Sekelip Mata Alphard Bertukar Jadi Van Rusa Buruk dan Diisytihar Muflis, Bekas CEO Syarikat MLM Kongsi Kepayahan dan Pengalaman Guna Alphard


Kereta Alphard atau Vellfire sudah menjadi lambang kekayaan bagi ramai usahawan dan golongan berpangkat. Kalau tak ada salah satu ini, boleh dikatakan seseorang itu masih belum sah status kayanya.

Fahaman ini baik untuk mengajak orang agar berusaha namun ia jadi masalah bagi yang kurang berkemampuan dan terpengaruh untuk beli semata-mata untuk menunjuk.

Tambahan pula, orang kita pun dilihat suka menyanjung golongan yang memiliki kereta ini. Kononnya orang sebegini adalah contoh orang Melayu berjaya. Namun, kebanyakan dari kita tak tahu sebenarnya kereta tu boleh disewa saja !

pengalaman guna alphard buat hairul serik

Seorang bekas CEO syarikat MLM akui telah membuat kesilapan besar kerana turut terjebak membeli sebiji Alphard. Hairul Nizam Hashim menerusi hantarannya di Facebook telah menceritakan pengalaman pahitnya ketika memiliki Aplhard. Dia akui membelinya semata-mata untuk menunjuk akibat terdorong dengan suasana kerja MLM yang dia cipta sendiri.

Walaupun syarikatnya berjaya mencapai target jualan berjuta-juta sebulan, namun padah untuk memiliki Alphard dapat dirasakan cukup lama. Dia turut akui Alphard pernah membuatkannya muflis !

Hairul mula menggunakan Alphard pada tahun 2010. Bukan sahaja perlu membayar ansuran mahal setiap bulan, dia juga sudah membelanjakan sebanyak RM 30,000 untuk ubahsuai Alphard semata-mata bagi membuatkan kereta itu kelihatan lebih gah.

Selepas syarikatnya tutup, dia perlu terus mencari duit untuk kelangsungan hidup dan cari jalan untuk bayar ansuran kereta tersebut sebanyak RM2,700 sebulan.

Pada mulanya, dia bawa Alphard untuk berniaga di uptown. Kemudian, dia sewakan kereta tersebut kepada orang lain. Dia juga pernah gunakan Alphardnya untuk hantar penumpang ke lapangan terbang. Macam-macam ragam pelanggan yang terpaksa dihadapi.

pengalaman guna aplhard buatkan hairul serik

pengalaman guna aplhard buatkan hairul serik

Sehinggalah akhirnya dia tak sanggup lagi untuk teruskan membayar dan terpaksa mengalah. Dia pun menjual kereta tersebut tapi tetap perlu sambung bayar.

Walaupun kereta Alphardnya sudah dilelong, ini tak bermakna dia terlepas dari hutang. Bank maklumkan padanya untuk bayar RM 100,000 lagi. Dari situlah bank isytiharkan Hairul muflis. Sehingga ke hari ini, dia terpaksa menanggung azab membayar wang ansuran insolvensi.

Menerusi perjanjian bersama bank, dia peroleh duit sekitar RM 10,000. Duit itu dia gunakan untuk beli van Rusa buruk. Bayangkanlah jual Alphard dapat van Rusa !

Pengalaman Guna Alphard Seronoknya Sekejap Saja, Azab Yang Perlu Ditanggung Lama

Hairul menyimpulkan pengalaman menggunakan kereta mewah seperti Alphard atau Vellfire seronoknya sekejap sahaja. Sebaliknya, azab yang perlu ditanggung lama.

Itu belum termasuk maintenance kereta tersebut yang cukup mahal. Kalau nak dikatakan mahu guna Alphard sebab anak ramai, kereta MPV lain yang jauh lebih murah juga boleh tawarkan keselesaan yang sama.

Walaupun episod hitam itu telah lama berlalu dan kini Hairul sudah mampu untuk miliki Alphard semula, namun dia sudah serik. Dia tak ingin ulangi kesilapan lama. Kini dia gunakan kereta Mitsubishi Xpander yang padanya jimat minyak dan cukup selesa. Hutang pun tak bertimbun !

Kini dia tidak pedulikan lagi kata orang bisnes yang menyifatkan dia tidak berjaya kerana tiada kereta mewah. Mereka tidak akan faham kesukaran yang ditanggung jika tidak pernah merasakannya sendiri !

Hairul yang kini bergelar sebagai pengarah syarikat juga menjelaskan walau berpangkat tinggi, dia masih makan gaji seperti orang kebanyakan. Hasil jualan berjuta-juta itu bukanlah miliknya tetapi milik syarikat.

Dia tidak berani untuk beli Alphard lagi kerana pengalaman mengajarnya bahawa langit tidak sentiasa cerah. Bila-bila masa sahaja ujian boleh melanda sehingga buatkan kita hilang pendapatan dalam sekelip mata.

Dia juga takkan lupakan kesukarannya untuk teruskan bayar Alphard selama setahun namun akhirnya terpaksa dilepaskan ke bank.

Di hujung hantaran tersebut, Hairul menegaskan dia tidak berniat untuk mengecam pemilik Alphard atau kereta mewah lain di luar sana. Dia sekadar menceritakan pengalaman guna Alphard untuk dijadikan teladan buat semua.

Membaca cerita dari Hairul, memang jelas masyarakat kita sering menyanjung golongan kaya sehingga membuatkan sesetengah orang terdorong untuk membuat keputusan yang boleh merugikan diri sendiri.

Tidak salah untuk membeli barangan mewah, tetapi ukurlah baju di badan sendiri dahulu. Fikirlah masak-masak sebelum bersetuju pada komitmen bulanan yang dikhuatiri boleh membebankan kita pada masa hadapan. Takut nanti muda-muda dah muflis !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat