Masihkah Anda Ingat Sumbangan Perdana Menteri Malaysia Yang Mentadbir Negara ?

Masihkah Anda Ingat Sumbangan Perdana Menteri Malaysia Yang Mentadbir Negara ?


Selain daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah negara, dibawahnya terdapat perdana menteri yang dibantu oleh menteri-menteri lain yang telah dilantik. Lazimnya, perdana menteri juga merupakan ketua parti atau ketua gabungan parti politik yang memegang kuasa majoriti dalam Dewan Rakyat.

Di bawah Perlembagaan, perdana menteri memainkan peranan dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam :

  • perlantikan 44 daripada 70 senator.
  • pemanggilan atau penangguhan sidang Dewan Rakyat.
  • perlantikan hakim-hakim mahkamah atasan (iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan)
  • perlantikan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara
  • perlantikan Pengerusi dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Angkatan Tentera.
  • Perlantikan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak.

Sejauh manakah pengetahuan mengenai tokoh-tokoh yang pernah memegang jawatan perdana menteri di Malaysia ? Jom kita refresh semula pengetahuan sejarah kita tentang Perdana Menteri yang pernah mentadbir negara sejak kemerdekaan !

Senarai Perdana Menteri Malaysia

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970)

  • Diputerakan pada 8 Februari 1903, dan merupakan Perdana Menteri pertama Malaysia.
  • Dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia atas pencapaiannya dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
  • Sebelum Tanah Melayu merdeka dan bebas dari penjajah, Tunku merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 hingga 1957.
  • Almarhum Tunku wafat pada 6 Disember 1990.

Allahyarham Tun Abdul Razak bin Haji Dato’ Hussein (22 September 1970 hingga 14 Januari 1976)

  • Dilahirkan pada 11 Mac 1922, beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua.
  • Pernah meyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan sebelum dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Tunku Abdul Rahman.
  • Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia atas jasanya dalam mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi dan sosial negara melalui penubuhan Dasar Ekonomi Baru yang masih kekal digunakan sehingga ke hari ini.
  • Merupakan bapa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Beliau meninggal dunia pada 14 Januari 1976.

Allahyarham Tun Hussein bin Dato’ Onn (15 Januari 1976 hingga 16 Julai 1981)

 

  • Dilahirkan pada 12 Februari 1922 dan merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga.
  • Dikenali sebagai Bapa Perpaduan Malaysia kerana beliau berusaha untuk memupuk perpaduan diantara semua kaum yang terdapat di negara ini.
  • Semasa berkhidmat, beliau meneruskan agenda pembangunan yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak di samping membantu dalam meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan ketika itu.
  • Mendukung aspirasi Dasar Ekonomi Baru, Tun Hussein juga melancarkan Rancangan Malaysia Ketiga yang meneruskan pembangunan pertanian dan perindustrian.
  • Merupakan bapa kepada bekas Menteri Pertahanan Malaysia iaitu Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  • Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1990.

4) Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003) 

  • Dilahirkan pada 10 Julai 1925 dan merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia.
  • Dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia kerana beliau telah memperkenalkan satu era modenisasi baru yang telah menjurus kepada kemajuan teknologi di Malaysia pada zaman pemerintahannya.
  • Memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1982 bagi mengorak langkah-langkah kerajaan agar meneladani contoh-contoh baik dari negara Korea dan Jepun untuk diterapkan di Malaysia.
  • Turut meluluskan Projek Kereta Kebangsaan Malaysia iaitu Proton Saga pada tahun 1982 yang memacu industri automotif tempatan.
  • Pentadbiran Tun Dr Mahathir ketika itu turut menyaksikan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) bagi menarik syarikat-syarikat dengan pengecualian cukai syarikat sementara serta kemudahan-kemudahan lain seperti internet yang laju dan lokasinya yang berkedekatan dengan lapangan terbang antarabangsa.
  • Menginspirasikan penubuhan Menara Berkembar Petronas sebagai mercu tanda negara dan sekaligus menjadi bangunan pencakar langit tertinggi di dunia dari tahun 1998 hingga 2004. Walaupun tidak lagi menjadi bangunan tertinggi, mercu tanda ikonik ini selesa di kedudukan ke-16 sebagai pencakar langit tertinggi di dunia.
  • Merupakan penyokong terkuat pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi sebahagian daripada inisiatif MSC.
  • Menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dan merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat di Asia Tenggara.

5) Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009)

  • Dilahirkan pada 26 November 1939, dan merupakan Perdana Menteri Kelima Malaysia.
  • Lebih terkenal dengan panggilan Pak Lah.
  • Merupakan Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia kerana jasanya untuk membangunkan modal insan semasa beliau memerintah.
  • Memperuntukkan RM 11.4 bilion kepada sektor agrikultur dan lain-lain yang berkaitan. Usaha beliau membuahkan hasil apabila nilai eksport dari sektor agrikultur meningkat sehingga 40%.
  • Ketika menyandang jawatan ini, Pak Lah juga mempengerusikan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) iaitu badan NGO kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
  • Beliau juga sempat memperkenalkan konsep Islam Hadhari untuk membangunkan negara bukan sahaja dari aspek fizikal, malah aspek rohani.
  • Mengubah sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan, iaitu Artikel 8 (2) yang membolehkan membolehkan balu kepada penjawat awam untuk terus menerima pencen mendiang suaminya walaupun setelah mereka kahwin lain, dan memberi wanita hak yang sama terhadap hartanah yang dimiliki bersama suami.

6) Dato’ Sri Najib bin Tun Haji Abdul Razak (3 April 2009 hingga 9 Mei 2018)

  • Dilahirkan pada 23 Julai 1953, dan merupakan Perdana Menteri keenam Malaysia.
  • Dikenali sebagai Bapa Transformasi Malaysia kerana usahanya dalam meninggikan perkhidmatan awam, serta pengurusan ke arah membentuk kerajaan lebih transparen.
  • Memperkenalkan sistem Key Performance Indicator (KPI) untuk mengukur keupayaan serta kecekapan pegawai dan juga agensi.
  • Merupakan anak kepada Perdana Menteri Kedua Malaysia iaitu, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Haji Dato’ Hussein.

7) Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020)

  • Merupakan Perdana Menteri ketujuh Malaysia yang dilantik pada 10 Mei 2018.
  • Beliau mencatat sejarah sebagai individu tertua yang dilantik sebagai Perdana Menteri di atas faktor umur beliau dan juga sebagai individu pertama yang menjadi Perdana Menteri sebanyak 2 kali.
  • Tun Mahatir turut diiktiraf sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia bagi 2019 oleh penerbitan The Muslim 500, sekali gus mengetuai senarai 500 lelaki Islam paling berpengaruh di dunia.
  • Pada tahun yang sama, beliau juga disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2019 oleh majalah Time Dan, awal turut tersenarai dalam 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.
  • Tun Mahathir juga pernah menjadi Perdana Menteri Interim sebelum Tan Sri Muhyidin mengisi jawatan sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.

8) Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Md Yasin (1 Mac 2020 hingga 21 Ogos 2021)

perdana menteri malaysia kelapan

 

  • Sering digelar Abah, Tan Sri Muhyiddin Yasin memperkenalkan perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Meskipun dikritik, langkah ini dilihat berkesan apabila negara mencatatkan penurunan kes yang drastik.
  • Memacu koordinasi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan dalam memerangi wabak Covid-19 yang sedang memuncak semasa beliau menggalas tugas ini.
  • Memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi dengan nilai RM 260 bilion bagi memperkasakan ekonomi serta membantu segenap rakyat Malaysia yang terjejas ekoran wabak Covid-19.
  • Tan Sri Muhyiddin Yasin turut memperkenalkan pakej rangsangan komprehensif yang dinamakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mengandungi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion untuk memperkasakan rakyat, merangsang perniagaan dan merancakkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19

 9) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (21 Ogos 2021 hingga kini)

  • Beliau merupakan Ahli Parlimen (MP) Bera sejak 2004 dan naib presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti komponen gabungan Barisan Nasional (BN).
  • Beliau secara rasmi dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 berikutan peletakan jawatan pendahulunya Muhyiddin Yassin.
  • Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia pertama yang dilahirkan selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Kini negara kita dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Begitulah serba sedikit fakta serta sumbangan   Perdana Menteri Malaysia yang pernah mentadbir negara sejak bebas dari jajahan British. Diharapkan artikel ini dapat mengingatkan kembali rakyat Malaysia yang kadang kala terlupa tentang jasa yang pernah ditaburi tokoh-tokoh negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat