Bukan Cerita Gangster Biasa, Pok Ya Cong Codei Kembali Cetus Fenomena Sambil Tunjukkan Sisi Sebenar Gedebe


Pok Ya yang kembali menemui peminat menerusi drama bersiri Pok Ya Cong Codei : Memburu Siti dilihat mendapat sambutan yang cukup hangat dari penggemar drama dan filem tempatan.

Terdahulu, sambutan hangat terhadap telefilem Pok Ya Cong Codei mencetuskan fenomena pada tahun 2018 dan diikuti sekuel Pok Ya Cong Codei, Siti di Hati yang ditayangkan pada tahun yang sama. Ini mendorong pengarah untuk bawa watak ikonik ini ke drama bersiri.

Meremang Bulu Roma Tengok Scene Tampar !

Disiarkan bermula 21 Mac 2022, warganet menyifatkan drama Pok Ya Cong Codei ini mempunyai elemen filem Melayu yang tepat dan padat dengan tauladan serta pengajaran.

Selain jalan ceritanya yang menarik, drama bersiri ini juga dihidupkan dengan barisan pelakon mantap tanah air seperti Wan Hanafi Su, Eman Manan, Farid Kamid dan Angeline Tan.

pok ya cong codei dibarisi pelakon handalan tanah air

Kredit : Facebook Brader Film

Seperti filem Pok Ya Cong Codei yang diterbitkan pada tahun 2018, Sabri Yunus tetap memegang watak Pok Ya Sedegham sementara warganet cukup terkesan dengan lakonan Eman Manan sebagai Muda Primula. Meremang bulu roma tengok scene tampar macam real !

” Wat tubik habih mende hk ade dalam rumah mu..lembing, tombak, parang, golok, keris..kalu ada pistoI wat tubik pistoI” kata Muda Primula dengan loghat Terengganu.

Gandingan Eman Manan dan Sabri Yunus juga dilihat cukup mantap dan berjaya mencetuskan adegan yang paling diingati di kalangan penonton.

Pok Ya Cong Codei Cetus Fenomena

Sejak Pok Ya Cong Codei muncul empat tahun lepas, tiada siapa menyangka ia akan menjadi sebuah karakter yang terpahat di hati rakyat Malaysia.

Karakter utama ini tular di kalangan warganet sehinggakan ramai peminat-peminat filem sulung Sabri Yunus ini terpanggil untuk menghasilkan lukisan Pok Ya.

Fenomena yang jarang dilihat tatkala terhasilnya sebuah filem tempatan, karya-karya peminat Pok Ya Cong Codei dikumpul lalu dibukukan oleh Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM) dengan judul Pok Ya Cong Codei (Kompilasi Fan Art).

Selain lukisan, memorabilia dalam bentuk T-shirt dengan wajah Pok Ya Cong Codei turut dihasilkan untuk dimiliki oleh peminat filem ini.

pok ya cong codei

Kredit : Facebook Rossem

Pok Ya Cong Codei Beri Nafas Baru Bagi Filem Gangster

Lambakan filem-filem gengster yang ada di negara kita membuatkan telah membentuk fahaman kita tentang dunia kongsi gelap namun ia bukanlah realiti sebenar.

Menurut pengarah tersohor U-Wei Haji Saari, Pok Ya Cong Codei adalah sebuah karya yang tidak dibuat-buat.

Ia juga telah memberi nafas baru bagi drama tempatan. Berbanding filem cinta dengan latar belakang hidup yang mewah, karya yang popular dengan dialek Kelantan ini dirasakan lebih dekat dengan penonton sambil berpijak di bumi nyata.

Pengarah filem Mencari Rahmat, Al-jafree Md Yusop pula berpendapat Pok Ya Cong Codei adalah telefilem terbaik pernah dihasilkan di Malaysia.

Pok Ya Cong Codei Tunjukkan Sisi Sebenar Gedebe

Mula muncul sekitar era-70an, istilah gedebe sudah tidak asing lagi di negeri Cik Siti Wang Kembang.

Istilah yang berasal dari Selatan Thailand ini merujuk kepada Tok Nebe atau Tok Penghulu, satu sosok yang sangat dihormati dan disegani serta mampu menyelesaikan banyak masalah antaranya pergaduhan yang melibatkan kumpulan samseng dan hal lain di kawasan sekitarnya.

Melalui Pok Ya Cong Codei, Sabri cuba untuk memberitahu bahawa orang ‘gedebe’ sebenarnya bukan kaki gaduh semata-mata individu ini menjadi orang tengah di mana nasihat mereka selalunya akan dihormati dan didengar oleh 2 pihak yang berselisih faham.

Itulah watak gedebe sebenar, bukan samseng atau gangster yang cepat naik angin dan bergaduh setiap kali ada pihak lain yang tak setuju dengannya.

Berbanding samseng yang suka bercakap dengan nada keras dan kuat mengamuk sambil bercakap dalam pelat cina, Pok Ya bersifat lebih tenang dan kekal dengan dialek Pantai Timurnya.

pok ya cong codei

Kredit : Astro Gempak

Pok Ya Cong Codei : Memburu Siti Kini Trending !

Baru tiga episod ditayangkan, Pok Ya Cong Codei : Memburu Siti kini menduduk tempat ke-22 paling trending di Youtube Astro Gempak.

Drama bersiri arahan Sabri Yunus ini membuktikan karya yang mempamerkan realiti sebenar serta padat dengan unsur kemelayuan sebegini cukup ramai penggemarnya.

” Eman Manan, Sabri Yunus, Wan Hanafi Su. Trio of the finest actors in Malaysia. Confirm gempak siri Pokya ni.

“Wow karya terbaik. Boleh masuk Netflix Series untuk paparan masyarakat antarabangsa. Kualiti terbaik. Tahniah Sabri Yunus.”

” Fuhh,,,dengar orang lama punya dialog, meremang tengkuk..tambah ada Eman Manan.. salute smua pelakon cite ni..” tulis warganet.

” Sepanjang hidup..rasanya ni baru drama realiti.. kalau tak cite drama asyik pejabat besor dan orang-orang kaya..terbaik Pokya dan legend-legend yang lain..

Demikianlah antara komen warganet yang rata-rata cukup berpuas hati dengan hasil karya terbaru Sabri Yunus.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan karya yang diperlukan oleh penggemar drama dan filem tempatan tatkala ramai yang sudah jemu disajikan dengan kisah cinta tak realisitik dan konflik orang kaya.

Sabri turut menzahirkan rasa teruja atas maklumbalas positif di kalangan penonton sehinggakan ramai yang tidak sabar untuk ketahui kesudahan watak Siti yang melarikan diri.

Kalau nak tahu apa yang akan terjadi pada Siti, kenalah tonton , Pok Ya Cong Codei : Memburu Siti di Astro Ria dan Youtube Astro Gempak !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat