Denda hilang pasport antara RM200 hingga RM1,000
Pasport ialah satu dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh sebuah kerajaan negara yang digunakan untuk mengenalpasti kewarganegaraan apabila pemegangnya ke luar negara.
Pasport juga dikaitkan dengan hak perlindungan undang-undang di luar negara dan hak untuk kembali ke negara kewarganegaraan sendiri. Pasport juga biasanya mengandungi gambar foto, tandatangan, tarikh kelahiran, kewarganegaraan, dan sebagainya untuk mengecam identiti seseorang. Namun, kini ramai yang tidak mengendahkan kepentingan pasport ini dan menghilangkannya.
Jabatan Imigresen bercadang mengenakan penalti antara RM200 dan RM1,000 bagi penggantian pasport Malaysia yang hilang akibat kecuaian pemilik yang mencatatkan 31,287 kes pada enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kerajaan sedang mempertimbang cadangan mengenakan penalti terhadap pemilik pasport yang kehilangan dokumen berkenaan, sama seperti bayaran yang dikenakan bagi permohonan penggantian kad pengenalan diri, ‘MyKad’, yang hilang.
Selama ini, Jabatan Imigresen tidak mengenakan penalti terhadap mereka yang kehilangan pasport.
“Peraturan perlu diubah dan cadangannya adalah jika hilang kali pertama dikenakan denda RM200, manakala hilang kali kedua denda RM500 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya ialah RM1,000.
“Ini bukan niat untuk menghukum tetapi untuk menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap pasport yang dimiliki,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Januari lepas, Jabatan Imigresen telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, dan secara dasarnya sudah dipersetujui.
Mustafar berkata sikap cuai rakyat negara ini antara faktor jumlah pasport hilang agak tinggi walaupun ia merupakan barang berharga yang menghendaki pemiliknya menjaga dokumen itu dengan baik.
“Kes kehilangan pasport Malaysia ini dilihat mudah berlaku tak kira di dalam atau luar negara. Kehilangan disebabkan kecurian masih boleh diterima tapi kalau asyik hilang, ini tidak elok,” katanya sambil menambah ada individu yang melaporkan kehilangan pasport sehingga empat kali.
Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, 31,287 pasport Malaysia dilaporkan hilang sejak awal tahun ini sehingga 2 Jun lepas, dengan 22,475 daripadanya atas alasan ‘tidak ingat di mana simpan’ manakala 2,858 pula dikatakan hilang semasa pindah rumah.
Antara sebab kehilangan pasport ialah tidak ingat tempat pasport disimpan, tertinggal dalam kenderaan awam, tercicir daripada beg atau poket, dicuri atau dirompak, hilang semasa kebakaran atau berpindah rumah dan hilang disebabkan bencana alam, katanya.
Mustafar berkata, berdasarkan statistik terbaru itu, negeri Johor merekodkan jumlah kehilangan tertinggi dengan 5,734 pasport, diikuti Kuala Lumpur (4,399) dan Selangor dengan 3,409 kes.
“Bagi luar negara, jumlah tertinggi adalah di Australia iaitu 43 pasport, diikuti Singapura (41), Hong Kong (11) dan 10 di Perancis, kebanyakannya akibat rompakan atau kecurian atau tercicir dari poket dan sebagainya,” katanya.
Beliau menggesa pemegang pasport supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak meletakkan dokumen itu di merata tempat dan membuat permohonan pasport baharu dengan alasan ia telah hilang.
Beliau menjelaskan pasport yang hilang dan dibatalkan namun ditemui semula tidak boleh digunakan bagi mengelak ia disalah guna.
Pasport Malaysia, katanya, merupakan antara yang terbaik di dunia dan ini sekali gus mengurangkan cubaan memalsukan dokumen penting itu.
Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenakan penalti RM100 bagi kehilangan kali pertama MyKad, manakala kehilangan kali kedua RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya ialah RM1,000. – Bernama