Betul ke Perlu Baca 3 Kali Yaasin Pada Malam Nisfu Syaaban ? Ini Penjelasan Datuk Dr. Zulkifli Mengenai Salah Faham Yang Sering Berlegar Setiap Kali Datangnya Nisfu Syaaban


Sedar tak sedar, kita sudah pun berada di pertengahan bulan Syaaban iaitu Nisfu Syaaban. Pada hari ini, iaitu Khamis malam Jumaat, 17 Mac 2022 adalah malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Malam Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Namun mengapakah malam Nisfu Syaaban begitu istimewa?

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Memetik perkongsian dari  Mufti Wilayah Persekutuan, dinyatakan antara kelebihan malam Nisfu Syaaban adalah berdasarkan hadis berikut :

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

Berikut merupakan antara kelebihan malam Nisfu Syaaban :

kelebihan malam nisfu syaaban dijelaskan oleh mufti wilayah persekutuan

Kredit : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Umat Islam juga digalakkan untuk perbanyakkan ibadah pada hari ini. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا، فَإِنَّ اللهَ تَعَالَى يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: أَلاَ مُسْـتَغْفِر فَأَغْفِر لَهُ، أَلاَ مَسْتَرْزق فَأَرْزُقهُ، أَلاَ مُبْتَلى فَأُعَافِيه، أَلاَ كَذَا، أَلاَ كَذَا حَتَّى يَطلعُ الفَجْر.

Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban maka kamu hidupkanlah malamnya dan kamu berpuasa di siang harinya, sesungguhnya Allah turun (hampir) padanya dari terbenam matahari ke langit dunia dan berfirman: Sekiranya terdapat orang yang memohon keampunan maka Aku ampunkannya, sekiranya terdapat orang yang meminta rezeki maka Aku beri rezeki kepadanya, sekiranya terdapat orang yang ditimpa bala maka Aku sejahterakannya, sekiranya begitu… sekiranya begini… sehinggalah terbitnya fajar.

Tiada Amalan Khusus Untuk Nisfu Syaaban

Dalam menyambut Nisfu Syaaban, ia sering dikaitkan dengan amalan membaca Yaasin Sebanyak 3 Kali pada malam ini. Namun ia bukanlah amalan yang wajib, sunnah mahupun khusus untuk dilaksanakan pada malam ini.

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi s.a.w sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam Nisfu Sya’ban.

Maka kesimpulannya bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi saw berkaitan malam nisfu Sya’ban.

Contoh Amalan Yang Digalakkan Pada Malam Nisfu Syaaban

Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Islam di Malaysia memperbaynakkan amalan di bulan ini dengan membuat pelbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti puasa, solat, membaca al-Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya.

Menurut S.S Dato’ Dato’ Hj Abd. Majid Bin Omar, mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut boleh teruskannya kerana ia dilihat sebagai pengisian ibadah yang baik sepanjang masa dan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Ia juga merupakan usaha yang baik bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara contoh amalan yang boleh dilakukan serta sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w:

1. Puasa sunat

Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. membanyakkan puasa di bulan Sya’aban. Terdapat beberapa hadis yang turut menyebut bulan ini sebagai bulan yang paling banyak Rasulullah berpuasa selepas bulan Ramadhan.

umat islam digalakkan untuk menghiasai malam nisfu syaaban dengan puasa

2. Berdoa

Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah SWT. memerintah hambaNya berdoa nescaya Allah S.W.T. memperkenankan doa mereka. Lebih-lebih lagi pada malam Nisfu Syaaban yang sangat mustajab untuk orang Islam berdoa.

3. Membaca Surah Yasin

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya membaca dan menghayati makna dalam al-Quran. Setiap huruf diberi ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah satu surah dalam al-Quran.

umat islam digalakkan untuk membaca al-Quran pada malam nisfu Syaaban

4. Mengadakan majlis kenduri

Kenduri merupakan amalan yang baik bagi menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Jika tidak dapat melaksanakan kenduri pada waktu pandemik ini, anda masih boleh bersedekah kepada jiran tetangga atau sanak saudara.

5. Bertahlil

Tahlil mengandungi bacaaan dari ayat al-Quran, zikir, istighfar serta doa mohon keampunan Alah SWT terhadap keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas rohnya. Maka, ia dikira sebagai amalan yang baik untuk dilaksanakan bagi umat Islam.

Sekali ini ingin ditegaskan bahawa amalan-amalan ini tiada larangan untuk dilakukan pada bulan Syaaban, tiada pula disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunnahan ibadah tersebut.

Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat