Mufti Wilayah Berdialog Dengan Komuniti LGBT, Bertemu Untuk Menyelami
Alhamdulillah, semalam merupakan satu sesi suai kenal yang amat bermakna bagi kami bagi pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Kami berpeluang menyantuni komuniti transgender di sekitar Chow Kit sekitar jam 12 -2 petang. Banyak maklumat baru yang diperoleh bagi memantapkan lagi kajian dalam isu-isu berkaitan.
Terima kasih kepada Cik Elisha Kor Krishnan selaku Presiden PKKUM yang memulakan langkah membina jambatan persaudaraan ini. Begitu juga kepada hadirin yang begitu ramai hadir daripada komuniti transgender, NGO Rumah Solehah, MAC, PT Foundation, Sisters in Islam, PAFI, MOH, Rumah Wake, JKMWPKL dan lain-lain.
Begitu juga penghargaan kepada Tuan Syed Azmi yang sentiasa sudi menjadi rakan strategik kami dalam memaknai kehidupan bermasyarakat dalam konteks Malaysia. Semoga beroleh ganjaran yang selayaknya atas usaha dan pengorbanan tuan selama ini.
Sabda Nabi SAW
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sehingga dia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang dia cintai untuk dirinya”
Sesunggunya kami mengasihi kalian semua kerana Allah SWT. Program pertama yang kami anggap sebagai sesi suai kenal ini akan diteruskan dengan tindakan susulan bersama untuk manfaat kedua-dua belah pihak, insyaAllah.