Rambut Anda Berkelemumur? Nah Ini Cara Mengatasinya

Sumber Rujukan : utusan

Kelemumur (Pityriasis capitis) merupakan istilah yang digunakan bagi menggambarkan pengelupasan kulit kering yang biasanya didapati pada permukaan kulit kepala. Pada kebiasaannya, sejumlah besar penduduk dunia, iaitu sekitar 50 peratus akan mengalami masalah kelemumur pada satu fasa dalam hidup merek. Mencuci rambut secara kerap dengan pertolongan syampu anti-kelemumur adalah salah satu cara paling efektif untuk melawan dan menentang pembiakan kelemumur.

Mengapa kelemumur boleh berlaku?

Lapisan kulit paling atas sentiasa mengalami kondisi perubahan, pada lapisan teratas inilah akan berlakunya pengelupasan dan pembinaan kulit baharu. Kita tidak akan menyedari bahawa kulit kepala kita sebenarnya sedang mengalami kondisi sedemikian kerana sel-sel yang gugur berlaku secara berperingkat dan memakan masa.

Keradangan kulit kepala boleh menyebabkan sel-sel ini bercantum dan kekal bersama, lama-kelamaan akan mengeras dan akhirnya menjadi kelemumur. Apabila gumpalan sel-sel ini kian susut dan gugur, cebisan-cebisan kecil berwarna putih boleh dijumpai pada bahu, terutamanya apabila kita sedang memakai pakaian berwarna gelap ataupun apabila kelemumur tersekat pada helaian rambut berwarna hitam.

Kegatalan kulit kepala

Kegatalan pada kulit kepala, sama ada berlaku pengelupasan kulit ataupun tidak, merupakan satu perkara biasa. Kadangkala kulit kepala yang gatal bukanlah disebabkan oleh kelemumur, tetapi oleh sebab faktor-faktor yang lain seperti memiliki rambut yang tebal dan kutu. Namun dalam topik ini, kegatalan boleh berlaku pada mereka yang berumur 30-40 tahun, tanpa sebab-sebab yang kukuh.

Respons terawal terhadap masalah kegatalan kulit kepala ialah proses menggaru, dan proses inilah yang akan menyebabkan kesan-kesan calar, luka dan berkerak (apabila kawasan luka menjadi keras) pada bahagian yang digaru. Justeru, berlakulah kelemumur yang boleh menyebabkan kegatalan yang kronik sehingga membuatkan seseorang itu tidak selesa dan mengalami luka serius akibat kekerapan untuk menggaru kepala.

Terdapat juga beberapa keadaan kulit kepala yang kurang diambil perhatian yang boleh dikategorikan sebagai masalah kegatalan kulit kepala.

Dermatitis Seboroik

Dermatitis Seboroik (Seborrhoeic dermatitis) adalah nama yang diberikan ketika keadaan kulit kepala mengalami kegatalan, berwarna merah dan berlakunya aktiviti pengelupasan yang tinggi. Ia boleh dianggap sebagai keadaan yang lebih teruk daripada masalah kelemumur biasa kerana skala kulit yang meradang adalah jauh lebih tinggi dalam kondisi dermatitis seboroik berbanding kelemumur biasa.

Keadaan ini boleh membuatkan kulit kepala menjadi sangat gatal dan membiak hingga mampu memberikan kesan kepada bahagian-bahagian badan; termasuklah kawasan muka, kening, janggut dan kawasan dada.

kel2

Simptom-simptom Dermatitis Seboroik

Dermatitis Seboroik adalah keadaan yang berubah secara beransur-ansur, termasuklah: Pengelupasan kulit kepala yang terlampau kering atau berminyak. Keadaan sebegini merupakan contoh yang paling lazim dalam kalangan masyarakat setempat.

Pengelupasan kulit yang berwarna kuning-merah pada kawasan yang biasanya akan terdedah dan terlibat dalam penyakit-penyakit kronik – di sepanjang garis-garis rambut, pada bahagian belakang kepala, pada kening, dalam lipatan antara hidung dan bibir, dalam telinga, atas tulang dada, kawasan ketiak dan pangkal paha.

Punca Dermatitis Seboroik

Dermatitis Seboroik selalunya menjejaskan kawasan yang mempunyai kelenjar minyak pada kepadatan yang sangat tinggi. Keradangan adalah disebabkan oleh tindak balas badan kepada yis pada kulit kepala dan produk-produk yang memecahkan minyak yang dihasilkan oleh kelenjar minyak.

Cradle Cap

Cradle cap merupakan salah satu bentuk masalah dermatitis seboroik yang berlaku pada bayi yang baru lahir. Walau bagaimanapun, masalah ini bukanlah sama untuk orang dewasa. Cradle cap memberikan penumbuhan kulit kepala yang tebal, berwarna kekuningan, kering dan berkerak.

Simptom-simptom lain termasuklah:

  •  Kulit yang mengelupas dan tidak sekata pada kawasan belakang telinga.
  •  Pustules (menyebabkan muka menjadi merah dan gatal).
  •  Ruam lampin.

Manakala bagi kanak-kanak pula, mereka mampu membangunkan plak ‘degil’ (pergumpalan sel-sel mati sehingga menjadi keras dan sukar untuk dibasmi) dan pengelupasan kulit tebal pada kulit kepala – yang berukuran sehingga 1 – 2 sentimeter.

kel1

Faktor-faktor yang memberi kesan kepada Dermatitis Seboroik

Masalah dan kejadian ketidakselesaan kulit yang dianggap kronik dan serius akibat masalah Dermatitis Seboroik seolah-olah dipengaruhi hebat oleh:

Penyakit-penyakit lain – sebagai contoh: pesakit yang menghidap penyakit neurologic (terutama sekali bagi mereka yang menghidap Parkinson, strok dan lumpuh) atau HIV, yang mungkin meningkatkan lagi pembiakan pengelupasan dan kegatalan seluruh badan.

  •  Seboroik yang kronik
  •  Tekanan emosi atau fizikal
  •  Faktor genetik
  • Faktor musim – Isu Dematitis Seboroik biasanya akan dilaporkan lebih teruk pada musim sejuk.

Menghidap psoriasis juga boleh menyebabkan berlakunya kegatalan kulit kepala yang kronik.

Psoriasis merupakan suatu keadaan kulit yang agak normal dan biasa, yang menjejaskan kira-kira tiga peratus daripada penduduk dunia.

Namun, masalah ini amat terhad dan hanya berlaku pada kawasan kulit kepala, siku dan lutut sahaja. Walaupun masalah Dermatitis Seboroik adalah lebih cenderung untuk melibatkan hampir keseluruhan kawasan kulit badan (terutama sekali kawasan kulit kepala), namun, psoriasis hanya berlaku pada kawasan tertentu; adanya kawasan kemerahan dan pengelupasan yang agak menonjol, tetapi masih kecil pada saiznya jika dibandingkan dengan Dermatitis Seboroik.

Oleh sebab Psoriasis hanya boleh berlaku pada kulit kepala, ia boleh disalah anggap sebagai kes kelemumur yang serius atau dermatitis seboroik. Psoriasis mempunyai hubungan kuat dengan ikatan dan faktor genetik – seringkali difokuskan pada sejarah keluarga. Ia juga boleh disebabkan oleh beberapa bentuk tekanan (sama ada dari aspek fizikal dan mental).

Rawatan untuk masalah kelemumur dan kegatalan kulit kepala yang berterusan

Mencuci rambut secara kerap dengan menggunakan sabun yang berubat mungkin sudah cukup untuk meletakkan tanda noktah kepada isu yang sering dianggap tiada jalan penyelesaian ini. Syampu anti-kelemumur yang paling biasa ditemui di kebanyakan kedai dan pasaraya mengandungi satu atau lebih daripada kandungan:

  •  Pyrithione zink atau Omadine zink
  •  Selenium sulfide
  •  Piroctone Olamine – ini merupakan penambahan terbaru ke dalam syampu berubat, dan dikenali sebagai ‘generasi kedua’ ejen membasmi kelemumur. Ia adalah kurang toksik berbanding Pyrithione zink, maka ia jauh lebih selamat dan sangat efektik untuk kegunaan sekeluarga.
  •  Ejen Antikulat
  •  Tar – Syampu yang mengandungi tar sebenarnya telah lama digunakan secara komersial dalam usaha membasmi kelemumur dan menjamin keselesaan kulit kepala, terutamanya bagi keadaan kulit kepala yang mengalami masalah kegatalan kronik. Dahulunya, syampu yang berasaskan tar datang bersama bau yang agak kuat, membuatkan orang ramai lebih rela untuk tidak membelinya. Walau bagaimanapun, persediaan dan pembaharuan terbaru telah dijalankan bagi membuatkan pengguna berasa selesa dan mudah untuk digunakan.

Seberapa kerap anda perlu menggunakan syampu berubat adalah bergantung sepenuhnya kepada kondisi kegatalan kulit kepala dan berapa teruk skala kelemumur anda, serta rawatan yang anda hendak gunakan. Sentiasa baca arahan yang terdapat pada bahagian belakang pek syampu sebelum menggunakannya.

Hal ini kerana, sesetengah produk sudah cukup berkesan untuk digunakan secara harian, manakala sesetengah produk hanyalah disarankan untuk digunakan secara seminggu sekali – atas dasar kekuatan dan kepekatan kandungan anti-kelemumur yang terkandung dalam kandungan syampu. Lama-kelamaan, anda akan terbiasa dengan penggunaan pelbagai jenis syampu bagi menjaga tahap kelemumur dan sentiasa berada dalam kawalan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat