang kini adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul, telah lama mendakwa pertuduhan itu bermotivasi politik.
Yang di-Pertuan Agong telah menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.
Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam kenyataan dari Istana Negara, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Anwar kini masih berada di istana untuk mengadap agung yang berkenan menerima kunjungannya, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali.
Kekalahan mengejutkan BN pada pilihan raya umum minggu lalu menyaksikan kerajaan HARAPAN yang baru bergerak pantas untuk mendapatkan pengampunan buat Anwar dan melepaskannya dari penjara.
Anwar dijangka mengambil alih daripada perdana menteri ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua tahun.