Operasi Mencari Mangsa Yang Terlibat Dalam Kejadian Tanah Runtuh di Bukit Kukus Diteruskan


tanah runtuh

GEORGETOWN – Jumlah mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Bukit Kukus, kini dianggarkan seramai 9 orang berdasarkan pengesahan melalui kawan-kawan dan isteri mangsa.

Namun kini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini disambung hari ini.

Ketua Cawangan Operasi Kebombaan dan Penyelamat Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya, Morni Mamat berkata operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini bermula pada pukul 8 pagi.

Beliau berkata operasi SAR akan memberikan tumpuan kepada ‘body recovery’ dan pihaknya tidak menjangkakan jika ada mangsa yang selamat berdasarkan kedalaman tanah.

“Kita akan teruskan operasi SAR pada hari ini yang yang akan dibahagikan kepada tiga sektor dengan jaraknya kira-kira 50 meter dari lokasi runtuhan berdasarkan kepada tempat penemuan 3 mayat yang telah ditemui. Kami mengharapkan dengan keadaan cuaca yang baik pada hari ini, kami dapa mrnjumpai baki mangsa yang tertimbus secepat mungkin.

“Setakat 1.30 pagi ini kita telah menemui 4 mangsa iaitu 3 telah meninggal dunia manakala seorang cedera,” katanya di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Morni berkata operasi SAR terpaksa dihentikan pada pukul 4.45 pagi ini berikutan hujan lebat.

tanah runtuh

Beliau berkata pihaknya mengalami sedikit kesukaran untuk mencari baki mangsa yang tertimbus kerana keadaan struktur tanah yang lembut dan boleh mendatangkan bahaya dalam usaha pencarian oleh anggota penyelamat. Selain itu operasi terpaksa dihentikan atas nasihat pegawai Jabatan Mineral dan Geologi mengenai pergerakan tanah di sektor pencarian, sehingga boleh membahayakan anggota SAR.

“Bagaimanapun dengan bantuan alat pengesan pergerakan yang dibawa khas oleh pasukan SMART dan anjing pengesan K9 kita berharap dapat membantu kita dalam kerja-kerja mencari baki mangsa yang tertimbus,” katanya.

Katanya seramai 143 anggota penyelamat daripada pelbagai jabatan dan agensi turut terlibat dalam operasi SAR.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian itu ialah 9 orang membabitkan 3 mangsa meninggal dunia, 3 cedera dan 3 lagi masih tertimbus.

Beliau berkata 3 mangsa yang masih tertimbus adalah 2 lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh. Ini melalui pengesahan yang dibuat oleh kawan-kawan dan isteri mangsa. Kita masih lagi mengetahui berapakah jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh ini.

Che Zaimani berkata pihaknya akan membuat pembersihan di kawasan runtuhan bagi mencari sekiranya masih ada lagi mangsa yang tertimbus didalam runtuhan tanah tersebut.

Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan tiga pekerja asing maut, tiga cedera. Selain itu tiga lagi dikhuatiri masih lagi terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas hujan lebat di negeri itu sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam. Hal ini telah menyebabkan berlakunya runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Petang semalam dua mayat ditemui iaitu lelaki warganegara Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki warganegara Bangladesh Attrul, 35. Manakala mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita warganegara Myanmar ditemui pukul 1.30 pagi ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat