Lebih Pro Dari Tinder Swindler, Syarikat Madbird Palsukan Kewujudannya Sambil Menipu 50 Pekerja
Sejak sebuah dokumentari BBC berjudul Jobfished membongkar kegiatan syarikat palsu ini, nama Madbird tular di media sosial sebagai syarikat penipu.
Berbanding Simon Leviev yang menipu beberapa wanita, Madbird berjaya menipu sehingga 50 orang individu dengan memalsu kewujudan syarikat dari mula hingga akhir.
Menerusi dokumentari tersebut, muslihat Madbird mula terbongkar apabila semua pekerja menerima emel misteri daripada Jane Smith yang mengatakan mereka semua adalah mangsa scam secara besar-besaran !
Emel tersebut turut mengandungi dakwaan bahawa pengasas Madbird tidak bermoral kerana mencuri hasil kerja pihak lain di samping memalsukan identiti syarikat serta pekerja.
Madbird Menjanjikan Bulan dan Bintang
Madbird mulakan operasi dengan mengambil pekerja melalui tempoh percubaan tidak berbayar di mana pekerja hanya akan menerima komisyen bagi jualan yang diraih selepas enam bulan.
Dengan profil palsu ini, syarikat Madbird dikhabarkan berjaya ‘menawarkan pekerjaan’ kepada 50 orang. Kebanyakannya bekerja untuk pasaran, sesetengahnya diambil kerja untuk rekaan digital dan selebihnya berperanan sebagai penyelia.
Syarikat palsu ini juga mensasarkan pasaran global dengan merekrut beberapa pekerja dari Uganda, India, Afrika Selatan dan Filipina.
Pekerja yang menetap di luar United Kingdom juga dijanjikan dengan visa negara tersebut jika melepasi tempoh percubaan. Sekiranya mereka dapat capai sasaran pasaran, Madbird kononnya akan menaja mereka berpindah ke United Kingdom.
Selain tawaran visa kepada pekerja luar negara, semua pekerja Madbird juga dijanjikan gaji sekitar £35,000 selepas tamat tempoh percubaan.
Kesemua mangsa kebanyakannya masih muda dan gigih mencari kerja demi meneruskan hidup pada waktu pandemik.
Ramai yang tiada pilihan melainkan terpaksa bersetuju untuk bekerja dengan Madbird tanpa menyemak latarbelakang syarikat ini.
Rata-rata pekerja akui, semakin lama bekerja dengan Madbird, semakin susah untuk tinggalkan syarikat ini. Lebih-lebih lagi bagi pekerja yang sudah lalui tempoh percubaan separuh jalan, mana tahu syarikat ini akan membayar gaji seperti yang dijanjikan ? Tambahan pula, memang susah untuk dapatkan kerja pada waktu pandemik ini.
Namun malang tidak berbau, pada akhirnya tiada satu pun pekerja yang menerima gaji dari Madbird setelah tamat tempoh kontrak percubaan.
Pekerja Madbird Kongsi Muslihat Syarikat Palsu
Dokumentari ini turut menemubual salah seorang mangsa Chris Doocey, 27 yang didakwa mengalami kerugian besar selepas bekerja untuk syarikat tersebut tanpa gaji.
Chris yang baru kehilangan kerja pada Mac 2020 akui mengalami kesukaran untuk mendapat kerja baru. Motivasinya juga semakin pudar setiap kali permohonan kerjanya ditolak.
Itulah yang menyebabkan dia terima tawaran kerja daripada syarikat palsu tanpa berfikir panjang.
Syarikat palsu ini juga mendakwa sering berurusan dengan pelanggan berprofil tinggi seperti Facebook dan Samsung.
Madbird juga dilihat meyakinkan atas dakwaan mereka sebagai ‘agensi rekaan digital berpangkalan di London dengan jaringan kerja dari serata dunia’.
Meskipun Madbird tidak pernah memintanya duit, syarikat ini telah meletakkan Chris di situasi sukar hingga terpaksa berhutang sebanyak £10,000 untuk membayar bil dan sewa bulanan.
Seorang lagi mangsa syarikat Madbird Gemma Brett, mula dapati syarikat ini palsu setelah dua minggu bekerja. Wanita ini terlintas untuk mencari lokasi pejabat Madbird melalui alamat yang diberikan.
Apabila disiasat, lokasi yang ditunjukkan adalah jauh berbeza berbanding apa yang ditampilkan di laman web Madbird.
Laman web tersebut menggambarkan Madbird sebagai syarikat yang menawarkan persekitaran tempat kerja yang kondusif serta moden. Sebaliknya, Google Street View memaparkan barisan rumah flat di Kensington, London.
Bagi mengesahkan perkara ini, Gemma turut hubungi agen hartanah dapatkan kepastian. Ternyata alamat yang diberikan adalah kawasan perumahan dan bukanlah ibu pejabat global yang dimiliki oleh Ali Ayad.
Jordan Carter, 26 pula sanggup melepaskan jawatan dengan gaji tetap untuk bekerja dengan Madbird selama 6 bulan tanpa gaji.
Peranannya dalam Madbird ialah mencari pelanggan berpotensi untuk rekaan laman web dan aplikasi.
Sepanjang Jordan bekerja, dia sempat memperkenalkan Madbird kepada 10,000 orang pelanggan berpotensi dari seluruh dunia.
“Syarikat palsu ini sudah menjatuhkan nama baik saya. Saya ingin meminta maaf kepada semua yang pernah saya hubungi melalui LinkedIn dan kegiatan saya yang menagih wang dari orang lain.
Saya rasa sangat kesal kerana sudah mensia-siakan masa selama enam bulan. Sepatutnya, saya boleh menjana wang minimum sebanyak £8,000, namun saya tidak dapat apa-apa.” keluh Jordan.
Dalang di Sebalik Operasi Madbird
Syarikat Madbird dipercayai milik sepasang rakan perniagaan iaitu Ali Ayad dan Dave Standfield, dua individu yang tiada latarbelakang jelas.
Identiti Ali Ayad masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Ada yang mengatakan lelaki ini merupakan ahli perniagaan berbangsa Lebanon sementara pekerja lain mengenalinya sebagai warganegara Amerika Syarikat.
Para pekerja juga dapati namanya sering berubah, kadang kala namanya dieja sebagai ‘Ali Ayyad’. Pada waktu lain, namanya bertukar menjadi ‘Alex Ayd’.
Namun ada sebahagian kisah hidupnya yang konsisten berlegar di kalangan pekerja. Khabarnya, dia berpengalaman bekerja sebagai pereka kreatif di Nike.
Para pekerja ketika itu juga tidak mengesyaki penipuan Ali kerana profil LinkedInnya yang dibanjiri oleh pujian dan komen positif dari ‘rakan sekerja lamanya’ di Nike.
Salah satu pujian yang diterima Ali adalah seperti berikut : “Bukan seperti pereka lain yang suka meniru rekaan, Ali sentiasa mencipta originality dalam setiap projek yang dikerjakan.”
Rakan perniagaannya, Dave Stanfield juga turut meninggalkan komen meyakinkan tentang Ali dan menyifatkan lelaki tersebut sebagai ahli profesional terbaik yang pernah bekerja bersamanya.
Ali juga sering menjaja cerita yang kononnya pernah bekerja di sebuah syarikat berjenama di Oregon, Amerika Syarikat. Di situlah dia bertemu dengan Dave Stanfield, pengasas bersama syarikat Madbird.
Ali juga mendakwa memegang kelulusan dari universiti berprestij di Kanada dan Amerika Syarikat iaitu University of Southern California dan Concordia University, namun apabila dihubungi, kedua-dua universiti ini tidak menyimpan rekod pelajar dengan nama Ali Ayad.
Dave Stanfield Tidak Wujud !
Pendedahan turut mendapati pengasas syarikat Madbird, Dave Stanfield telah mereka identiti palsu melalui gambar yang dicuri.
Ali juga sering mengingatkan pekerja untuk menghubungi Dave melalui emel sahaja kerana beliau dikatakan sering sibuk dengan projek bersama Nike untuk menjawab telefon.
Pemilik gambar profil sebenar Dave Stanfield akhirnya dapat dijejak melalui teknologi pengecaman muka (facial recognition).
Gambar asal didapati merupakan milik seorang pengusaha madu di Prague, Michal Kalis. Apabila ditemubual Michal, beliau mengesahkan tidak pernah dengar nama Madbird, Ali Ayad mahupun Dave Stanfield.
Berbanding Ali Ayad yang masih wujud secara nyata meskipun dengan identiti palsu, pengasas Dave Stanfield langsung tidak wujud !
Seorang lagi identiti yang dipalsukan merupakan pereka grafik, Nigel White. Namanya telah digunakan untuk hadiri mesyuarat Zoom Madbird.
Apabila disiasat, wajah yang digunakan adalah milik seorang model yang gambarnya akan didapati apabila seseorang cari ‘lelaki berambut perang’ (ginger man) di stok gambar Getty Images. Sangat licik, ya !
Bukan tiga profil palsu sahaja yang direka Madbird, malah mereka juga palsukan identiti ahli lembaga tertinggi syarikat serta 42 pelanggan lama menggunakan gambar yang diambil dari internet atau akaun media sosial individu lain !
Ketika dihubungi BBC, Ali berjanji akan bertanggungjawab tentang isu ini dan akan padamkan laman web Madbird serta hentikan semua kegiatan sehingga masalah selesai.
Namun, lama kelamaan Ali mula menghilangkan diri. Dia tidak lagi jawab telefon dari staf Madbird dan mula block mereka serta-merta. Profile LinkedIn Ali yang dahulunya gah juga sudah lesap.
Kisah Madbird ini boleh menjadi pengajaran kepada semua untuk semak dahulu latar belakang syarikat sebelum bekerja.
Memang tidak dinafikan ramai terdesak pada waktu pandemik ini. Namun, ia bukan jaminan kepada semua untuk selamat daripada menjadi mangsa penipuan. Tambahan pula pada waktu ini banyak pekerjaan yang tawarkan kerja dari rumah tanpa perlu bersua muka !