KERETA TANPA PEMANDU : Revolusi Baru Teknologi
Sewaktu kita darjah satu, darjah dua dan darjah tiga, sewaktu kelas pendidikan seni dan guru menyuruh kita lukiskan imaginasi kita berkenaan wawasan 2020, pasti kita akan melukis kereta terbang!
Kini, pada 2015, tahun 2020 hanya tinggal lagi lima tahun dan kemungkinan besar untuk kita melihat kereta terbang seperti dalam filem Back To The Future II tidak akan menjadi kenyataan. Walaubagaimanapun, perkembangan teknologi yang ada pada hari ini telah menemui satu kaedah pemanduan automatik, iaitu pemanduan tanpa pemandu.
Pada awal tahun ini, satu syarikat telah menjalankan ujikaji kembara kereta tanpa pemandu. Delphi, sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kingdom telah mengubahsuai sebuah Audi Q5 SUV untuk menempuhi kembara tanpa pemandu dari barat ke timur laut Amerika Syarikat. Perjalanan ini mengambil masa Sembilan hari, bermula 22 Mac 2015, dan menempuh 5471km dengan jayanya.
Merentas 15 negeri, pemanduan ini adalah automatik sebanyak 99% dari jumlah perjalanan, dengan campur tangan manusia yang bersedia di stereng sebanyak 80km terutamanya ketika melalui jalan yang sedang dibaiki.
Dilengkapi enam radar jarak panjang, empat radar jarak dekat, tiga kamera vision-based, enam pengesan cahaya dan pelbagai lagi peranti, dan juga ‘permainan’ teknologi, jurutera-jurutera yang terlibat telah mendapati bahawa kamera kadangkala tidak berfungsi pada waktu redup. Mereka juga mendapati bahawa mereka perlu ‘melatih’ kamera mereka dengan lebih baik untuk mengenalpasti garisan-garisan jalan raya yang luntur, bertanda dan juga bonggol. Selain dari itu, perjalanan mereka berjalan lancar.
Video ini memaparkan ringkasan perjalan mereka merentasi Amerika dengan pemanduan automatik sepenuhnya.
Kejayaan ini dijangka akan menempatkan kereta tanpa pemandu ke pasaran automotif, dan orang ramai dilihat bersedia untuk perkembangan terbaru ini. Dalam satu bancian yang dikendalikan oleh The Bolton Consulting Group, dari 1500 orang yang ditemubual, 55% dari rakyat Amerika menyatakan bahawa mereka “mungkin” dan “berkemungkinan besar” akan membeli kenderaan semi-automatik, manakala 44% menunjukkan bahawa, dalam tempoh 10 tahun lagi, mereka akan membeli kenderaan automatik sepenuhnya.
Menariknya, tatkala keselamatan menjadi satu alasan utama mengapa orang ramai berminat untuk membeli kereta tanpa pemandu, alasan ini dikuatkan lagi dengan jangkaan bahawa harga premium insurans akan turun dan produktiviti seseorang itu akan meningkat.
Selaku rakyat Malaysia, kita pastinya kagum dengan perkembangan teknologi semasa ini. Kita juga berharap syarikat-syarikat pengeluar kereta Malaysia, Proton, Perodua, Naza, Hicom, mampu dan akan melahirkan teknologi-teknologi baru seperti ini.
Jika kita hanya bergantung kepada orang luar untuk mengembangkan teknologi, kos untuk menggunakan teknologi ini di Malaysia akan menjadi mahal, dan di luar kemampuan kita.
Sumber : Delphi, IFLScience