Projek NEOM : Bandar Bernilai $500 Billion Yang Serba Futuristik Ilham dari Putera Mahkota Saudi
NEOM yang membawa maksud new future atau masa depan baru merupakan projek utama bagi Wawasan 2030 di Arab Saudi. Projek mega ini merupakan ilham oleh Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman.
Projek NEOM bakal memacu hala tuju negara tersebut jauh daripada kebergantungan Arab Saudi terhadap sumber minyak.
Secara tidak langsung, ini akan membuka peluang kepada negara ini untuk mempelbagaikan sumber ekonomi serta mengembangkan sektor awam.
Meskipun projek NEOM bertempat di Arab Saudi, ia merupakan projek antarabangsa yang disokong dari pelbagai pihak dari serata dunia dari aspek perancangan dan pelaburan.
Projek yang memakan belanja $500 billion ini dijangka bakal menjadi tumpuan bagi merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan Arab Saudi.
Terletak di sepanjang Laut Merah di barat laut Arab Saudi, Mohammed bin Salman juga ingin membangunkan NEOM sebagai pusat penyelidikan serta tumpuan bagi pengkomersialan teknologi baru.
Projek NEOM juga memegang tema ekosistem lestari dan diharap dapat menjadi pemangkin bagi kehidupan yang lebih mesra alam sekitar pada masa hadapan.
Projek NEOM Bakal Bangunkan Bandar The Line
Menerusi NEOM, sebuah bandar yang dinamakan The Line akan dibangunkan secara memanjang sejauh 170 kilometer sesuai dengan namanya.
Bagi melengkapi The Line, kereta api berkelajuan tinggi akan dibangunkan bagi memudahkan pengangkutan warga NEOM. Dilaporkan kereta api ini hanya memerlukan 20 minit sahaja untuk sampai ke destinasi paling jauh.
Selain The Line, NEOM juga akan menempatkan Oxagon, sebuah bandar terapung seluas 7 kilometer. Ini bakal menjadikan Oxagon sebagai struktur terapung terbesar di dunia.
NEOM Terletak di Tengah Peta Dunia
Terletak di barat laut wilayah Tabuk dengan keluasan 26,500 kilometer persegi, NEOM menawarkan lokasi yang unik serta strategik.
Dianggarkan 40% daripada penduduk dunia boleh sampai ke NEOM dengan jarak perjalanan hanya 4 jam menaiki kapal terbang.
Ini bukan sahaja membuatkan NEOM lebih mudah dikunjungi pelancong, malah ia bakal menggalakkan peluang perniagaan serta menjamin pelaburan yang rancak dua hala antara pasaran tempatan dan antarabangsa.
Matlamat projek NEOM ini juga bertepatan dengan Saudi Green Initiative, sebuah inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menjadi negara bebas pencemaran (zero-emission) menjelang tahun 2060.
NEOM juga dirangka untuk bergantung kepada tenaga yang boleh baharu (renewable energy) sepenuhnya di samping mengekalkan 95% struktur semulajadi.
Projek NEOM Dibantah Oleh Orang Setempat
Apabila projek NEOM diumumkan, ia dikatakan akan dibangunkan di kawasan tanah dara iaitu tanah yang tidak berpenghuni.
Namun apabila dikenalpasti, sebahagian kawasan yang akan dibangunkan dipercayai merupakan kawasan tempat tinggal orang dari suku Huwaitat.
Petempatan orang Asli ini menjangkau dari Arab Saudi, Jordan dan Semenanjung Sinai selama beberapa generasi. Dikhabarkan, penempatan kaum Orang Asli ini telah pun wujud sebelum adanya negara Arab Saudi lagi.
Berita pembangunan NEOM semestinya menimbulkan kemarahan di kalangan orang-orang Huwaitat. Dilaporkan sekurang-kurangnya 20,000 anggota suku Huwaitat berdepan dengan risiko pengusiran ekoran projek mega ini.
Alia al-Huwaiti, seorang aktivis dari anggota suku yang tinggal di London tampil bagi membantah projek ini. “NEOM jelas bukan untuk orang yang sudah tinggal di sana. Ia dibangunkan untuk pelancong yang berduit.”
Keadaan kian tegang apabila 9 orang ahli suku dilaporkan mati dipercayai akibat bantahan projek ini. Menurut Alia al-Huwaiti, pembunuhan warga Huwaitat serta pemindahan secara paksa menggambarkan kelemahan dan diskrimiasi kerajaan terhadap kumpulan orang Asli ini.
Bagi menjawab kontroversi ini, Ali Shihabi, anggota lembaga penasihat NEOM, memberitahu pihak media bahawa anggota suku ini diarahkan untuk berpindah dan akan diberi ganti rugi.
Menurut Ali, sudah menjadi kelaziman di negara tersebut bahawa rakyat harus menerima dan menurut arahan kerana pemerintah Arab Saudi memegang tradisi untuk memberi ganti rugi secara adil.
Ini bukan pertama kali kerajaan Arab Saudi terpalit dengan kontroversi sebegini. Pada tahun 2017, PBB pernah mengecam pemusnahan paksa oleh kerajaan terhadap kawasan Awamia yang bertembok di wilayah Qatif Timur.
Ini jelas melanggar hak asasi manusia yang sepatutnya dibela oleh kerajaan.
Hanya masa yang boleh tentukan sama ada NEOM ini bakal realisasikan kehidupan lestari atau tidak. Di samping bantahan orang setempat serta konsep yang sarat dengan teknologi maju, pembangunan NEOM semestinya menjadi cabaran dan langkah yang besar buat kerajaan Arab Saudi.
Perancangan bandar ini sedang berjalan dan dijadualkan untuk terima penghuni baru mulai tahun 2024.
Hotel pertama NEOM pula dijangka akan buka pada hujung tahun ini manakala lapangan terbang antarabangsa akan mula beroperasi menjelang tahun 2030.
NEOM juga mensasarkan pendudukan seramai 1 juta orang menjelang tahun yang sama.