Kemerdekaan Mempunyai Nilai Yang Tinggi
Pada 31 Ogos setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi seluruh rakyat di negara ini. Ia merupakan hari yang sangat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia kerana pada tarikh itu kita menyambut Hari Kebangsaan.
Hari kebangsaan ini disambut secara besar-besaran sama ada di peringkat kebangsaan ataupun negeri. Betapa tingginya nilai dan erti kemerdekaan dalam kalangan mereka yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan tidak mampu diterjemahkan.
Hanya mereka yang terlibat dalam proses kemerdekaan ini dapat merasai betapa tingginya nilai sebuah kemerdekaan yang dikecapi selama 62 tahun yang lalu. Terlalu banyak pengorbanan wang, masa dan tenaga telah digunakan untuk tujuan ini.
Menjadi kewajipan kepada generasi muda untuk mempertahankan negara tercinta daripada dijajah buat kali kedua sama ada penjajah fizikal ataupun minda. Penjajahan fizikal sukar untuk berlaku, namun penjajahan minda tidak mustahil sekiranya tiada langkah proaktif diambil oleh rakyat negara ini.
Kebebasan negara ini daripada sebarang bentuk penjajah hendaklah dipertahankan agar generasi akan datang berpeluang untuk menikmati segala bentuk pembangunan dan kedamaian. Supaya perkara seperti ini dapat dikekalkan, rakyat perlulah melaksanakan tiga perkara utama seperti menghayati sejarah negara, mengekalkan perpaduan dan penggunaan media sosial.
Sejarah memainkan peranan penting untuk memberikan gambaran yang sebenarnya keadaan sebelum dan selepas kemerdekaan.
Sejarah
Sejarah mampu untuk memberikan gambaran bagaimanakah keadaan fizikal, sosial dan minda masyarakat sebelum merdeka. Jika maklumat seperti ini dapat kekalkan nilai kemerdekaan akan lebih dihargai terutamanya oleh generasi muda. Mereka akan sedar bahawa ketenteraman hidup yang kita rasai kini adalah hasil daripada usaha bersepadu golongan terdahulu.
Sehubungan dengan itu, generasi muda perlu memelihara kemerdekaan ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh. Jasa dan pengorbanan golongan terdahulu yang berkorban tenaga, wang dan masa untuk mencapai kemerdekaan patut dipuji. Media sosial sering dijadikan medium utama oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu atau persepsi negatif terhadap negara sama ada melibat seseorang individu ataupun negara tersebut.
Permainan persepsi dan berita palsu ini merupakan bentuk penjajahan masa kini yang berjaya mencapai matlamatnya. Banyak negara di dunia hancur dan menghadapi pelbagai kekacauan disebabkan peranan media sosial. Rakyat di negara ini khususnya golongan muda perlulah berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan informasi yang disebarkan di media sosial.
Golongan muda seharusnya jangan membiarkan media sosial yang wujud pada ini menjajah pemikiran mereka. Sekiranya senario sebegini berlaku, mudah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab melaksanakan agenda masing-masing.
Malaysia merupakan sebuah negara yang amat unik. Biarpun didiami oleh tiga bangsa utama, Melayu, Cina dan India yang mempunyai perbezaan budaya, adat resam, agama serta bahasa, Malaysia masih mengekalkan keadaan yang penuh dengan kedamaian dan keharmonian. Senario aman damai ini bukan berlaku secara sengaja.
Suasana ini hanya dapat direalisasikan hasil kerja keras golongan terdahulu yang membudayakan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang antara satu sama lain. Budaya seperti ini wajar diteruskan oleh generasi muda agar keharmonian serta kedamaian yang dikecapi dapat diteruskan pada masa akan datang.
Kemerdekaan
Kemerdekaan yang dikecapi sejak 62 tahun yang lalu perlu dipertahan untuk kesejahteraan generasi akan datang. Rakyat di negara ini khususnya golongan muda perlu mempertahankan status kemerdekaan ini sepanjang masa. Mempertahankan kemerdekaan fizikal mungkin tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Namun, apa yang membimbangkan ialah mempertahankan negara ini daripada penjajahan sosial dan mental.
Walaupun ia mungkin sukar untuk direalisasikan, jika generasi yang ada pada hari ini mampu memahami sejarah negara dengan baik, pasti negara tercinta ini tidak akan mampu dijajah untuk kali kedua sama penjajahan fizikal, sosial ataupun minda.