Ketahuilah, 26 Tanda-tanda Kecil Kiamat Telah Berlaku, Kini Tinggal Lagi Tanda-tanda Yang Besar Sahaja
Sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam rukun iman, hari kiamat merupakan rukun iman yang kelima. Kita sebagai manusia tida akan dapat lari daripadanya. Bila dan bagaimana ia akan terjadi bukan kuasa kita untuk menentukannya. Hanya kepada Allah SWT sahaja harus kita letakkan kepercayaan dan berdoa agar kita sentiasa di bawah payung rahmat-Nya. Kalimah Kun faya kun merupakan satu kalimah yang dinyatakan akan terjadinya sesuatu perkara jika ia dijadikan.
“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia”. ( Yasin ayat 82)
Namun, tanpa kita sedari banyak tanda tanda kiamat yang telah sempurna jalannya. Tetapi kita sebagai manusia masih dengan ego masing masing dalam membuat masalah dan dosa. Kita tidak mengingatkan kepada diri sendiri tentang akan berkahirnya dunia ini. Suatu hari nanti semua yang kita miliki akan pergi dan cuma perhitungan yang akan dijalani. Penentuan yang bakal kita hadapi bagi diri kita semasa hidup di dunia ini.
Bagi yang masih tertanya tanya apa itu kiamat dan apa tanda-tanda kiamat. Mari ikuti kami dalam menjawab persoalan ini.
Kiamat terbahagi kepada dua(2):
- Tanda-tanda Kiamat Kecil (Sugra)
- Tanda-tanda Kiamat Besar (Kubra)
Tanda- Tanda kiamat kecil
Didapati kini bahawa seluruh tanda-tanda kecil telah muncul dan terbukti seperti yang dinyatakan dalam hadis. Kebanyakan hadis-hadis ini dapat ditemukan di dalam Sahih Muslim, Sahih Bukhari dan Riwayat Tarmizi.
1. Penaklukan Baitulmuqaddis
“ Dari Auf b. Malik r.a., katanya,
“Rasulullah s. a. w. telah bersabda:”Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.” Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” – Sahih Bukhari ”
2. Zina bermaharajalela
“ “Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” – Sahih Muslim ”
3. Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik
4. Bermaharajalela alat muzik
“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.”
Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab; “Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah ”
5. Menghias masjid dan membanggakannya
“ Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” – Riwayat Nasai. ”
6. Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik
“ Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.” – Riwayat Ahmad dan Hakim ”
7. Ramai orang menuntut ilmu kerana pangkat dan kedudukan
8. Ramai orang soleh meninggal dunia
“ Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran – Riwayat Ahmad ”
9. Orang hina mendapat kedudukan terhormat
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” – Riwayat Thabrani ”
10. Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.” – Riwayat Ahmad ”
11. Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
“ Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.”Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.” ”
12. Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita
“ Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu” – Sahih Muslim ”
13. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar
“ Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar” – Riwayat Ahmad ”
14. Kekayaan umum dikuasai segelintir orang tanpa kebenaran dan tanpa rasa takut, termasuk rasuah dan mengambil harta secara tersembunyi.
15. Akan terdapat banyak pengkritik, pembawa-cerita, penikam-belakang dan pengejek dalam masyarakat.
16. Orang akan mendirikan hubungan dengan orang tak dikenali dan memutuskan hubungan dengan yang rapat dan disayangi.
17. Orang akan melakukan homoseksual & lesbian (LGBT)
18. Akan terdapat ramai anak luar nikah. – Abdullah Ibn Mas’ood (R.A.)
19. Berkurangnya sifat amanah
20. Terasa berat untuk menjalankan syariah (zakat dijadikan hutang)
21. Lelaki mentaati isterinya tetapi menderhakai ibunya
22. Lelaki berkasar dengan bapanya tetapi beramah dengan rakannya
23. Suara manusia meninggi (menjerit dan berteriak) di masjid-masjid
24. Pemimpin suatu kaum adalah keji dan pemimpin suatu suku adalah fasik
25. Lelaki dihormati bukan kerana budi dan kebaikan tetapi kerana takut akan kejahatannya
26. Banyaknya berlaku gempa bumi
10 Tanda-tanda Besar Kiamat
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: “Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda:
“Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat”. Lalu Nabi saw. bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.(H.R Muslimi)
1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
3.Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
6. Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Maka muhasabah dirilah dengan semua tanda-tanda yang semakin lengkap ini, jadikan ia satu pedoman untuk anda sentiasa bertaubat dan ingat akan mati. Kerana kita sebagai manusia hanyalah hambanya sahaja dan bukan penentu segalanya. Sedarlah dari kealphaan yang telah membawa kita jauh dari realiti yang sebenar. Baiki iman kita, selamatkan hati kita. Bantu diri kita sendiri untuk berjaya di dunia dan akhirat kerana pengakhirannya semakin hampir.