Pelancong Pengsan Selepas Terpatahkan Gelang Jed Yang Bernilai Ratusan Ribu
Ramai di antara kita yang suka mencuba barang sebelum membuat keputusan untuk membelinya atau tidak. Ada juga yang sekadar ingin mencuba sahaja walaupun tidak ingin membelinya.
Tetapi, insiden ini mungkin dapat memberi sedikit pengajaran buat anda untuk mencuba barangan di kedai lagi.
Seorang pelancong wanita di China, jatuh pengsan selepas secara tidak sengaja mematahkan sebentuk gelang jed, selepas mencubanya.
Wanita yang identitinya tidak didedahkan itu, pengsan apabila menyedari gelang tersebut berharga 300,000 yuan (RM190,000)!
Menurut laporan portal CGTN, kejadian berlaku ketika wanita itu mengunjungi pasar Jed Ruili Jiegao di wilayah Yunnan, pada Selasa.
Dia kemudiannya mencuba gelang jed berkenaan dan ketika gelang itu ditanggalkan, ia terlepas dari genggaman dan jatuh ke lantai.
Akibatnya, gelang itu patah dua.
“Dia pengsan sekejap apabila diberitahu harga gelang itu, tetapi tidak mengalami masalah kesihatan yang lain yang lebih serius,” kata anak pemilik kedai itu kepada media tempatan.
Nilai dan harga gelang itu disahkan melalui satu sijil yang dikeluarkan oleh Ruili Gem and Jade Association, dan disokong oleh Pentadbiran Industri dan Perdagangan Ruili.
Insiden itu mendapat perhatian meluas di laman sosial China khususnya Weibo, dan netizen mempersoalkan mengapa barangan semewah itu dijual dalam pasaran terbuka seperti itu.
Pihak kedai itu kini dilaporkan sedang membincangkan cara terbaik untuk wanita itu membayar ganti rugi gelang tersebut.