Populasi Gay Semakin Meningkat – JAKIM


Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim Dr Mohd Izwan Md Yusof menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai anggaran 310,000 populasi gay di negara ini.

Beliau berkata anggaran berkenaan masih belum muktamad lagi.

“Merujuk kepada kenyataan saya semalam (29 Oktober) berkenaan anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000, adalah angka yang masih prelim iaitu belum muktamad oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana yang dipetik,” katanya dalam suatu kenyataan.

Mohd Izwan berkata seseorang yang dilabel gay tidak semestinya telah melakukan hubungan sejenis sama ada homoseksual atau liwat.

“Gay menurut definisi oleh Blanch Consulting, adalah seorang lelaki yang memiliki ketertarikan sesama jenis dari sudut seksual, romantik dan fizikal.

“Sehubungan itu, seseorang yang dilabel gay, tidak semestinya telah melakukan hubungan sesama jenis sama ada homoseksual atau liwat.

“Golongan ini baru dianggap memiliki same sex attraction iaitu ketertarikan sesama jenis,” maklum beliau.

Intervensi kerohanian

Menurutnya lagi, Jakim komited melakukan bimbingan terhadap komuniti dan menyeru masyarakat mengukuhkan institusi kekeluargaan.

“Justeru, Jakim komited untuk terus melakukan usaha penerangan dan bimbingan melalui seminar dan program Mukhayyam dalam memberikan intervensi kerohanian kepada komuniti LGBT yang ingin mendapatkan bimbingan,” katanya.

Dalam suatu seminar berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Pulau Pinang, Izwan dilaporkan berkata golongan gay semakin ramai.
“Saya baru-baru ini tanya pegawai jabatan kesihatan untuk statistik 2018. Komuniti gay kini dianggarkan seramai 310,000. Angka ini sedang meningkat. Ini angka untuk gay.”

“Angka bagi lesbian pula lebih sukar dijangkakan,” katanya.

Semalam Menteri Agama Datuk Seri Mujahid Yusof berkata jumlah 310,000 gay yang dikenal pasti perlu diperhalusi lagi kerana tidak semua daripada mereka terus terlibat dengan “kegiatan songsang.”

Sumber : MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat