Baucar Buku, Duit Anda Atau Duit Rakyat?


Berkaitan Baucar Buku, Duit Anda Atau Duit Rakyat? Maaf. Ini pandangan kerdil yang dilontarkan untuk berkongsi cara lihat.

Cara lihat saya mungkin tidak betul dan salah sama sekali maka harap anda sudi memaafkan saya jika tulisan ini membuang masa anda dan sila abaikan pandangan yang menyakitkan hati anda ini.

Saya merasai menerima beberapa kali baucar buku. Saya lihat beberapa kali apa yang berlaku pada suasana masyarakat pelajar setiap kali menerima baucar buku.

 

G

Beberapa kategori penerima dapat kita lihat.

Kategori “Ulat Buku”

Kategori ini memang menyukai dan mencintai buku. Merekalah pembeli aktif dan membaca lebih dari 10 muka surat sehari adalah rutin dan kesukaan mereka.

Pemberian baucar buku benar-benar merangsang mereka untuk beli lebih dan baca lebih buku. Ia benar-benar hadiah istimewa yang sangat menyeronokkan.

 

gh

Kategori Pelajar Susah

Kategori ini adalah yang paling perlu untuk terima baucar buku, kerana mereka bukan dari kalangan mampu untuk membeli buku terutamanya buku pelajaran lebih-lebih lagi buku pelajaran di peringkat tinggi begitu mahal harganya.

Melalui baucar buku maka lebih banyak buku rujukan dapat dibeli sekaligus membantu mereka dalam pelajaran.

LO

Kategori Tak Sedar Diri

Ini paling ramai. Baucar buku dianggap sebagai “duit aku” maka terpulanglah nak dibelanjakan dengan cara apa pun.

Ada di kalangan ini masuk ke kedai buku atau pesta buku dan sambar segala yang berkenan hingga penuh beberapa beg plastik.

Maaf mereka bukan pembaca buku. Mereka berbuat demikian kerana “kepuasan” dapat berbuat sesuatu yang selama ini mereka tak dapat berbuat begitu.

Setiap buku ketika sampai d irumah hanya menjadi koleksi untuk penuhkan almari. Dibaca? Mungkin hanya pada 10 helai pertama.

Pengalaman saya pernah beberapa kali berjumpa dengan longgokan buku dalam plastik hasil operasi memborong buku setiap kali dapat baucar buku ketika berkunjung ke rumah beberapa orang teman. Tidak disentuh.

Itu yang membuatkan tulisan ini dilontarkan.

Timbul satu rasa bersalah yang amat dalam jika perkara ini tidak ditegur.

Mungkin ramai akan marah dan menentang saya namun percayalah saya sedia terima risiko itu demi sedikit peluang untuk perbaiki persepsi kita bila mendapat baucar buku.

Tidak bersetuju adalah hak anda dan saya junjung hak itu dengan penuh penghormatan.

Baucar buku adalah duit rakyat ia bukan hak milik mutlak anda untuk berbuat sesuka hati.

VO

Benar anda juga rakyat namun perhatikan dalam pelbagai jenis rakyat mengapa anda yang terpilih untuk mendapat baucar buku? Kerana anda pelajar atau mahasiswa atau segala yang memaksudkan anda adalah satu kelompok yang menjalankan tugas selaku penuntut ilmu.

Anda adalah satu kelompok yang “dilihat cerdik” dan mempunyai kemampuan untuk membaca lebih berbanding kelompok masyarakat lain yang sibuk bekerja mencari rezeki.

Maka pemberian baucar buku untuk membolehkan anda membeli buku yang sebelum ini luar kemampuan bukan sekadar untuk seronok membeli belah dan “selfie” acah-acah rajin membaca.

Malah bukan sekadar untuk beli buku kemudian dibaca tapi untuk dinilai dan diambil pelajarannya.

Menjadi seorang yang terpelajar bermakna ilmu yang diperoleh tadi wajib untuk disampaikan dan digunakan untuk masyarakat kerana itu duit para pembayar cukai.

Masyarakat seharusnya mendapat manfaat daripada anda.

Semakin banyak buku yang mengandungi idea, teori dan argumen seharusnya menjadikan anda mampu menjadi rujukan masyarakat.

Paling tidak dilihat sebagai seorang yang mempunyai buah fikir yang baik dalam permasalahan rakyat.

Mampu kemukakan alternatif dan antithesis.

Aras celik rakyat seharusnya makin meningkat dengan sumbangan anda hasil daripada telaah pada timbunan buku yang dibeli daripada hasil bayaran cukai mereka.

Ini amanah. Bagaimana amanah begini boleh dipermainkan kemudian anda dabik dada mengatakan anda bakal menjadi generasi pimpinan negara masa depan?

Anda merungut pimpinan yang tidak beramanah menggunakan duit rakyat sewenang-wenangnya tanpa anda sedar anda sendiri berkelakuan sama.

Anda juga mempermainkan titik peluh para ayah ibu yang bekerja keras dan membayar cukai sama seperti pemimpin korup yang semakin ramai di atas sana.

ghk

Bila disebut ini adalah amanah maka bermakna anda akan dipersoalkan di akhirat.

Sejauh mana wang amanah rakyat ini anda gunakan.

Maaf kata lebih jijik bila ia disalahgunakan terus untuk membeli barangan bukan buku.

Bagaimana kita akan berdepan dengan Tuhan nanti?

Semakin hari semakin ramai graduan tamat belajar.

Begitu banyak institut pengajian tinggi dibuka.

Alangkah kelakar bila masyarakat masih tidak berupaya keluar dari kepompong kebodohan.

Buktinya lihatlah hari demi hari rakyat rela diperbodohkan dengan jenaka menteri, hasutan rasisme, ayat seperti derma bukan rasuah, kangkung turun harga.

Ya anda gelak kerana anda “cerdik”.

Namun masih ramai masyarakat yang percaya dengan jenaka bodoh seperti itu.

Para menteri tidak akan buat begitu jika masyarakat cerdik.

Mereka berani buat begitu kerana ada sekelompok orang macam anda yang tidak rasakan dirinya patut berfungsi untuk masyarakat dan tidak rasa untuk menyumbang apa-apa bagi mencerdikkan masyarakat.

Ya kelompok yang kononnya belajar dan terpelajar tapi tidak hargai duit rakyat yang digunakan untuk memudahkan mereka belajar malah melanyak duit itu dengan tanpa rasa bersalah.

Malah boleh meminta untuk dapatkan lebih tinggi lagi.

Jika anda rasakan tulisan ini ada benarnya maka saya rendah diri merayu untuk kita buat perubahan kali ini.

Perubahan pada diri kita sendiri.

Cukuplah dengan kesilapan tahun-tahun lalu jangan diulangi.

Malah untuk penerimaan kali ini saya rayu paling tidak sumbangkan 1 buku kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Kita ada ramai kanak-kanak yang ketandusan bahan bacaan.

Jika masih mempunyai ramai kanak-kanak jauh di ceruk pedalaman yang mengulang baca sejenis buku untuk beratus kali kerana dahagakan ilmu.

Kita ada banyak sekolah anak yatim dan miskin di pelbagai tempat yang memerlukan buku pelajaran lebih-lebih lagi sekolah agama yang memerlukan kitab tebal yang agak tinggi harganya.

Kita mempunyai banyak anak kecil di jalanan yang tidak pernah diajar membaca dan tidak pernah memiliki buku sendiri.

Bacalah masyarakat ini dan anda akan temui begitu banyak orang yang benar-benar memerlukan bahan bacaan.

Maka anda tidak akan tergamak untuk membazir atau menyalahgunakan baucar buku.

Bacalah. Wahyu pertama yang mengubah peradaban dan tamadun manusia.

Juga sebagai sindiran pada yang membaca tapi tidak mengubah apa-apa malahan dirinya tidak berganjak menjadi semakin baik. – 31 Januari, 2016.

*Nik Aziz Afiq Bin Abdul merupakan AJK pusat pemuda sosialis PSM.

 

Infrastruktur IT, Pengurusan Bisnes & Organisasi Secara Sistematik Atas Talian

Ketahui bagaimana kami membantu melonjakkan jualan pemilik ecommerce, mengumpulkan dana serta keahlian bagi gerakan NGO & menguruskan infrastruktur IT bagi syarikat korporat & persendirian. Hubungi Kami Sekarang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat