Kisah Khianat
Malaysiakini ada menulis mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS bahawa ianya haram jika kita menyerahkan kuasa (ketua negara) kepada orang bukan islam. Selepas kenyataan ini dikeluarkan, TGHH dituduh sebagai seorang yang rasis.
Kita bukan nak bercakap mengenai hukum hakam, kita serahkan kepada mufti perkara tersebut. Tetapi, apa yang nak diceritakan ialah mengenai Perang Granada yang diambil daripada sejarawan Amerika iaitu Dr Pamela D. Toler.
Perang antara Kerajaan Islam Sepanyol dan pasukan tentera Perancis, England dan Ireland diketuai oleh Ratu Isabella berlaku pada tahun 1482. Perang ini berlangsung selama 10 tahun. Ia berakhir setelah Granada dikepung selama 9 bulan dan ia menjadi tanah terakhir bagi umat Islam di Eropah.
Satu perjanjian telah dibuat bagi menyelamatkan umat Islam di Granada. Perjanjian di antara Sultan Abu Abdullah Muhammad XII dengan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Walaupun Granada akan diserahkan kepada kerajaan Katolik Sepanyol, umat Islam yang berada di Granada masih boleh tinggal di sana dan masih boleh bebas mengamalkan ajaran agama mereka.
Perjanjian yang dinamakan “Capitulation of Granada” telah ditandatangani.
Menurut Dr Pamela, Isabella dan Ferdinand tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani, tidak sama seperti pemimpin Muslim yang mengutamakan hak untuk beribadat bagi orang bukan islam sebelum ini. Apa yang lebih teruk lagi, mereka cuba untuk memurtadkan umat Islam yang berada di Granada dalam tempoh 10 tahun pertama penaklukan mereka di Granada. Umat Islam mula memberontak selepas daripada itu.
Ratu Isabella telah memberi dua pilihan kepada umat Islam iaitu, murtad ataupun keluar dari Granada sehelai sepinggan setelah gerakan pemberontak ditewaskan. Kebanyakkan daripada mereka memilih untuk tinggalkan Granada serta kehilangan harta benda mereka dan terus dengan agama yang mereka anuti. Segelintir daripada mereka memilih untuk kekal di Sepanyol dan dimurtadkan.
Golongan yang murtad tadi dikenali sebagai Moriscos ataupun Little Moors. Mereka tetap dilayan seperti kelas ke dua setelah dimurtadkan. Ribuan Moriscos ditahan dan harta mereka disita oleh kerajaan Sepanyol bermula pada tahun 1530. Golongan ini sering terdedah dengan seksaan, sebatan, penderaan awam dan tidak lupa juga hukuman bunuh.
Semua Moriscos diarahkan untuk keluar dari tanah Andalusia pada tahun 1609 oleh pemerintah Sepanyol pada ketika itu, iaitu Philip II. Dalam tempoh 5 tahun, dianggarkan dalam 300 ribu Moriscos telah menjadi pelarian pada ketika itu.
Bagi mereka yang meminta pertolongan daripada Empayar Islam, mereka dipaksa untuk meninggalkan anak mereka yang berumur kurang dari 7 tahun untuk dibesarkan sebagai Kristian di Sepanyol dan juga untuk ‘diselamatkan’.
Inilah apa yang ditulis oleh sejarawan Barat mengenai isu kemanusiaan Granada selepas tampuk pemerintahan diserahkan kepada orang bukan Islam untuk memerintah. Tiada tokok tambah.
Jika kisah ini diambil dari sumber sejarawan Islam, maka tahap iman diri seseorang akan dipersoalkan.
Rujukan:
[1] https://www.malaysiakini.com/news/494780
[2] The History Of All Of Us Mankind, Dr Pamela D. Toler, Running Press Book Publishers, 2012, ms 201 – 204